Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong mulakan lawatan pengenalan ke Brunei, M’sia

Ini merupakan lawatan luar negara pertama Encik Wong sebagai Perdana Menteri
Jun 10, 2024 | 6:01 PM
PM Lawrence Wong akan membuat lawatan pertamanya ke Brunei dan Malaysia sebagai Perdana Menteri pada 11 dan 12 Jun. Gambar menunjukkan pertemuan Encik Wong, semasa menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri (DPM),  dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Januari 2023.
PM Lawrence Wong akan membuat lawatan pertamanya ke Brunei dan Malaysia sebagai Perdana Menteri pada 11 dan 12 Jun. Gambar menunjukkan pertemuan Encik Wong, semasa menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri (DPM), dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Januari 2023. - Foto MCI

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memulakan siri lawatan pengenalan ke ibu kota negara Asia Tenggara dengan melawat Brunei dan Malaysia pada 11 dan 12 Jun.

PM Wong akan ke Bandar Seri Begawan pada 11 Jun sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Ini merupakan lawatan ke luar negara pertama Encik Wong sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Encik Lee Hsien Loong pada 15 Mei, meneruskan tradisi yang telah diamalkan pemimpin Singapura sebelumnya.

Di Brunei, Encik Wong akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Sultan Hassanal Bolkiah juga akan menghoskan jamuan tengah hari untuk Encik Wong dan delegasinya, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 10 Jun.

Encik Wong juga akan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri dan isterinya pada 11 Jun.

Dalam lawatannya ke Brunei, Encik Wong ditemani isterinya Cik Loo Tze Lui dan delegasi Singapura terdiri daripada Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee dan Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Encik Wong akan bertolak ke Malaysia malam 11 Jun, di mana beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain di Malaysia.

Semasa ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan memangku jawatan perdana menteri.

Ini merupakan kunjungan kedua Encik Wong ke Brunei dalam tempoh enam bulan.

Pada Disember 2023, Encik Wong telah melawat Brunei atas undangan Putera Mahkotanya, Putera Al-Muhtadee Billah untuk menjadi pengerusi bersama Program Pemimpin Muda (YLP) kesembilan.

Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua negara telah mengesahkan komitmen masing-masing untuk memperkukuh hubungan dua negara, sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Singapura-Brunei pada 2024.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Encik Wong juga telah menghubungi beberapa pemimpin Asia tenggara lain - melalui telefon atau secara fizikal- termasuk presiden yang dipilih, Encik Prabowo Subianto; presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin.

Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2004, Encik Lee Hsien Loong, juga telah memulakan siri lawatan pengenalannya ke Asean dengan melawat Brunei dan Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg