Topik diikuti
Pergi ke BHkuPoland tarik balik anugerah kepada Presiden Ukraine
Poland tarik balik anugerah kepada Presiden Ukraine
Pegawai tertinggi Ukraine umum akan pulangkan pingat kebesaran yang dianugerahkan Poland
Poland tarik balik anugerah kepada Presiden Ukraine
KYIV: Beberapa pegawai tertinggi Ukraine berkata mereka akan memulangkan pingat kebesaran yang dianugerahkan Poland.
Tindakan itu dibuat selepas Presiden Poland, Encik Karol Nawrocki, melucutkan darjah kebesaran tertinggi negara itu daripada rakan sejawatnya, Encik Volodymyr Zelensky.
Ia sekali gus meruncingkan lagi pertelingkahan berhubung isu memperingati pejuang Perang Dunia Kedua yang kontroversial.
Menteri Luar Ukraine, Encik Andrii Sybiha; Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Encik Kyrylo Budanov; dan Duta Ukraine ke Poland, Encik Vasyl Bodnar, dalam hantaran media sosial berasingan memaklumkan bahawa mereka akan memulangkan semula anugerah yang pernah diterima sebelum ini.
Pertikaian tersebut berisiko mengheret hubungan antara kedua-dua negara sekutu itu ke tahap paling rendah.
Pertikaian itu tercetus pada Mei, apabila Encik Zelensky menamakan sebuah unit tentera sempena Tentera Pemberontak Ukraine (UPA) – kumpulan nasionalis yang disanjung Kyiv atas perjuangan gerilanya demi kemerdekaan semasa dan sejurus selepas Perang Dunia Kedua.
Namun, UPA kekal menjadi punca ketegangan berpanjangan dengan Poland ekoran peristiwa pembunuhan beramai-ramai di wilayah Volhynia antara 1943 dengan 1945.
Dianggarkan seramai 100,000 warga Poland terkorban dalam tragedi itu, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Susulan tindakan Kyiv itu, Encik Nawrocki pada 19 Jun telah melucutkan anugerah tertinggi Poland, Order of the White Eagle, daripada Encik Zelensky.
Encik Nawrocki menjelaskan tindakannya dalam satu hantaran video di platform X:
“Keputusan Ukraine untuk mengagungkan UPA adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan amat mengecewakan.
“Ia bukan sahaja memperlekehkan sejarah, malah merosakkan kepercayaan yang telah dibina sejak bertahun-tahun serta dalam beberapa bulan kebelakangan ini.”
Ketegangan semakin memuncak ini berlaku di tengah-tengah solidariti Poland terhadap Ukraine mula menunjukkan keretakan selepas lebih empat tahun perang Russia terhadap Ukraine tercetus.
Konflik itu sebelum ini telah mengubah Poland, yang juga ahli Kesatuan Eropah (EU), sebagai hab utama bantuan ketenteraan Barat untuk Kyiv.
Sebagai respons kepada tindakan tersebut, Encik Sybiha berkata keputusan Encik Nawrocki itu hanya akan memberi kelebihan kepada Russia dan beliau kesal kerana Poland “telah membiarkan emosi menguasai diri”.
Encik Budanov pula menyifatkan keputusan Encik Nawrocki sebagai “hadiah buat penceroboh Moscow”.
Manakala Encik Bodnar menegaskan bahawa dalam situasi perang ketika ini, tindakan tersebut dilihat sebagai satu tamparan yang ditujukan kepada rakyat Ukraine.
Pertikaian semakin meruncing ini berlaku hanya beberapa hari sebelum Encik Zelensky dijangka menghadiri persidangan mengenai pemulihan pascaperang Ukraine, di mana Poland menjadi tuan rumah.
Setakat ini, Encik Zelensky masih belum memberikan sebarang ulasan mengenai perkara itu.
Dalam persidangan tersebut, syarikat, penderma, dan para pegawai akan mengadakan perbincangan mengenai pembinaan semula Ukraine, namun pertikaian mengenai pingat kebesaran ini dilihat akan membayangi acara berkenaan.
Parlimen Warsaw (Poland) sebelum ini menyifatkan pembunuhan beramai-ramai di wilayah yang kini sebahagian besarnya milik Ukraine itu sebagai satu jenayah genosid.
Walaupun Kyiv mengiktiraf kekejaman tersebut dan bersetuju membenarkan proses penggalian semula mayat mangsa dijalankan, mereka turut menggesa Warsaw agar tidak mempolitikkan isu berkenaan, sebaliknya mencari jalan ke arah penyelesaian yang aman. – Agensi berita.
