NEW YORK: Polis New York sedang menyiasat dua kejadian tikaman berhampiran Central Park sebagai kemungkinan jenayah kebencian selepas dua lelaki cedera dalam serangan berasingan di kawasan Upper West Side, Manhattan.

Pesuruhjaya Polis New York, Cik Jessica Tisch, berkata suspek berusia 51 tahun, Raul Morales, sudah ditahan dan polis tidak mencari individu lain berhubung kejadian itu.

Menurut Jabatan Polis New York (NYPD), Morales didakwa terlebih dahulu menikam seorang lelaki Asia berusia 57 tahun di bahagian belakang badan menggunakan pisau.

Tidak lama kemudian, suspek dikatakan menyerang seorang lelaki Yahudi berusia 50 tahun dengan menikam badannya menggunakan pemutar skru.

Kedua-dua serangan berlaku pada waktu siang hari dan hanya kira-kira dua blok antara satu sama lain di Upper West Side, sebuah kawasan kediaman mewah berhampiran Central Park.

Polis berkata Morales didakwa melaungkan ‘Allahu Akbar’ sebelum melakukan serangan itu.

Laporan awal menyebut kedua-dua mangsa berketurunan Yahudi.

Bagaimanapun, laporan kemudian menjelaskan mangsa pertama ialah lelaki Asia dan bukan berketurunan Yahudi.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Mount Sinai-St Luke’s untuk mendapatkan rawatan.

Keadaan mereka dilaporkan stabil dan kedua-duanya dijangka pulih.

Cik Tisch berkata polis sedang menyiasat motif serangan, termasuk kemungkinan ia didorong oleh kebencian terhadap kaum atau agama.

Pada masa sama, penyiasat turut meneliti sama ada masalah kesihatan mental mungkin mempengaruhi tindakan suspek.

“Walaupun suspek tidak mempunyai rekod masalah kesihatan mental yang diketahui NYPD, siasatan awal menunjukkan faktor kesihatan mental mungkin memainkan peranan,” katanya menerusi kenyataan di platform X.

Beliau berkata polis setakat ini tidak menemui sebarang hubungan antara Morales dengan kedua-dua mangsa. Tiada hubungan juga dikenal pasti antara dua mangsa berkenaan.

Selepas melakukan serangan, Morales dipercayai berjalan pulang ke pangsapurinya.

Seorang saksi yang melihat pergerakannya kemudian memaklumkan kepada polis mengenai bangunan yang dimasuki suspek.

Maklumat itu membolehkan pegawai NYPD mengesan dan menahan Morales tanpa berlaku kecederaan tambahan.

“Saya ingin memuji keberanian seorang anggota masyarakat yang membantu membawa pegawai kami ke lokasi suspek bersembunyi,” kata Cik Tisch.

Beliau turut memuji anggota polis yang berjaya menamatkan kejadian itu tanpa menyebabkan lebih ramai mangsa cedera.

Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, berkata beliau sudah diberi taklimat mengenai kejadian tersebut dan lega apabila dimaklumkan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada NYPD kerana bertindak pantas menahan suspek.

“Serangan penuh kebencian dan keji seperti ini tidak mempunyai tempat di bandar kami,” katanya.

Encik Mamdani berkata polis kini menilai sama ada serangan itu boleh diklasifikasikan sebagai jenayah kebencian, selain menyiasat kemungkinan faktor kesihatan mental.

Siasatan masih diteruskan dan polis belum mengumumkan pertuduhan rasmi terhadap suspek. – Agensi berita.