DENPASAR: Polis Bali akan menyambung semula siasatan berhubung kematian Encik Byron Haddow, pelancong Australia berusia 23 tahun yang ditemui lemas di sebuah vila di Kuta Utara pada Mei lalu. Perhatian terhadap kes ini meningkat selepas keluarganya mendedahkan jasad Byron dihantar pulang ke Australia tanpa organ jantung, menimbulkan keraguan tentang punca sebenar kematiannya.
Jurucakap Polis Bali, Pesuruhjaya Ariasandy, berkata pihaknya kini merancang bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) bagi menemu bual tiga rakyat Australia yang berada bersama Byron ketika kejadian. “Polis Bali belum sempat menyoal tiga individu itu kerana mereka pulang ke Australia sejurus selepas insiden berlaku,” katanya pada 24 September.
Menurut Pesuruhjaya Ariasandy, mayat Encik Byron ditemui terapung di kolam renang The Grove Villa pada pagi 26 Mei. Rakaman CCTV menunjukkan beliau minum alkohol bersama tiga pelancong Australia lain, Bailey Peter Woods, Kristy Lee Pepperell dan Jade Emeleah Lucas malam sebelum tragedi.
Difahamkan mereka meninggalkan Encik Byron seorang diri di tepi kolam sebelum masuk tidur. Keesokan paginya, mayatnya ditemui oleh Bailey.
Ketiga-tiga individu itu dilaporkan meninggalkan vila segera selepas kejadian, sebelum pasukan perubatan tiba. Hanya Bailey kembali seketika apabila pengurus vila memerlukan pasport Encik Byron bagi tujuan dokumentasi.
Hasil bedah siasat di Hospital Prof Ngoerah menunjukkan Encik Byron meninggal dunia akibat keracunan alkohol, selain ditemukan bahan duloxetine ubat yang biasanya digunakan bagi merawat kemurungan dan kebimbangan. Gabungan alkohol dan ubat itu boleh melemahkan sistem saraf, mengganggu fungsi kognitif dan mengurangkan keupayaan untuk menyelamatkan diri, menurut pakar forensik.
Bagaimanapun, keluarga Encik Byron terkejut apabila menyedari jantungnya tidak dihantar bersama jasad ketika pengebumian dijadualkan. Jantung itu hanya sampai ke Queensland pada Ogos, lebih dua bulan selepas kematiannya. “Ketika saya fikir tiada lagi perkara yang boleh merobek hati, ini satu tamparan baru,” kata ibunya, Chantal Haddow kepada Channel Nine Australia. “Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Kami syak dia mungkin dicederakan sebelum ditemui di kolam.”
Pengarah Perkhidmatan Kejururawatan dan Sokongan Perubatan Hospital Prof Ngoerah, Dr I Made Darmajaya, menafikan sebarang dakwaan kecurian organ. “Hospital kami tidak pernah terlibat dalam salah laku, khususnya pencurian organ. Tuduhan itu tidak berasas,” tegasnya.
Beliau menjelaskan jantung perlu dikeluarkan untuk pemeriksaan forensik terperinci dan proses analisis boleh mengambil masa sehingga sebulan sebelum ia dihantar semula.
Namun, peguam keluarga, Ni Luh Arie Ratna Sukasari, berkata keluarga kecewa kerana keputusan itu dibuat tanpa penjelasan awal. “Ini isu serius yang menyentuh hak asasi dan kepercayaan terhadap institusi perubatan serta undang-undang. Keluarga akan terus mencari keadilan sehingga kebenaran penuh didedahkan,” katanya dalam sidang media di Bali.
Cik Ratna turut mendakwa hospital mengenakan bayaran tambahan sekitar A$700 ($591) untuk menghantar semula jantung ke Australia dan meminta siasatan dilakukan secara telus, termasuk kejanggalan seperti lebam yang tidak dijelaskan pada wajah dan badan Encik Byron serta transaksi kewangan mencurigakan sebelum kematiannya.
“Keterbukaan semua pihak berwajib penting bagi mengembalikan keyakinan terhadap sistem keadilan dan perubatan,” tegas Cik Ratna.
Dengan bantuan AFP, Polis Bali berharap dapat menyoal rakan-rakan Byron yang merupakan saksi terakhir bersamanya, bagi melengkapkan siasatan yang tergendala dan menjawab persoalan yang menghantui keluarganya sejak berbulan-bulan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg