Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat firma S’pura dalam kes tawar peluang kerja di pusat peranginan Kemboja

Oct 8, 2025 | 4:00 PM
Changting Network Technology
Pejabat Changting Network Technology di Paya Lebar Square didapati kosong pada 9 September. - Foto ST

Polis sedang menyiasat sebuah firma setempat yang mengiklankan dalam talian peluang pekerjaan di sini tetapi kemudian memberitahu calon-calon yang ditemu duga bahawa mereka sebaliknya akan bekerja sepenuh masa di sebuah pusat peranginan Kemboja.

Pusat Peranginan Koh Kong telah dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat kerana hubungan dengan pemiliknya, seorang ahli perniagaan Kemboja yang dikenakan sekatan kerana melayan pekerja yang diperdagangkan dengan buruk menerusi pusat penipuan dalam talian.

Ia juga dikaitkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam laporan berkaitan penipuan.

Firma Singapura itu, Changting Network Technology, meletakkan dirinya sebagai firma teknologi. Ia telah mengiklankan pelbagai jawatan di sini dan luar negara.

Bagaimanapun, selepas mendapatkan pekerjaan, pengurus pengambilan pekerja akan memaklumkan calon bahawa mereka akan berpangkalan di Pusat Peranginan Koh Kong.

Ketika dihubungi, polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai firma itu dan sedang menyiasat.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak tawaran kerja, terutama jika terdapat permintaan yang kelihatan tidak realistik atau luar biasa.

Mereka juga boleh menghubungi Talian Bantuan ScamShield (1799) jika mereka tidak pasti sama ada tawaran kerja itu sahih atau sebaliknya.

The Straits Times (ST) telah meneliti firma itu, selepas seorang warga asing yang memohon jawatan eksekutif perkhidmatan pelanggan dalam talian bertanya sama ada syarikat itu sah.

ST telah menyamar sebagai pencari kerja asing dan telah ditawarkan pekerjaan itu dengan gaji bulanan $5,000, dalam temu duga menerusi telefon yang dijalankan dalam bahasa Mandarin.

Akhbar itu diberitahu peranan yang berpangkalan di Singapura itu memerlukan perjalanan merentasi Asia Tenggara untuk bertemu pelanggan, dengan tempoh latihan wajib selama tiga bulan di Kemboja.

Tetapi, pengurus pengambilan pekerja tidak meminta butiran untuk permohonan visa kerja, yang diperlukan untuk warga asing yang bekerja di Singapura.

Seseorang yang kononnya penyelia di Changting kemudian memberitahu pemohon perlu berpangkalan secara tetap di Kemboja.

Selain itu, gaji dikurangkan kepada $3,000 sebulan dan bilik penginapan akan disediakan.

Semakan ST menunjukkan bahawa Pusat Peranginan Koh Kong dimiliki atau dikawal oleh ahli perniagaan Kemboja Ly Yong Phat.

Kededua Encik Ly dan Pusat Peranginan Koh Kong Resort telah diletakkan dalam senarai warga negara yang dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika seperti aset mereka dibekukan dan disenaraihitamkan daripada sistem perbankan Amerika.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg