BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, kini berdepan risiko kehilangan majoriti Parlimen selepas hanya 10 bulan memerintah apabila sekutu penting gabungan pemerintah dijangka menuntut beliau meletak jawatan pada 20 Jun.
Cik Paetongtarn, 38 tahun, puteri kepada jutawan kontroversi dan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, kurang berpengalaman dalam politik. Beliau sedang berusaha memulihkan ekonomi yang suram di tengah tarif tinggi Amerika Syarikat sambil ditekan supaya lebih tegas dalam pertikaian sempadan dengan Kemboja yang telah menyaksikan penempatan tentera di perbatasan.
Dua sumber dalaman Parti United Thai Nation (UTN) - komponen kedua terbesar dalam kerajaan campuran memberitahu Reuters bahawa UTN akan menuntut Cik Paetongtarn berundur sebagai syarat untuk kekal bersama Parti Pheu Thai yang memimpin kerajaan.
“Jika beliau tidak meletak jawatan, parti akan keluar kerajaan,” kata salah seorang sumber. “Kami mahu perkara itu disampaikan terus oleh ketua parti sebagai tanda hormat.”
Tekanan ini memuncak dua hari selepas Parti Bhumjaithai, sekutu gabungan yang lebih besar, menarik balik sokongannya. Paetongtarn hanya menerima sedikit kelegaan apabila Parti Demokrat menyatakan komitmen untuk terus menyokong beliau pada Jumaat, namun majoriti kerajaan kekal rapuh dan masih bergantung sepenuhnya kepada pendirian Parti UTN.
Jurucakap UTN, Encik Akaradej Wongpitakroj, enggan mengulas lanjut: “Kita perlu tunggu ketua parti berbincang dengan perdana menteri terlebih dahulu,” katanya.
Ketidaktentuan politik segera tercermin di pasaran kewangan. Mata wang baht melemah untuk sesi kelima berturut-turut pada 20 Jun dan menuju prestasi mingguan terburuk sejak akhir Februari, menandakan kebimbangan pelabur. Analisis menunjukkan aliran keluar dana asing dari bon Thailand meningkat sepanjang minggu.
Krisis semasa turut menyerlahkan kemerosotan pengaruh Pheu Thai, parti populis keluarga Shinawatra yang mendominasi pilihan raya sejak 2001 walaupun beberapa kali digulingkan kudeta dan keputusan mahkamah.
Cik Paetongtarn juga diserang kritikan susulan kebocoran rakaman panggilan telefon dengan bekas pemimpin Kemboja Hun Sen pada 18 Jun. Pengkritik mendakwa kandungan perbualan itu mengancam kedaulatan Thailand.
Rakaman beberapa minit yang tular di media sosial memaparkan Paetongtarn menggesa penyelesaian damai pertikaian sempadan sambil memperkecil seorang jeneral tentera Thailand - satu garis merah dalam negara di mana tentera mempunyai pengaruh politik besar.
Kumpulan aktivis pada 20 Jun menetapkan 28 Jun sebagai tarikh protes besar-besaran di Bangkok untuk menuntut Cik Paetongtarn meletak jawatan dan menggesa parti gabungan berundur. Antara penganjur ialah pertubuhan yang pernah melumpuhkan pentadbiran Shinawatra sebelum ini.
Cik Paetongtarn belum mengulas krisis terbaru ini, namun pada 19 Jun beliau muncul bersama panglima tentera, berikrar mempertahankan sempadan negara. Pada 20 Jun, beliau dijadual melawat unit tentera di sempadan Kemboja dan bertemu Leftenan Jeneral Boonsin Padklang, komander wilayah yang dikritiknya dalam panggilan bocor berkenaan.
Pilihan Cik Paetongtarn untuk mengekalkan kuasa semakin terhad kecuali penasihatnya mengikat semula parti-parti kecil gabungan. Sekiranya rundingan gagal, pilihan raya mengejut mungkin diadakan — senario yang boleh merugikan Pheu Thai yang kini kehilangan populariti dan memberi kelebihan kepada parti pembangkang progresif People’s Party, blok terbesar di Parlimen.
Bagaimanapun, dua sumber Pheu Thai berkata parti yakin Paetongtarn boleh mengelak peletakan jawatan atau pembubaran Parlimen. Kerajaan kini mempertimbangkan rombakan kabinet besar-besaran untuk mengisi jawatan kosong dan memulihkan keyakinan pelabur, termasuk portfolio penting seperti kewangan, perdagangan dan pertahanan. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg