Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Poland akan tembak penceroboh ruang udara, Russia dakwa Estonia sebar tuduhan palsu

Sep 22, 2025 | 7:36 PM
Anggota polis dan tentera berada di lokasi penemuan serpihan yang dipercayai daripada peluru berpandu Poland di kampung Choiny, timur Poland, 19 September 2025. Sisa peluru berpandu itu dipercayai dilancarkan bagi menembak jatuh dron Russia. Pada malam 9 hingga 10 September 2025, dron Russia berulang kali menceroboh ruang udara Poland semasa serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine, yang disifatkan Warsaw sebagai satu provokasi. Insiden itu memaksa Poland dan sekutu NATO menghantar jet pejuang, dan Poland berkata dron yang dianggap ancaman terus telah berjaya ditembak jatuh pada malam tersebut
Anggota polis dan tentera berada di lokasi penemuan serpihan yang dipercayai daripada peluru berpandu Poland di kampung Choiny, timur Poland, 19 September 2025. Sisa peluru berpandu itu dipercayai dilancarkan bagi menembak jatuh dron Russia. Pada malam 9 hingga 10 September 2025, dron Russia berulang kali menceroboh ruang udara Poland semasa serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine, yang disifatkan Warsaw sebagai satu provokasi. Insiden itu memaksa Poland dan sekutu NATO menghantar jet pejuang, dan Poland berkata dron yang dianggap ancaman terus telah berjaya ditembak jatuh pada malam tersebut - Foto EPA

WARSAW: Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, menegaskan negaranya tidak akan teragak-agak untuk menembak jatuh sebarang objek yang jelas menceroboh ruang udara Poland, sambil mengingatkan bahawa tindakan ketenteraan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati agar tidak mencetuskan konflik besar dengan Russia.

Kenyataan itu dibuat selepas ketegangan meningkat di Eropah Timur berikutan dakwaan Estonia bahawa tiga jet pejuang MiG-31 milik Rusia menceroboh ruang udaranya pada 19 September.

“Kami akan membuat keputusan untuk menembak jatuh objek terbang jika ia menceroboh wilayah kami dan terbang di atas Poland, perkara itu tidak boleh dipertikaikan,” kata Encik Tusk dalam satu sidang media di Warsaw pada 22 September.

Encik Tusk turut merujuk insiden baru-baru ini apabila jet Russia terbang berhampiran pelantar minyak Petrobaltic di Laut Baltik, tanpa melanggar perairan wilayah Poland.

“Apabila berdepan situasi yang tidak begitu jelas, seperti penerbangan jet Russia berhampiran pelantar Petrobaltic tetapi tanpa pencerobohan, kerana ia bukan wilayah kami, kita perlu berfikir dua kali sebelum membuat keputusan yang boleh mencetuskan fasa konflik lebih serius,” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa sebarang tindakan tegas mesti mendapat sokongan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). “Saya perlu benar-benar pasti bahawa semua sekutu akan bertindak dengan cara yang sama seperti kami,” kata Encik Tusk.

Dakwaan Estonia mengenai pencerobohan udara pada 19 September lalu mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan pemimpin Nato bahawa Russia sedang “menguji” tahap kesiapsiagaan perikatan itu. Pegawai Barat menyifatkan insiden itu sebagai percubaan Moscow untuk menilai kesatuan dan kekuatan tindak balas Nato.

Estonia mendakwa tiga jet MiG-31 Rusia memasuki ruang udara mereka tanpa kebenaran selama 12 minit sebelum diusir keluar oleh pesawat penggempur Nato. Peristiwa itu berlaku hanya beberapa hari selepas lebih 20 dron Russia memasuki ruang udara Poland pada 9 hingga 10 September, yang menyebabkan beberapa daripadanya ditembak jatuh oleh jet Nato.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan bersidang pada 22 September bagi membincangkan isu ini, manakala mesyuarat perundingan Artikel 4 Nato yang membolehkan mana-mana anggota meminta perbincangan kecemasan apabila keselamatan wilayahnya terancam akan diadakan pada 23 September.

Moscow bagaimanapun menafikan keras dakwaan tersebut dan menuduh Estonia cuba menimbulkan suasana konfrontasi. Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, berkata Tallinn gagal mengemukakan bukti kukuh.

“Kami tidak mendengar dalam kenyataan Estonia bahawa mereka mempunyai data pemantauan objektif untuk menyokong dakwaan itu,” kata Encik Peskov kepada wartawan.
“Oleh itu, kami menganggap kata-kata itu kosong, tidak berasas, dan sebahagian daripada corak tidak bertanggungjawab untuk meningkatkan ketegangan serta mewujudkan suasana konfrontasi,” tambahnya.

Beliau menegaskan Kementerian Pertahanan Russia telah menolak tuduhan itu, sambil menekankan bahawa juruterbang Russia sentiasa beroperasi mengikut undang-undang antarabangsa.

Insiden ini menambah lagi ketegangan di rantau Baltik yang sudah pun berdepan risiko keselamatan tinggi sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022. Penganalisis berkata, siri pencerobohan ruang udara sama ada benar atau dakwaan semata-mata menunjukkan strategi Moscow untuk menguji kesabaran Nato serta menimbulkan perpecahan dalam kalangan anggotanya.

Seorang diplomat Eropah berkata: “Russia tahu NATO perlu bertindak dengan berhati-hati. Tetapi jika pencerobohan ini berulang, ia boleh mengheret perikatan kepada krisis yang lebih sukar dikawal.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg