Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Brunei, S’pura punyai perspektif serupa tangani isu strategik

Hubungan akrab dua hala sebab Brunei dipilih negara pertama dalam siri lawatan pengenalan PM Wong
Jun 11, 2024 | 8:17 PM
Ketibaan Perdana Menteri Lawrence Wong dan delegasi Singapura disambut dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pagi 11 Jun.
Ketibaan Perdana Menteri Lawrence Wong dan delegasi Singapura disambut dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pagi 11 Jun. - Foto MCI

Sebagai dua negara terkecil di Asia Tenggara, Singapura dan Brunei mempunyai perspektif serupa dalam menangani isu strategik dan telah mengharungi susah senang bersama, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Justeru, pilihan Brunei sebagai negara pertama dalam siri lawatan pengenalan beliau sebagai Perdana Menteri mencerminkan betapa hubungan istimewa antara dua negara itu cukup dihargai, tambahnya dalam merumuskan lawatannya ke Brunei pada 11 Jun.

Kedua-dua negara telah mengesahkan lagi komitmen bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk keselamatan makanan, tenaga dan pertukaran perkhidmatan awam.

Ini merupakan lawatan ke luar negara pertama Encik Wong sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Encik Lee Hsien Loong pada 15 Mei.

Ketibaan Encik Wong dan delegasi Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pagi 11 Jun disambut Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri dan isteri, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Encik Wong telah bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha yang turut menghoskan jamuan tengah hari di Istana Nurul Iman pada hari yang sama.

Delegasi Singapura yang mengiringi beliau ke Brunei antaranya terdiri daripada Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee dan Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Singapura dan Brunei meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik pada 2024.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Wong menyampaikan penghargaannya atas sokongan Sultan Hassanal Bolkiah sepanjang tempoh tersebut semasa pertemuan itu.

Ini termasuk melalui sokongan jangka panjang untuk menyediakan ruang bagi latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Brunei serta kerjasama pelbagai aspek antara angkatan bersenjata kedua-dua negara.

Encik Wong turut mengesahkan pentingnya perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) antara dua negara – yang membolehkan mata wang Singapura dan Brunei ditukar pada kadar tukaran sama – dalam memacu kerjasama kewangan dan ekonomi sejak ia bermula pada 12 Jun 1967.

Mengesahkan komitmen Singapura untuk terus memperkukuh kerjasama Singapura-Brunei, Encik Wong berkata:

“Saya cukup menghargai hubungan akrab (Singapura) dengan Brunei, dan ini sebabnya Brunei merupakan perhentian pertama dalam (siri) lawatan pengenalan saya ke ibu kota negara-negara Asia Tenggara.

“Semoga hubungan istimewa kita dapat bertahan untuk generasi akan datang,” kata Encik Wong.

Semasa lawatan itu, Encik Wong turut diraikan Putera Al-Muhtadee Billah dan isteri dalam sesi jamuan teh di mana beliau menekankan pentingnya wadah seperti Program Pemimpin Muda Singapura-Brunei – yang dipengerusikan bersama Encik Wong – dalam membina hubungan antara pemimpin muda.

Bagi melanjutkan perbincangan dan kerjasama antara dua negara, Putera Al-Muhtadee Billah dijangka ke Singapura bagi Program Pemimpin Muda ke-10 lewat 2024.

Encik Wong bertolak ke Malaysia pada 11 Jun, perhentian kedua dalam rangka lawatan pengenalannya.

Di sana, beliau akan bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dalam acara berasingan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg