Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong, Vivian ucap takziah

Jun 13, 2025 | 3:25 PM
nahas Air India, korban penumpang, kru
Polis berkawal berhampiran serpihan pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad pada 13 Jun 2025. Pasukan penyelamat bersama anjing pengesan menjalankan operasi pencarian di lokasi nahas susulan pesawat penumpang yang dalam penerbangan ke London itu merempuh kawasan perumahan di bandar Ahmedabad, India, mengorbankan sekurang-kurangnya 265 orang termasuk penumpang, kru dan penduduk setempat. - Foto AFP

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, telah menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawatan mereka di India susulan nahas pesawat Air India yang meragut lebih 260 nyawa pada 12 Jun.

Dalam surat beliau kepada Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar pada 13 Jun, Encik Wong berkata beliau amat sedih menerima berita tentang nahas tragik itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga serta orang tersayang mangsa yang terlibat.

“Dalam saat duka ini, Singapura berdiri bersama Republik India dan negara-negara lain yang rakyatnya terkesan oleh kejadian yang amat menyayat hati ini,” tulis beliau.

Air India memaklumkan bahawa terdapat 242 orang di dalam penerbangan AI171 ke Lapangan Terbang Gatwick di London, yang terdiri daripada 169 rakyat India; 53 warga Britain; tujuh rakyat Portugal; seorang warga Canada dan 12 anak kapal.

Dr Balakrishnan dalam surat beliau kepada Menteri Hal Ehwal Luar India, Encik S. Jaishankar, menyatakan bahawa simpati beliau bersama rakyat India dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi tersebut.

Hanya seorang mangsa terselamat dalam nahas itu iaitu seorang warga Britain dari Leicester.

Namun puluhan orang di darat turut maut apabila pesawat itu merempuh sebuah asrama petugas perubatan pada 12 Jun.

Pesawat Boeing 787 Dreamliner tersebut terhempas sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang di Ahmedabad, barat India.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg