PROVIDENCE (Amerika Syarikat): Pegawai polis telah mengunjungi dari rumah ke rumah di Providence, Rhode Island, pada 15 Disember untuk mendapatkan rakaman daripada kamera pengawasan.
Ia dalam usaha memburu lelaki bersenjata yang membunuh dua pelajar dan mencederakan tujuh yang lain dalam bilik darjah di Universiti Brown.
Pemburuan suspek, yang termasuk menyiarkan rakaman video baru suspek, disambung semula selepas pihak berkuasa membebaskan seorang lelaki yang mulanya mereka tahan pada hujung minggu.
Berita bahawa lelaki bersenjata itu masih bebas membuatkan Providence kembali tegang.
Ini walaupun pegawai berkata tiada ancaman kepada masyarakat dan mereka tidak akan mengenakan semula perintah berlindung yang telah ditarik balik sebelum ini.
"Orang ramai sangat keliru dan gementar. Kami terpaksa duduk di dalam rumah.
“Kami semua terpaku pada televisyen dan nampaknya pemburuan kini giat dijalankan," kata Cik Sue Erkkinen, seorang ejen hartanah.
Ketua Polis Providence, Encik Oscar Perez, memberitahu sidang akhbar pada petang 15 Disember bahawa penguatkuasaan undang-undang cuba meyakinkan penduduk dengan mengekalkan profil yang tinggi.
Beliau turut menayangkan tiga klip video pendek daripada rakaman pengawasan rumah suspek, seorang lelaki berbadan tegap yang memakai jaket gelap, topi dan topeng muka, berjalan melalui kawasan kejiranan College Hill berhampiran kampus kira-kira dua jam sebelum kejadian tembakan itu.
Satu rakaman menunjukkan lelaki berkenaan mundar-mandir di sepanjang pagar kayu putih, satu lagi melintasi sudut jalan dan satu lagi berjalan melepasi sebuah rumah berpagar.
Dua gambarnya di kaki lima turut ditunjukkan. Tetapi wajah lelaki itu kelihatan kabur disebabkan pelitup yang dipakainya.
“Lebih cepat kita dapat mengenal pasti orang ini, lebih cepat kita dapat membuka kes ini,” kata Peguam Negara, Encik Peter Neronha, pada sidang akhbar itu.
Seorang ejen khas Biro Siasatan Federal (FBI) dari Boston, Encik Ted Docks, berkata ganjaran AS$50,000 (S$64,573) ditawarkan untuk maklumat yang membawa kepada pengenalpastian, penangkapan dan sabitan suspek, yang katanya dianggap bersenjata dan berbahaya.
Encik Perez berkata suspek menggunakan pistol dan telah melepaskan beberapa das tembakan.
Penembak melarikan diri selepas melepaskan tembakan pada ke arah sebuah bilik darjah di bangunan kejuruteraan dan fizik Universiti Brown.
Pintu luar dibiarkan tidak berkunci semasa peperiksaan sedang berlangsung, menurut polis.
Pegawai berkata terdapat bukti yang mencukupi untuk mewajarkan penangkapan suspek yang tidak dinamakan itu, seorang lelaki berusia 20-an. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg