Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Korea Selatan mohon lanjut waran penahanan Yoon

Jan 6, 2025 | 12:31 PM
Anggota keselamatan berkawal dengan barisan bas menghalang pintu masuk untuk melindungi Presiden Korea Selatan yang digantung tugas, Encik Yoon Suk Yeol, daripada kemungkinan percubaan penahanan kali kedua oleh Pejabat Penyiasatan Rasuah Pegawai Tertinggi di kawasan kediaman presiden di Seoul pada 6 Januari.
Anggota keselamatan berkawal dengan barisan bas menghalang pintu masuk untuk melindungi Presiden Korea Selatan yang digantung tugas, Encik Yoon Suk Yeol, daripada kemungkinan percubaan penahanan kali kedua oleh Pejabat Penyiasatan Rasuah Pegawai Tertinggi di kawasan kediaman presiden di Seoul pada 6 Januari. - Foto AFP

SEOUL: Penyiasat Korea Selatan sedang berusaha untuk memohon lanjutan waran penahanan terhadap mantan Presiden Yoon Suk Yeol.

Demikian menurut kenyataan seorang pegawai pada 6 Januari.

Permintaan itu dibuat selepas percubaan gagal untuk menyerahkan waran penahanan pada 3 Januari, apabila pengawal keselamatan presiden membentuk rantaian manusia bagi menghalang akses penyiasat kepada Encik Yoon.

Encik Yoon sedang disiasat atas tuduhan pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember yang mengejutkan negara.

Pengisytiharan itu membawa kepada pengeluaran waran penahanan pertama terhadap presiden yang masih memegang jawatan.

Pejabat Penyiasatan Rasuah Pegawai Tertinggi (CIO), yang mengetuai siasatan itu bersama polis dan pejabat pendakwa raya, mendakwa Encik Yoon sebagai dalang di sebalik pemberontakan tersebut.

Pada 14 Disember, Parlimen memecat Encik Yoon daripada jawatan presiden, menggantung tugasnya sementara Mahkamah Perlembagaan memutuskan sama ada untuk menggugurkannya secara kekal atau mengembalikannya ke jawatan.

Dalam kenyataan kepada media, CIO meminta pihak polis mengambil alih pelaksanaan waran penahanan yang akan tamat pada tengah malam 6 Januari.

“Kami sedang menilai permintaan itu,” kata seorang pegawai polis kepada agensi berita, Reuters.

Namun, peguam Encik Yoon berhujah bahawa CIO tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang Korea Selatan untuk menyiasat kes berkaitan tuduhan pemberontakan.

“Permintaan untuk memindahkan pelaksanaan waran ini adalah pengakuan bahawa siasatan CIO dan waran tersebut tidak sah,” kata Encik Seek Dong-hyeon, peguam kepada Encik Yoon.

Ketegangan politik semakin memuncak selepas percubaan untuk melaksanakan waran penahanan gagal.

Ketua keselamatan presiden, Encik Park Chong-jun, menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat bekerjasama dengan tindakan undang-undang yang masih dipertikaikan.

CIO kemudian meminta Presiden Sementara, Encik Choi Sang-mok, agar mengarahkan perkhidmatan keselamatan presiden supaya bekerjasama. Namun, beliau belum memberi maklum balas.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, dijadual melawat Korea Selatan untuk bertemu pegawai pemerintah bagi mengesahkan sokongan Amerika kepada Seoul.

Encik Blinken melahirkan keyakinan terhadap daya tahan demokrasi Korea Selatan dan kepimpinan Encik Choi.

Di tengah-tengah krisis politik, perhimpunan besar-besaran diadakan oleh kededua penyokong dan penentang Encik Yoon.

Penyokong Encik Yoon termasuk kumpulan yang dipimpin oleh paderi Kristian, Encik Jun Kwang-hoon, menyifatkan perjuangan untuk Encik Yoon sebagai “perjuangan antarabangsa” demi kebebasan.

“Malangnya, tiada Fox News di Korea,” kata kumpulan itu, merujuk kepada saluran berita kabel yang popular dalam kalangan penyokong bakal Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Sebaliknya, penentang Encik Yoon terus mendesak hukuman terhadapnya atas tindakannya yang dianggap mencetuskan ketidakstabilan politik.

Cubaan untuk menangkap seorang presiden yang masih memegang jawatan adalah perkara yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah Korea Selatan.

CIO, yang ditubuhkan pada 2021 untuk menyiasat pegawai tinggi, termasuk presiden dan keluarga mereka, tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa seorang presiden.

Sebarang tindakan undang-undang mesti dirujuk kepada pejabat pendakwa raya selepas siasatan selesai. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg