BANGKOK: Thailand mengisytiharkan perintah berkurung di wilayah tenggara Trat pada 14 Disember sedang pertempuran dengan Kemboja merebak ke kawasan pesisir di wilayah tersebut.
Ini berlaku dua hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata kedua-dua pihak itu telah bersetuju untuk berhenti atas gesaannya.
Dua negara jiran Asia Tenggara itu telah bertempur dengan senjata beberapa kali pada 2025 sejak seorang askar Kemboja terbunuh dalam pertempuran kecil pada Mei.
Insiden tersebut sekali gus mencetuskan konflik yang telah menyebabkan ribuan orang di kedua-dua bahagian sempadan kehilangan tempat tinggal.
“Secara keseluruhan, pertempuran berterusan walau Kemboja sekali lagi menegaskan keterbukaannya terhadap gencatan senjata pada 13 Disember,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri, dalam satu sidang media di Bangkok selepas perintah berkurung diisytiharkan.
Thailand terbuka kepada penyelesaian diplomatik, namun ‘Kemboja perlu menghentikan pertempuran terlebih dahulu’, kata beliau.
Tentera Thailand pada 13 Disember berkata mereka telah memusnahkan jambatan yang digunakan Kemboja untuk menghantar senjata berat dan peralatan lain ke rantau itu dan melancarkan operasi yang menyasar artileri yang telah diletakkan di wilayah pantai Koh Kong, Kemboja.
Kemboja menuduh Thailand menyerang prasarana awam.
Perintah berkurung Thailand meliputi lima daerah di wilayah Trat yang berjiran dengan Koh Kong, tidak termasuk pulau pelancongan Koh Chang dan Koh Kood.
Tentera Thailand sebelum ini telah mengenakan perintah berkurung di wilayah timur Sakeo, yang masih berkuat kuasa.
Thailand dan Kemboja telah berbalas tembakan senjata berat di beberapa tempat sepanjang sempadan 817 kilometer mereka sejak 8 Disember dalam beberapa pertempuran paling sengit sejak konflik lima hari berakhir pada Julai hasil campur tangan Encik Trump dan Malaysia.
Pertempuran terkini antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu, terkait pertikaian garis sempadan era penjajahan sepanjang sekitar 800 kilometer, telah memindahkan sekitar setengah juta penduduk di kedua-dua belah sempadan, dengan masing-masing menyalahkan pihak lain atas tercetusnya semula konflik.
Encik Trump berkata beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, pada 12 Disember, dan berkata mereka bersetuju menghentikan semua tembakan”.
Katanya kedua-dua pemimpin bersetuju “menghentikan semua tembakan malam ini dan kembali kepada perjanjian damai asal” yang dimeterai pada Julai dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 13 Disember, Encik Anutin berikrar untuk terus berjuang “sehingga kita tidak lagi merasakan bahaya dan ancaman terhadap negara dan rakyat kita”.
Para pemimpin Thailand berkata tiada perjanjian gencatan senjata dibuat, dan kerajaan Thailand dan Kemboja berkata pada pagi 14 Disember bahawa pertempuran sedang berlaku.
Laksamana Muda Surasant berkata Kemboja membedil dan mengebom beberapa wilayah sempadan semalaman dan sehingga 14 Disember.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata, berkata Thailand terus melepaskan tembakan mortar dan bom ke kawasan sempadan sejak tengah malam.
Seorang jurucakap Rumah Putih berkata Encik Trump menjangka semua pihak menghormati komitmen terhadap keamanan dan mendesak semua pihak menghentikan pembunuhan. – Reuters, AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg