Dari Hangzhou hingga Shenzhen dan selanjutnya Xinjiang, ‘polis robot’ turun padang ke jalanan sepanjang cuti lima hari Hari Buruh di China.

Tugasnya adalah mengawal lalu lintas dan mengesan pelanggaran peraturan di kawasan sibuk, ketika jutaan orang bergerak merentasi negara itu.

Sebahagian usaha nasional untuk menggunakan teknologi robotik canggih dalam semua aspek kehidupan awam ini dipapar dalam pameran terkini industri robotik humanoid China yang sedang berkembang pesat.

Sejak 1 Mei, sekumpulan 15 robot trafik humanoid beroda telah ditempatkan di persimpangan utama di hab teknologi selatan Hangzhou, termasuk di sekitar Tasik Barat.

Dicat dengan warna kuning terang, mereka dilihat meronda dalam video dalam talian sambil mengeluarkan amaran lisan kepada penunggang basikal dan penunggang skuter elektrik yang telah melepasi garisan berhenti.

Wartawan dan orang ramai juga boleh berinteraksi dengan robot berkuasa kecerdasan buatan (AI) ini melalui pertuturan dan skrin sentuh untuk bertanya arah, membuat pertanyaan mahupun membuat laporan polis. 

Walaupun polis trafik robot bukan perkara baharu di China, kumpulan anggota undang-undang terbaharu Hangzhou ini dikatakan merupakan skuadron polis trafik robot pertama di negara itu.

Dalam tempoh tiga hari, robot tersebut mengeluarkan 11,897 amaran untuk pelbagai pelanggaran lalu lintas — bersamaan satu amaran setiap satu minit 43 saat, lapor Hangzhou Daily

“Peringatan lisan robot itu bersifat tidak dipengaruhi emosi dan dibuat secara langsung dan spontan, jadi orang lebih senang menerimanya,” kata pegawai polis, Encik Chen Sanchuan, kepada akhbar tempatan itu. 

“Hasilnya lebih baik berbanding dengan pegawai manusia,” tambahnya.

Menurut Polis Trafik Hangzhou, robot-robot itu diselaraskan dengan sistem lampu isyarat, membolehkan mereka mengeluarkan arahan yang jelas kepada pemandu dan pejalan kaki untuk berhenti, membelok atau meneruskan perjalanan.

Robot yang mampu beroperasi secara berterusan selama lapan hingga sembilan jam sehari itu telah dipuji sebagai usaha pihak berkuasa meningkatkan daya penghasilan kerana ia membebaskan anggota polis untuk memberi tumpuan kepada tugas yang lebih sulit, terutama semasa tempoh lalu lintas yang tinggi.

Seorang pegawai Biro Keselamatan Awam Hangzhou berkata rancangan mereka adalah untuk menyepadukan robot tersebut ke dalam jadual tugas tetap selepas tempoh cuti berakhir.

Bandar lain di China juga telah memanfaatkan cuti lima hari Hari Buruh untuk memperkenalkan ‘polis robot’ masing-masing.

Kashgar, di wilayah autonomi Xinjiang, dan Ordos di Mongolia turut menggunakan pengawal trafik robot humanoid mereka sendiri pada 1 Mei, lapor Xinhua News Agency.

Di Shenzhen, robot humanoid terkini yang dihasilkan oleh syarikat China EngineAI menyertai unit khas polis Swat dalam rondaan, menghasilkan video T800 yang dikongsi secara meluas di media sosial.

Sepanjang 2025, bandar utama termasuk Shanghai dan Chengdu juga telah mula menggunakan robot humanoid dalam tugas pengawalan harian.

China merupakan pemain utama dalam dunia robotik humanoid, menyumbang 90 peratus daripada penghantaran sejagat pada 2025, menurut firma penyelidikan dan perundingan pasaran teknologi sejagat, Omdia. 

Morgan Stanley pula menyatakan pasaran itu boleh mencecah nilai melebihi AS$5 trilion ($6.4 trilion) menjelang 2050.

Namun, walaupun robot tersebut semakin memainkan peranan dalam kehidupan seharian, teknologi itu masih jauh daripada memenuhi impian dan harapan penggubal dasar China. 

Para pemerhati menyatakan ujian sebenar adalah sama ada robot itu mampu melaksanakan fungsi yang lebih biasa, seperti menghidangkan kopi atau melakukan kerja rumah, kerana itu adalah kunci kepada kemampanan komersial teknologi tersebut.