Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Jerman buru penyerang insiden tikaman maut

Tiga maut, sekurang-kurangnya lapan cedera dalam serangan semasa sambutan ulang tahun ke-650 bandar Solingen
Aug 24, 2024 | 5:18 PM
Polis forensik menyiasat kawasan di mana sekurang-kurangnya tiga orang maut dan beberapa orang lain cedera kerana diserang dengan pisau oleh seorang lelaki, ketika satu acara perayaan pada 23 Ogos di Solingen, Jerman.
Polis forensik menyiasat kawasan di mana sekurang-kurangnya tiga orang maut dan beberapa orang lain cedera kerana diserang dengan pisau oleh seorang lelaki, ketika satu acara perayaan pada 23 Ogos di Solingen, Jerman. - Foto AFP

SOLINGEN (Jerman): Polis Jerman berkata pada 24 Ogos bahawa mereka masih mencari penyerang yang tidak dikenali beberapa jam selepas dia membunuh tiga orang dan mencederakan yang lain dalam serangan tikaman di sebuah pesta di bandar barat Solingen.

Lapan orang cedera, lima daripadanya parah. Jumlah itu meningkat daripada empat kecederaan serius yang dilaporkan polis sebelum ini.

“Kedua-dua mangsa dan saksi sedang disoal siasat,” tambah polis. Mereka kini “mencari pelaku dengan pasukan yang besar”.

Serangan itu berlaku kira-kira 9.40 malam (waktu tempatan) pada 23 Ogos.

Lelaki itu telah menyerang sebilangan orang dengan pisau, khususnya di kerongkong mangsanya, kata polis.

Mereka tidak dapat memberikan butiran lanjut atau motif.

“Pihak berkuasa keselamatan kami melakukan segala yang mereka mampu untuk menangkap pelaku dan menyiasat latar belakang serangan itu,” kata Menteri Dalam Negeri Jerman, Cik Nancy Faeser, dalam catatan di X.

Serangan itu berlaku pada perayaan untuk memperingati ulang tahun ke-650 bandar itu.

Pihak berkuasa telah membatalkan baki acara hujung minggu itu.

Menteri Negara (Dalam Negeri), Encik Herbert Reul, dalam lawatan ke tempat kejadian pada awal 24 Ogos, memberitahu pemberita bahawa ia adalah serangan yang disasarkan ke atas nyawa manusia tetapi enggan membuat spekulasi mengenai motifnya.

Insiden itu berlaku di Fronhof, sebuah kawasan lapang di mana beberapa kumpulan sedang bermain muzik.

Akhbar Jerman, Solinger Tageblatt, melaporkan bahawa salah seorang penganjur bersama festival itu telah naik ke atas pentas untuk membatalkan acara tersebut. Orang ramai diminta meninggalkan pusat bandar.

Berikutan pengumuman itu, beribu-ribu hadirin bergegas meninggalkan kawasan itu, dan seorang wartawan di tempat kejadian menggambarkan suasana itu sebagai “menyeramkan”.

“Orang ramai meninggalkan tempat kejadian dalam keadaan terkejut tetapi dengan tenang,” kata Encik Philipp Mueller, salah seorang penganjur, kepada akhbar itu.

Encik Lars Breitzke, seorang saksi, memberitahu Tageblatt bahawa beliau berada beberapa meter dari serangan itu, tidak jauh dari pentas.

Beliau “memahami daripada memek muka penyanyi itu bahawa ada sesuatu yang tidak kena”.

“Dan kemudian, satu meter dari saya, seseorang jatuh,” tambahnya.

Beliau pada mulanya menyangka itu hanya seseorang yang mabuk, tetapi apabila beliau menoleh, beliau melihat orang lain terbaring di atas tanah dan beberapa genangan darah.

Serangan tikaman dan tembakan maut di Jerman agak jarang berlaku.

Pada Jun, seorang anggota polis berusia 29 tahun meninggal dunia selepas ditikam di Mannheim dalam serangan ke atas acara bantahan sayap kanan.

Terdapat serangan tikaman di atas sebuah kereta api pada 2021, mencederakan beberapa orang. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg