BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, menemui komander tentera yang dipanggil “lawannya” dalam panggilan telefon yang bocor ketika beliau giat berusaha meredakan krisis yang mengancam menjatuhkan kerajaannya.
Pemimpin berusia 38 tahun itu, yang memegang jawatan kurang setahun, terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka pada 19 Jun ketika kemarahan berkobar-kobar berhubung panggilan dengan bekas pemimpin Kemboja, Encik Hun Sen, tular dalam talian.
Beliau berbuat demikian di hadapan ketua tentera dan polis, sebagai menunjukkan perpaduan.
Gabungan utama kerajaannya, parti konservatif Bhumjaithai, menarik diri pada 18 Jun dengan menyatakan beliau menghina negara dan tentera, meletakkan kerajaannya di ambang kehancuran.
Bangkok Post melaporkan Cik Paetongtarn akan ke timur laut Thailand pada 20 Jun untuk menyelesaikan masalah dengan Leftenan-Jeneral (Lt-Jen) Boonsin Padklang, komander tentera di timur laut Thailand, tempat pertempuran sempadan berlaku.
Beliau merujuk Lt-Jen Boonsin sebagai “lawannya” dalam panggilan dengan Encik Hun Sen yang dibocorkan, tatkala kedua-dua pemimpin membincangkan pertikaian sempadan yang berterusan.
Namun, terdapat berita yang lebih baik untuk Cik Paetongtarn, anak perempuan kepada jutawan kontroversi mantan perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra, apabila parti gabungan penting, Parti Demokrat konservatif, berjanji untuk kekal.
“Parti Demokrat akan kekal dalam kerajaan untuk membantu menyelesaikan cabaran yang sedang dihadapi negara ketika ini,” kata parti itu dalam satu kenyataan.
Sebuah lagi parti gabungan, Chartthaipattana, berkata ia tidak akan menarik diri, selepas rundingan mengenai krisis dengan Parti Demokrat dan parti United Thai Nation (UTN).
Tanpa Bhumjaithai, kerajaan yang diketuai oleh parti Pheu Thai pimpinan Cik Paetongtarn kini mempunyai majoriti tipis di Parlimen.
Kehilangan rakan kongsi utama yang lain berkemungkinan akan menyebabkan kerajaan runtuh, menjerumuskan Thailand ke dalam ketidakstabilan politik ketika ia bergelut dengan masalah ekonomi dan ancaman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Thailand secara rasmi mengemukakan bantahan terhadap Kemboja berhubung kebocoran tersebut, dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran protokol diplomatik yang telah merosakkan kepercayaan kedua-dua pihak.
Cik Paetongtarn dikritik sebagai lemah dan bersikap rendah hati dalam panggilan dengan Encik Hun Sen, ahli politik veteran yang licik, tetapi komennya tentang komander tentera itu berpotensi paling merosakkan dirinya.
Angkatan Bersenjata Thailand memainkan peranan penting dalam politik kerajaan dan ahli politik biasanya berhati-hati untuk tidak memusuhi mereka. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg