BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berikrar pada 13 Disember untuk meneruskan tindakan ketenteraan terhadap Kemboja, meskipun Presiden Amerika Encik Donald Trump, sebelum itu mendakwa beliau telah memeterai gencatan senjata antara kedua-dua negara.
“Thailand akan terus melaksanakan tindakan ketenteraan sehingga kami merasakan tiada lagi bahaya dan ancaman terhadap sempadan serta rakyat kami,” kata Encik Anutin dalam satu hantaran Facebook.
Pusat media bersama Bangkok mengesahkan pasukan Thai telah “membalas” terhadap sasaran ketenteraan Kemboja pada 5.50 pagi.
Jurucakap tentera laut berkata tentera udara “berjaya memusnahkan” dua jambatan Kemboja yang membawa senjata ke zon konflik.
Menteri Penerangan Kemboja, Encik Neth Pheaktra, pula menuduh Thailand “meluaskan serangan kepada prasarana awam dan orang awam”.
Jurucakap Tentera Udara Diraja Thailand, Encik Chakkrit Thammavichai, menegaskan mereka menggunakan “senjata berketepatan tinggi” untuk mengurangkan risiko terhadap orang tidak bersalah.
Awal hari itu, Kemboja mendakwa Thailand terus menggugurkan bom beberapa jam selepas Encik Trump mengumumkan kedua-dua negara telah bersetuju berhenti berperang.
Pertempuran terkini antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu, terkait pertikaian garis sempadan kolonial sepanjang 800 kilometer, telah memindahkan sekitar setengah juta penduduk di kedua-dua belah sempadan, dengan masing-masing menyalahkan pihak lain atas tercetusnya semula konflik.
“Pada 13 Disember 2025, tentera Thailand menggunakan dua jet pejuang F-16 untuk menggugurkan tujuh bom,” kata Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu hantaran X, sambil menambah “pesawat tentera Thailand masih belum berhenti mengebom”.
Kenyataan itu dibuat kurang sehari selepas Encik Trump mengumumkan Thailand dan Kemboja telah bersetuju menghentikan pertempuran di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, yang telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa minggu ini.
“Saya mengadakan perbualan yang sangat baik pagi ini dengan Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja berkenaan tercetusnya semula peperangan lama mereka,” kata Encik Trump di platform Truth Social.
Katanya kedua-dua pemimpin bersetuju “menghentikan semua tembakan malam ini dan kembali kepada perjanjian damai asal” yang dimeterai pada Julai dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dua-dua negara bersedia untuk berdamai dan meneruskan perdagangan dengan Amerika,” kata beliau, sambil menyatakan terima kasih kepada Datuk Anwar atas peranan Malaysia.
Selepas panggilan itu, Encik Anutin berkata: “Perlu diumumkan kepada dunia Kemboja akan mematuhi gencatan senjata.”
Beliau menambah: “Pihak yang melanggar perjanjian perlu memperbaiki keadaan, bukan pihak yang dilanggar.”
Amerika, China dan Malaysia selaku pengerusi Asean telah menjadi perantara gencatan senjata pada Julai selepas lima hari keganasan pada peringkat awal.
Pada Oktober, Encik Trump menyokong kenyataan baru rasmi bersama antara Thailand dengan Kemboja, tetapi Thailand menggantungnya sebulan kemudian selepas askarnya cedera akibat periuk api.
“Kemboja sentiasa berpegang kepada cara damai dalam menyelesaikan pertikaian,” kata Perdana Menteri, Encik Hun Manet, pada 13 Disember.
Beliau mencadangkan Amerika dan Malaysia menggunakan kemampuan risikan mereka “untuk mengesahkan pihak mana melepaskan tembakan dahulu” pada 7 Disember.
Encik Anutin juga berkata tiada tanda Encik Trump akan mengaitkan rundingan perdagangan masa depan dengan pertikaian sempadan, tetapi menjamin Thailand akan mendapat “manfaat lebih baik daripada negara lain”.
Encik Anutin membubarkan Parlimen Thailand pada 12 Disember, membuka jalan kepada pilihan raya umum awal 2026. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg