Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong, PM Anwar harap kemajuan besar rungkai isu dua hala

Jun 12, 2024 | 8:34 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan rakan sejawatannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membincangkan langkah  memperkukuhkan hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan rakan sejawatannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membincangkan langkah memperkukuhkan hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melahirkan harapan kemajuan besar dapat dicapai dalam merungkai isu dua hala menjelang Rahat Pemimpin yang akan berlangsung pada akhir 2024.

Pendekatan strategik dalam menangani isu-isu kompleks tersebut – berkaitan pembekalan air dari Malaysia, had sempadan laut antara dua negara itu dan ruang udara – akan diteruskan kedua-dua negara dalam mencari penyelesaian bersama.

“Kami berharap dapat mencari penyelesaian untuk menamatkan isu-isu ini, sekurang-kurangnya untuk melihat kemajuan yang baik menjelang Rahat Pemimpin 2024, jika ia tidak dapat diselesaikan sepenuhnya,” kata Encik Wong pada 12 Jun.

Namun, isu-isu tertunggak itu tidak akan menjejas peluang kerjasama baru antara kedua-dua negara, ujar Encik Wong sambil menekankan keterbukaan Singapura untuk meneroka idea-idea baru yang dikemukakan.

Kedua-dua Encik Wong dan Datuk Anwar menzahirkan iltizam mereka dalam memperkukuh hubungan dua hala semasa sidang media di Seri Perdana, Putrajaya, yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia itu.

Meskipun akur isu dua hala yang dihadapi adalah cukup rumit dan akan mengambil masa untuk mencapai penyelesaian, Encik Wong menambah, Singapura dan Malaysia “komited untuk menanganinya dengan cara yang akan memberi ruang untuk hubungan dua hala ini terus berkembang”.

Menurut Datuk Anwar, isu tertunggak perlu diselesaikan “demi kepentingan hubungan masa depan” kedua-dua negara, namun akur beliau menempatkan cita-cita “yang agak tinggi” agar ia diselesaikan sebelum Rahat Pemimpin lewat 2024.

Menjelaskan lanjut tentang pendekatan Singapura dan Malaysia terhadap isu tertunggak itu semasa bertemu pihak media Singapura di akhir lawatannya ke Kuala Lumpur, Encik Wong berkata matlamatnya kini adalah untuk meneruskan perbincangan dengan baik dan mengenal pasti isu-isu utama yang perlu ditangani.

“Jika kita dapat mencapai penyelesaian (sebelum Rahat Pemimpin 2024) tentunya cukup baik, tapi jika tidak, sekurang-kurangnya kita dapat melihat kemajuan, rapatkan jurang antara kita dan mengenal pasti apa isu-isu utama yang perlu ditangani – berkaitan ruang udara, sempadan maritim.

“Saya rasa jika ini dapat dilakukan, ia tetap natijah yang baik, dan selepas itu kita teruskan usaha bersama,” katanya kepada pihak media Singapura.

Menurut Encik Wong, perbincangannya dengan rakan sejawatannya memberikan gambaran tentang cara terbaik untuk menangani isu.

Dalam membincangkan isu-isu yang tertunggak ini, Encik Wong menambah, hubungan baik Singapura-Malaysia perlu terus dipelihara dan ia tidak boleh menjejas bidang kerjasama baru.

Terdahulu, Encik Wong telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Anwar bagi membincangkan langkah memperkukuh hubungan dua hala antara negara.

Beliau turut bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bagi membincangkan cara terbaik memperluas kerjasama kedua-dua negara dalam bidang seperti pembangunan mampan dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Encik Wong telah menamatkan lawatan pengenalannya ke Brunei dan Malaysia pada 12 Jun dan bertolak pulang ke Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg