Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM UK kecam serangan bakar masjid di bandar tenggara England

Oct 7, 2025 | 1:38 PM
Bakar, masjid, tenggara, England
Perdana Menteri United Kingdom Encik Keir Starmer mengecam serangan dengan membakar masjid di sebuah bandar pantai Inggeris, yang sedang disiasat polis sebagai jenayah kebencian. - Foto REUTERS

LONDON: Perdana Menteri United Kingdom Encik Keir Starmer mengecam serangan dengan membakar masjid di sebuah bandar pantai Inggeris, yang sedang disiasat polis sebagai jenayah kebencian.

Namun, tiada siapa yang cedera dalam kejadian tersebut.

Kebakaran pada malam 4 Oktober itu berlaku dua hari selepas dua lelaki terbunuh apabila penyerang yang bersenjatakan pisau menyerang sebuah rumah ibadat Yahudi di Manchester, dalam apa yang pihak berkuasa sifatkan sebagai serangan pengganas.

Salah seorang mangsa secara tidak sengaja ditembak oleh pegawai bersenjata ketika beliau dan pengunjung lain cuba menghalang penyerang daripada masuk ke rumah ibadat tersebut.

Jurucakap Encik Starmer berkata bahawa perdana menteri “terkejut dengan serangan pembakaran di Peacehaven itu.”

“Seperti kata setiausaha dalam negeri, serangan terhadap orang Islam Britain adalah serangan terhadap semua rakyat Britain dan negara ini sendiri,” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa “kebencian anti-Muslim tidak mempunyai tempat di Britain.”

Perkhidmatan kecemasan bertindak balas terhadap laporan kebakaran di Masjid Peacehaven sekitar 9.45 malam, pada 4 Oktober.

Pintu masuk depan masjid dan kenderaan yang diletakkan di luar rosak, tetapi tiada sesiapa yang cedera, menurut Polis Sussex.

Detektif Inspektor Gavin Patch berkata polis menganggap kebakaran itu sebagai pembakaran dengan niat membahayakan nyawa.

Bukti yang diperoleh di tempat kejadian membayangkan ia dimulakan dengan sengaja, menurut Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat East Sussex.

Polis sedang memburu dua suspek yang disyaki membakar masjid tersebut.

“Ini adalah serangan yang mengerikan dan melulu yang kami tahu akan menyebabkan ramai orang berasa kurang selamat,” kata Inspektor Patch.

Terdapat peningkatan kehadiran polis di tempat kejadian dan tempat ibadat lain di seluruh Sussex untuk memberi jaminan, kata Polis Sussex.

Setiausaha Dalam Negeri Cik Shabana Mahmood berkata serangan itu “sangat membimbangkan” dan menggesa orang ramai agar “bersatu.”

“Tindakan kebencian ini tidak mewakili komuniti kami atau bandar kami. Masjid di Peaceheaven sentiasa menjadi tempat melakukan kebaikan, penghormatan, dan sokongan bersama, dan kami akan terus menerapkan nilai-nilai tersebut,” kata jurucakap Masjid Peacehaven.– Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg