Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis Filipina siasat 2 kejadian bom sebelum ucapan negara oleh Presiden
Polis Filipina siasat 2 kejadian bom sebelum ucapan negara oleh Presiden
Polis Filipina siasat 2 kejadian bom sebelum ucapan negara oleh Presiden
MANILA: Satu letupan bom buatan sendiri (IED) meledak berhampiran pintu masuk kompleks Kementerian Keadilan Filipina awal pagi 27 Julai.
Sementara itu, satu lagi peranti letupan berjaya ditemui dan dimatikan berhampiran bangunan Senat beberapa jam kemudian.
Kejadian itu berlaku ketika Manila berada dalam kawalan keselamatan maksimum menjelang Ucapan Negara (Sona) Presiden Ferdinand Marcos Jr.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian tersebut, namun polis percaya kedua-duanya berkemungkinan ada kaitan.
Ketua Polis Wilayah Ibu Kota Negara (NCRPO), Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr, berkata siasatan awal mendapati terdapat kemungkinan besar kedua-dua kejadian dilakukan oleh pihak yang sama.
“Terdapat kemungkinan besar kedua-dua insiden ini saling berkaitan.
“Kami telah mengaktifkan pelan luar jangka bagi menghadapi ancaman bom, letupan dan pelbagai risiko keselamatan lain, namun satu peranti masih berjaya meledak di hadapan Kementerian Keadilan,” katanya kepada pemberita.
Letupan pertama berlaku pada 12.17 tengah malam di Padre Faura Street, Ermita, berhampiran pintu masuk kompleks Kementerian Keadilan.
Walaupun tiada mangsa cedera, letupan itu menyebabkan serpihan berterbangan dan memecahkan cermin hadapan beberapa kenderaan yang diletak berhampiran lokasi kejadian.
Jurucakap Polis Manila, Encik Philipp Ines, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi menentukan jenis bahan letupan dan kekuatan sebenar letupan itu.
“Kami masih menyiasat, jadi belum dapat memastikan sama ada letupan itu berskala besar atau kecil,” katanya.
Gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan serpihan kecil bertaburan di jalan, manakala beberapa kenderaan mengalami kerosakan akibat gelombang letupan tersebut.
Beberapa jam kemudian, satu lagi peranti letupan buatan sendiri ditemui di Diokno Boulevard, berhampiran bangunan Senat di Pasay City.
Peranti berkenaan dikesan kira-kira 8.30 pagi oleh seorang pemandu lori tunda sebelum beliau segera memaklumkan kepada anggota keselamatan.
Pasukan Pemusnah Bom (EOD) kemudian dikerah ke lokasi dan berjaya mematikan peranti itu tanpa sebarang kejadian.
Pemeriksaan awal menemukan beberapa komponen dipercayai digunakan untuk menghasilkan bom tersebut, termasuk peranti jangka masa, bateri 9 volt, peledak dan sebuah bekas plastik yang mengandungi serbuk berwarna perang yang dipercayai bahan letupan.
Semua bahan itu dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis.
Jurucakap polis wilayah, Encik Hazel Asilo, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kekuatan letupan yang mungkin dihasilkan sekiranya peranti itu meledak.
Insiden berkembar itu berlaku hanya beberapa jam sebelum Encik Marcos menyampaikan Sona tahunan kelimanya di Kongres, antara acara politik paling penting di Filipina yang lazimnya disertai anggota Kabinet, ahli Parlimen, diplomat asing dan pemimpin masyarakat.
Kawasan sekitar Kongres, Senat dan beberapa bangunan pemerintah utama diletakkan di bawah kawalan keselamatan yang diperketat sejak awal pagi dengan ribuan anggota polis dan tentera dikerahkan bagi mengawal keadaan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengenal pasti individu atau kumpulan yang bertanggungjawab terhadap kedua-dua kejadian itu.
Polis juga belum mengesahkan sama ada bom berkenaan mempunyai kaitan secara langsung dengan acara Sona itu atau bermotif politik.
Kejadian itu berlaku ketika suhu politik di Filipina semakin memuncak berikutan krisis dalam gabungan pemerintah dan prosiding pemecatan yang sedang dihadapi Naib Presiden Sara Duterte.
Ketegangan politik turut dipengaruhi dakwaan penyelewengan dana berkaitan projek kawalan banjir yang mencetuskan kritikan meluas terhadap pemerintah negara itu.
Walaupun ancaman keselamatan meningkat, pihak berkuasa menegaskan bahawa persiapan bagi Sona diteruskan seperti dirancang dengan kawalan keselamatan dipertingkat di semua lokasi strategik.
Polis turut meningkatkan rondaan, pemeriksaan kenderaan dan pemantauan di kawasan tumpuan awam di sekitar Metro Manila sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang ancaman susulan.
Siasatan terhadap kedua-dua kejadian itu masih diteruskan, termasuk bagi mengenal pasti sama ada ia sebahagian daripada rancangan serangan yang lebih besar atau sekadar cubaan mencetuskan panik menjelang acara kenegaraan tersebut. – Agensi berita.