Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong gesa pemimpin Apec perdalam integrasi ekonomi serantau

Cadang Apec wujudkan norma kerjasama bidang baru muncul seperti ekonomi digital, hijau
Nov 16, 2024 | 4:48 PM
Menurut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sudah tiba masanya untuk menekankan semula matlamat asal Apec untuk mewujudkan kemakmuran melalui integrasi ekonomi, dan menghidupkan semula semangat kerjasama bagi kemenangan semua.
Menurut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sudah tiba masanya untuk menekankan semula matlamat asal Apec untuk mewujudkan kemakmuran melalui integrasi ekonomi, dan menghidupkan semula semangat kerjasama bagi kemenangan semua. - Foto ST

LIMA: Perdana Menteri Lawrence Wong menggesa pemimpin dunia supaya mengambil langkah ke arah sebuah kawasan perdagangan bebas yang merentangi Lautan Pasifik walau bagaimana sukar sekalipun.

Beliau membuat gesaan itu pada sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Lima, ibu kota Peru, pada 15 November.

Encik Wong bercakap mengenai Kawasan Dagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP), iaitu sebuah perjanjian perdagangan melibatkan kesemua 21 ahli Apec yang telah diusahakan selama bertahun-tahun.

Berucap kepada pemimpin pada sebuah dialog tidak rasmi, Encik Wong menggesa integrasi ekonomi serantau yang lebih mendalam dan membuat cadangan tentang bagaimana Apec boleh mencapai matlamatnya, lapor The Straits Times.

“Selangkah demi selangkah, kita boleh melaksanakan perkembangan ini untuk menunjukkan bahawa FTAAP bukanlah satu impian semata-mata,” ujarnya.

Encik Wong berkata Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) harus dikekalkan inklusif.

Pakatan-pakatan perdagangan itu adalah laluan utama bagi FTAAP dan harus terbuka kepada mereka yang boleh dan akan memenuhi piawaian penyertaan, tambahnya, sambil menyatakan bahawa ini akan memperluaskan faedah kepada ahli sedia ada dan yang baru.

Para pemimpin juga harus memastikan perkongsian sedia ada kekal sesuai untuk tujuan itu, kata Encik Wong.

Sebagai contoh, Asean dan rakan kongsinya sedang menaik taraf perjanjian perdagangan mereka, manakala ahli CPTPP sedang menjalankan semakan umum ke atas perjanjian itu.

Dalam ucapannya, Encik Wong menyatakan bahawa dunia berada pada titik perubahan selepas berdekad-dekad mengalami perdagangan bebas dan globalisasi.

“Sokongan bagi penyejagatan semakin lemah. Terdapat pandangan meluas bahawa faedah perdagangan telah diagihkan secara tidak adil,” katanya.

“Ketegangan geopolitik sedang menetapkan semula rantaian bekalan, dan langkah-langkah sekatan perdagangan semakin meningkat, baik di dalam mahupun di luar Apec.”

Persekitaran operasi yang berubah ini membebankan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan dan meningkatkan risiko pemecahan ekonomi yang lebih luas, kata Encik Wong.

Berdasarkan itu, memang sudah tiba masanya untuk menekankan semula matlamat asal Apec mahu mewujudkan kemakmuran melalui integrasi ekonomi, dan menghidupkan semula semangat kerjasama yang membawa faedah bagi semua, tambahnya.

Selain memperdalam integrasi ekonomi serantau dengan berusaha ke arah FTAAP, Encik Wong berkata Apec perlu terus membuat kemajuan dalam pertumbuhan inklusif dan mampan.

“Ini akan menunjukkan bahawa perdagangan dan pelaburan membawa manfaat kepada rakyat kita,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar ahli Apec mewujudkan norma kerjasama dalam bidang baru muncul, seperti ekonomi digital dan hijau, untuk merebut peluang baru.

Sebagai contoh, perjanjian digital membantu meningkatkan ketersambungan merentas sempadan dan membolehkan perniagaan mencapai peluang daripada teknologi.

Perjanjian hijau juga boleh membuka peluang pekerjaan dan perusahaan baru dalam bidang kemampanan, sambil memudahkan peralihan hijau anggota Apec, katanya.

“Apec kini lebih relevan berbanding sebelum ini,” tambahnya.

Pada 16 November, PM Wong dijadualkan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec.

Beliau dijadual berada di Rio de Janeiro, Brazil, dari 17 hingga 20 November untuk sidang puncak Kumpulan 20.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg