Singapura dan Thailand akan memperluas kerjasama dalam bidang baru termasuk keselamatan makanan dan tenaga, ekonomi hijau dan ketersambungan digital di samping memperdalam kerjasama sedia ada dalam bidang pertahanan, perdagangan dan pelaburan.
Ini diumumkan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dalam sidang media bersama di Bangkok, pada 28 November, yang diadakan dengan kehadiran Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra.
Kunjungan Encik Wong ke sana merupakan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu sekali gus menjadikannya pemimpin negara asing pertama yang melawat Thailand sejak Cik Paetongtarn menggalas jawatan barunya pada September.
Lawatan rasmi ke Bangkok ini juga adalah kunjungan pengenalan kelima yang dilakukan Encik Wong selaku Perdana Menteri Singapura ke negara Asia Tenggara menyusuli lawatan ke Brunei, Malaysia, Laos dan Indonesia sebelum ini.
Semasa lawatan kali ini, Encik Wong dan Cik Paetongtarn mengesahkan hubungan kukuh dan bermakna antara kededua negara di samping membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi hijau dan keselamatan makanan.
Kededua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Singapura dengan Thailand yang akan memperdalam kerjasama dalam bidang pendidikan.
Perjanjian tersebut akan melihat Singapura menyediakan biasiswa possiswazah untuk penjawat awam Thailand dan menggalak lebih banyak pembelajaran bersama dan perkongsian amalan terbaik antara pegawai dari kededua negara.
Semasa sidang media bersama yang diadakan selepas pemeteraian MOU itu, Cik Paetongtarn berkata beliau teruja dengan kehadiran Encik Wong sebagai pemimpin asing pertama yang melawatnya, walaupun mereka telah bertemu beberapa kali semasa mesyuarat Asean di Laos dan Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Peru.
Beliau menambah lawatan Encik Wong memberi peluang kepada Singapura dan Thailand untuk mengesahkan kerjasama sedia ada dan melakarkan perjalanan masa depan, sedang kedua-dua negara bersiap sedia untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2025.
“Perdana Menteri Wong dan saya mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil mengenai isu-isu kepentingan bersama. Terutama hubungan rakyat dengan rakyat, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan, keselamatan makanan, keselamatan tenaga, ekonomi digital dan hijau serta kemampanan.
“Thailand berminat untuk terus mengukuhkan keselamatan makanan Singapura, terutama melalui peningkatan beras premium dan eksport telur organik kami ke Singapura,” kata Cik Paetongtarn.
Semasa pertemuan mereka, Cik Paetongtarn berkata kededua pemimpin turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan hijau, pembangunan sumber manusia serta aspirasi bersama mereka untuk melihat kembalinya keamanan dan kestabilan di Myanmar.
Mengenai ekonomi digital dan hijau, kededua pemimpin membincangkan usaha mempromosikan kerjasama mengenai teknologi hijau dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan industri berasaskan bio, yang akan membantu kedua-dua negara mencapai neutraliti karbon dan komitmen pelepasan sifar bersih.
Thailand juga akan bekerjasama rapat dengan Singapura untuk meneroka cara meningkatkan kemahiran dan latihan semula tenaga kerjanya sebagai sebahagian usaha pembangunan sumber manusia.
Cik Paetongtarn menyifatkan Singapura sangat terkenal dengan perkara ini.
Cik Paetongtarn turut mengundang Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam, untuk membuat lawatan rasmi ke Thailand.
“Lawatan (Encik Wong) memberi kami peluang untuk melihat kerjasama sedia ada dan merangka laluan untuk masa hadapan,” kata Cik Paetongtarn yang menekankan lebih banyak lawatan peringkat tinggi akan diadakan pada 2025 termasuk lawatan Puteri Maha Chakri Sirindhorn pada Januari.
Dalam ucapannya, Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada Cik Paetongtarn atas layanan mesranya dan memuji “hubungan yang kukuh dan bermakna” antara kededua negara dalam bidang seperti perdagangan, hubungan pelaburan dan pertahanan.
Beliau turut mengalu-alukan kunjungan Cik Paetongtarn dan suaminya di Singapura pada 2025 apabila Singapura dan Thailand meraikan ulang tahun hubungan diplomatik ke-60.
Encik Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Thailand atas sokongan latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Thailand.
Beliau menambah:
“Kami berminat bekerjasama dengan Thailand mengenai kredit karbon. Thailand sendiri sedang meningkatkan pengeluaran tenaga hijau termasuk hidrogen dan biofuel.
“Jadi kami boleh berusaha ke arah perjanjian pelaksanaan mengenai kerjasama kredit karbon yang akan membuka peluang baru untuk syarikat-syarikat kita.
“Keselamatan makanan juga penting bagi Singapura kerana kita mengimport sebahagian besar daripada apa yang kita makan dan kita sedang berusaha meningkatkan keselamatan makanan kita,” ujar Encik Wong.
Beliau juga berkata kededua negara harus terus mempercepatkan integrasi kedua-dua ekonomi bagi memaksimumkan potensi Asean melalui pengukuhan ketersambungan digital dan grid kuasa, yang berjalan dari Laos PDR ke Thailand, Malaysia dan Singapura.
“Saya berterima kasih kepada Thailand atas kerja keras yang telah dilakukannya sebagai pengerusi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean yang akan memperdalam penyepaduan ekonomi digital untuk Asean. Dan Singapura menyokong penuh kepimpinan Thailand dalam bidang ini.
“Kami mengharapkan sokongan Thailand untuk Fasa 2 projek penyepaduan kuasa. Ini akan membentuk blok binaan untuk grid kuasa Asean yang lebih luas yang boleh membantu mengukuhkan daya tahan dan kemampanan tenaga kita,” kata Encik Wong.
Hubungan diplomatik antara Singapura dengan Thailand telah wujud sejak 1965, dan kedua-dua negara telah bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti teknologi kewangan, ekonomi digital dan tenaga.
Pada 2021, PayNow Singapura dan PromptPay Thailand melancarkan rangkaian sistem pembayaran masa nyata yang pertama di dunia.
Pelanggan bank yang mengambil bahagian di Singapura dan Thailand boleh memindahkan wang merentasi kedua-dua negara dengan hanya menggunakan nombor telefon bimbit.
Pada Mei 2023, Bursa Singapura dan Bursa Saham Thailand melancarkan Pautan Penerimaan Depositori Thailand-Singapura, yang merupakan kerjasama penerimaan depositori peringkat pertukaran pertama di Asean.
Pada 28 November, Encik Wong dan delegasinya turut menghadiri pada satu jamuan tengah hari rasmi dengan Cik Paetongtarn menjadi tuan rumah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg