Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Kenya tembak penunjuk perasaan serbu Parlimen

Jun 26, 2024 | 3:38 PM
penunjuk perasaan
Penunjuk perasaan yang marah dan membantah kenaikan cukai di Nairobi cuba mara ke arah anggota polis pada 25 Jun. - Foto AFP

NAIROBI: Polis Kenya melepaskan tembakan ke arah ratusan penunjuk perasaan yang menyerbu Parlimen di ibu kota Nairobi.

Beberapa orang terbunuh dan ratusan yang lain cedera selepas ribuan penunjuk perasaan membantah rang undang-undang cukai yang telah mencetuskan kemarahan rakyat negara itu.

Kejadian yang berlaku pada 25 Jun waktu tempatan itu menyaksikan sebahagian bangunan berkenaan turut dibakar, dengan penggubal undang-undang dan ahli parlimen terpaksa melarikan diri ketika mengadakan perbahasan mengenai undang-undang cukai tersebut sebelum ia diluluskan, lapor agensi berita AFP.

Orang ramai yang marah dilaporkan bertempur dengan barisan polis lalu menyerbu kawasan tersebut sebelum membakar sebahagian daripadanya. 

Presiden Kenya, Encik William Ruto, berkata segala cara akan digunakan untuk “menggagalkan sebarang percubaan penjenayah berbahaya yang menjejas keselamatan dan kestabilan negara”.

Beliau turut mengerahkan tentera untuk mengawal keadaan. 

Seramai lima penunjuk perasaan maut selepas ditembak mati oleh polis Kenya ketika menyertai protes itu.

Seramai 150 orang lagi dilaporkan cedera.

“Mereka kata kami tidak akan masuk ke Parlimen, tetapi inilah kami. Rakyat ada kuasa,” jerit seorang penunjuk perasaan di dalam Dewan Negara.

Encik Ruto menegaskan bahawa pihaknya akan bertindak balas terhadap kacau-bilau itu yang disifatkannya sebagai “keganasan dan anarki”.

Ahli Parlimen pada 25 Jun meluluskan rang undang-undang kewangan 2024 yang bertujuan untuk menaikkan tambahan 346.7 bilion shilling ($3.62 bilion) dengan langkah seperti meningkatkan levi pembangunan kereta api daripada 1.5 peratus kepada 2.5 peratus dan yuran pengisytiharan import daripada 2.5 setiap sen kepada 3.5 peratus.

Bantahan terhadap rang undang-undang kewangan yang tidak popular itu termasuk beberapa kenaikan cukai berterusan selama beberapa hari.

Bantahan berkenaan semakin meningkat pada 22 Jun apabila Ahli Parlimen meluluskan rang undang-undang yang dipinda.

Wartawan yang melaporkan dari lokasi kejadian melihat anggota polis melepaskan tembakan dengan peluru hidup dan menemui mayat berlumuran darah terbaring di jalan.

Protes di ibu kota menyebabkan perniagaan terhenti dengan semua kedai di daerah pusat perniagaan masih ditutup.

Pengangkutan awam turut terganggu di serata Nairobi dengan banyak pengendali bas menghentikan khidmat mereka.

“Kami sudah membatalkan semua perjalanan kami kerana bimbang mengenai keselamatan diri,” kata Encik Joy Alecky, pengurus Super Metro Sacco. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg