Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas Jeju Air: PM Wong ucap takziah

MFA: Tiada penumpang warga Singapura dalam pesawat
Dec 30, 2024 | 10:12 PM
Nahas Jeju Air pada 29 Disember mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam kemalangan pesawat di Korea Selatan dengan 179 kematian.
Nahas Jeju Air pada 29 Disember mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam kemalangan pesawat di Korea Selatan dengan 179 kematian. - Foto REUTERS

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong menyampaikan ucap takziah kepada keluarga mangsa pesawat Jeju Air yang terhempas di Korea Selatan dan menyebabkan 179 nyawa terkorban pada 29 Disember.

Menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang menyayat hati, Encik Wong berkata menerusi kirimannya di Facebook, Singapura berdiri bersama semua pihak yang terjejas.

Encik Wong berkata: “Saya ucapkan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga dan orang tersayang mangsa dalam tragedi yang menyayat hati ini.

“Tragedi itu adalah peringatan yang jelas akan betapa rapuhnya kehidupan. Apabila kita berhimpun semasa musim perayaan ini, marilah kita menghargai masa yang kita miliki bersama orang yang kita sayangi, dan menghargai setiap detik dengan satu sama lain.”

Beliau menambah Singapura berdiri bersama rakyat Korea Selatan dan semua pihak yang terjejas.

“Semoga kita temukan kekuatan dalam perpaduan dan rasa ihsan dalam masa kita bersedih ini,” katanya.

Daripada 181 penumpang pesawat itu, kesemuanya warga Korea Selatan, kecuali dua warga Thailand.

Dua kru pesawat terselamat.

Dalam satu kenyataan lewat 29 Disember, Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengutuskan ucapan takziah susulan tragedi itu.

“Pemerintah Singapura bersedih atas berita nahas penerbangan Jeju Air 2216 pada 29 Disember 2024,” kata kementerian itu.

Menurut MFA, tiada penumpang warga Singapura dalam pesawat itu.

Pesawat itu membawa penumpang dari ibu negara Thailand, Bangkok ke Muan, Korea Selatan.

Pesawat tersebut terbakar semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan. 

Difahami, ia adalah percubaan mendarat yang kedua, selepas pesawat itu gagal dalam percubaan pertama kerana mengalami kerosakan pada gear pendaratan.

Gear pendaratan pesawat itu dipercayai gagal diturunkan pada percubaan mendarat kedua, menyebabkan perut pesawat bergeser dengan landasan.

Video kejadian yang tular di dalam talian menunjukkan pesawat bergerak dengan laju sehingga ia merempuh struktur pengadang di akhir landasan, sebelum terbakar.

Nahas pada 29 Disember mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam kemalangan pesawat di Korea Selatan dengan 179 kematian.

Sebelum ini, rekod tertinggi adalah 66 kematian dalam nahas pesawat Asiana Airlines pada 1993 di Haenam. 

Punca nahas di Muan sedang dalam siasatan, namun pihak berkuasa percaya ia berpunca daripada serangan sekumpulan burung dan cuaca buruk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg