Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Thai lepasi undi tidak percaya, kukuh kedudukan gabungan pemerintah

Mar 26, 2025 | 11:48 AM
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra (tengah) sebaik tiba untuk menghadiri sesi undi tidak percaya di Parlimen Thailand, Bangkok, pada 26 Mac 2025. 
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra (tengah) sebaik tiba untuk menghadiri sesi undi tidak percaya di Parlimen Thailand, Bangkok, pada 26 Mac 2025.  - Foto AFP

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berjaya melepasi ujian undi tidak percaya di Parlimen hari ini, mengukuhkan kedudukan beliau dalam gabungan pemerintah meskipun diasak hebat oleh pembangkang selama dua hari berturut-turut.

Daripada 488 ahli parlimen yang hadir, seramai 319 anggota parlimen memberikan sokongan kepada pemimpin berusia 38 tahun itu — angka yang cukup untuk menolak usul tidak percaya yang dibentangkan pembangkang.

Ini menjadi penanda awal kepada ketahanan mandat beliau sejak menggantikan Encik Srettha Thavisin lebih tujuh bulan lalu selepas penyandang jawatan itu digugurkan oleh mahkamah atas pelanggaran etika.

Sepanjang perbahasan, Cik Paetongtarn dituduh tidak layak memimpin, kurang pengetahuan ekonomi, mengelak cukai, serta mendapat arahan daripada bapanya, tokoh politik berpengaruh dan bekas perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra.

Namun, beliau menepis segala tuduhan tersebut dan menegaskan komitmennya kepada negara. “Nilailah saya atas kerja saya, bukan atas nama keluarga saya,” kata Cik Paetongtarn dalam kenyataan ringkas kepada media selepas undian.

Cik Paetongtarn merupakan ahli keluarga keempat daripada dinasti politik Shinawatra yang menduduki jawatan tertinggi di Thailand. Namun, pengaruh keluarganya sering mencetuskan ketegangan dengan puak konservatif, termasuk institusi-institusi utama yang pernah menyokong rampasan kuasa dan penggulingan kerajaan terdahulu.

Thailand mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.5% untuk tahun 2024, yang merupakan paling perlahan dalam kalangan enam negara ASEAN utama — termasuk Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Selain itu, indeks pasaran saham SET Thailand jatuh lebih 15 peratus setakat tahun 2025 ini, menambahkan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi negara.

Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Institut Pembangunan Nasional Thailand pada Februari lalu, hanya 45.12 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi enam bulan pertama pentadbiran Cik Paetongtarn. Malah, hanya 38.55 peratus percaya gabungan pemerintah beliau mampu menyelesaikan masalah negara.

Cik Paetongtarn menegaskan bahawa pentadbirannya bebas daripada pengaruh Thaksin, walaupun bapanya mengakui masih memberikan nasihat secara tidak rasmi.
“Saya tidak dikawal oleh sesiapa. Saya berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk sesiapa pun di belakang tabir,” kata Cik Paetongtarn. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg