Pemimpin Singapura menyampaikan ucapan takziah kepada pemimpin Korea Selatan di atas nahas pesawat Jeju Air 2216 pada 29 Disember.
Dalam surat beliau bertarikh 30 Disember kepada Pemangku Presiden Korea Selatan, Encik Choi Sang-mok, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata beliau amat sedih apabila mengetahui tentang tragedi itu.
“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mereka yang berada di dalam penerbangan itu.
“Singapura bersatu bersama rakyat Republik Korea dan semua orang yang terjejas oleh tragedi ini. Kami bersimpati dengan mereka dalam masa penuh kesedihan ini,” kata Encik Wong.
Dalam surat beliau bertarikh 30 Disember, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, mengucapkan takziah mendalam kepada Menteri Luar Korea Selatan, Encik Cho Tae-yul, dan keluarga yang terjejas serta mereka yang kehilangan insan tersayang dalam penerbangan tersebut.
“Saya menyampaikan rasa simpati mendalam di atas nahas pesawat Jeju Air 2216 pada 29 Disember 2024.
“Takziah saya kepada keluarga yang terjejas dan mereka yang kehilangan orang tersayang dalam penerbangan ini,” katanya.
Seramai 179 penumpang dan kru pesawat Jeju Air 2216 itu terkorban selepas pesawat tersebut terhempas di landasan semasa cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, pada 29 Disember.
Kementerian Darat, Prasarana dan Pengangkutan Korea Selatan berkata nahas itu berlaku pada 9.03 pagi (8.03 pagi waktu Singapura) semasa pesawat tersebut sedang mendarat.
Difahamkan bahawa ia adalah percubaan mendarat kedua, selepas pesawat itu gagal dalam percubaan pertama kerana mengalami kerosakan pada gear pendaratan.
Pesawat itu membawa 181 orang, terdiri daripada 175 penumpang dan enam kru dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand, ke Muan. Hanya dua terselamat dalam nahas itu.
Ia nahas maut pertama dalam sejarah Jeju Air, salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah terbesar Korea Selatan yang ditubuhkan pada 2005.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg