SYDNEY: Polis Australia telah menumpaskan sebuah kumpulan jenayah terancang yang didakwa cuba melakukan pembunuhan berhampiran pusat jagaan kanak-kanak di Sydney, kata pasukan itu pada 8 Oktober.
Dalam kejadian itu, Polis New South Wales menyerbu dua buah kereta selepas mendapat maklumat sekumpulan tiga lelaki sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan di Revesby, di barat daya bandar itu, pada 7 Oktober.
Pegawai polis taktikal kemudiannya menahan mereka semasa operasi “berisiko tinggi” pada sekitar 3:50 petang.
Hasil pemeriksaan, mereka menemui dua senjata api, balaclava (sarung muka), kamera yang dipakai di badan dan beberapa tin berisi minyak petrol dalam kedua-dua kereta itu.
Senjata api ketiga kemudiannya ditemui semasa penggeledahan seterusnya ke atas kenderaan dan premis yang didakwa ada kaitan dengan kumpulan tersebut.
Rakaman di tempat kejadian pada 7 Oktober menunjukkan kedua-dua kereta itu dipenuhi dengan lubang bekas tembakan peluru.
Seorang saksi, yang tidak mahu namanya didedahkan, memberitahu Channel Nine Australia bahawa beliau mendengar bunyi tembakan dan pergi untuk memeriksa.
“Saya mula berjalan keluar dari rumah saya dan saya mendengar beberapa lagi tembakan dan kemudian kereta berpusing,” katanya.
Penolong Pesuruhjaya Polis Encik Scott Cook berkata pihak berkuasa telah menyiasat rangkaian jenayah rentas sempadan yang “dipercayai terlibat dalam pelbagai konspirasi pembunuhan” selama beberapa minggu.
Mangsa yang disasarkan kumpulan itu mempunyai kaitan jenayah dan menjadi sasaran kerana keretakan hubungan dalam sindiket jenayah terancang itu, katanya.
Kumpulan lelaki itu datang “cukup dekat” untuk melakukan serangan itu, tambah Encik Cook.
Polis mendakwa ketiga-tiga suspek tidak mengenali mangsa tetapi diupah oleh sindiket jenayah.
“Hakikat bahawa kumpulan ini bersedia untuk membunuh seorang individu di lokasi di mana begitu banyak kerosakan akan berlaku cukup membimbangkan.
“Kami memerhatikan kesemua lelaki itu dan kami bertindak pada masa yang tepat,” kata beliau lagi.,
Komander Skuad Jenayah Terancang, Detektif Superintendan Peter Faux, berkata para pegawai yakin mereka menghalang lelaki itu daripada “membunuh seseorang”.
“Kami dengan jelas menghalang orang lain, pemerhati yang tidak bersalah, daripada terperangkap dalam pembunuhan yang dimaksudkan ini,” kata Superintendan Faux.
Ketiga-tiga lelaki itu, masing-masing berusia 18, 19 dan 26 tahun, telah didakwa dengan beberapa tuduhan, termasuk konspirasi untuk membunuh dan menyertai kumpulan jenayah.
Mereka tidak dibenarkan ikat jamin dan akan hadir di mahkamah pada 8 Oktober. Polis masih meneruskan siasatan. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg