Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 850 disiasat dalam kes tipu dengan kerugian lebih $8.1j

Mar 19, 2025 | 3:04 PM
Kesemua suspek, berusia antara 15 hingga 77 tahun, ditahan dalam operasi dari 10 Februari hingga 9 Mac, menurut kenyataan polis pada 19 Mac.
Kesemua suspek, berusia antara 15 hingga 77 tahun, ditahan dalam operasi dari 10 Februari hingga 9 Mac, menurut kenyataan polis pada 19 Mac. - Foto SPF

Lebih 850 individu yang dipercayai menipu mangsa dalam kes melibatkan kerugian lebih $8.1 juta, sedang disiasat menyusuli operasi selama sebulan, yang dijalankan serentak oleh polis Singapura dan Malaysia.

Kesemua suspek, berusia antara 15 hingga 77 tahun, ditahan dalam operasi dari 10 Februari hingga 9 Mac, menurut satu kenyataan polis pada 19 Mac.

Mereka dipercayai terlibat dalam lebih 2,700 kes penipuan, termasuk penyamaran, pelaburan, penyewaan, cinta dalam talian, tawaran pekerjaan serta e-dagang.

Lebih 3,400 akaun bank yang disyaki mempunyai kaitan dengan penipuan dikesan dan dibekukan oleh Pasukan Anti-Penipuan (ASCom) dan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Malaysia.

Lebih $2 juta turut dirampas daripada akaun-akaun tersebut, lapor The Straits Times.

Operasi di Malaysia diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), dengan sokongan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di bawah NSRC.

Dalam satu kes, seorang lelaki berusia 34 tahun ditangkap di Malaysia pada 28 Februari kerana disyaki mengendalikan sekumpulan penipu yang menyamar sebagai polis.

Dia ditahan selepas satu waran tangkapan dikeluarkan Mahkamah Negara di Singapura dan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura.

Pada 1 Mac, dia didakwa atas kesalahan konspirasi jenayah untuk melakukan penipuan.

Dalam satu lagi kes, lebih $34,000 berjaya ditemukan semula dalam satu kes penipuan dalam talian, melibatkan seorang wanita berusia 48 tahun.

Penipu itu dipercayai berkenalan dengan mangsa menerusi aplikasi janji temu dalam talian pada Disember 2024 dan berjaya meraih kepercayaannya.

Mangsa, yang menyangka penipu itu mengalami masalah kesempitan wang, telah memindahkan lebih $130,000 sebelum menyedari dirinya ditipu.

ASCom mengesan dana tersebut dimasukkan ke dalam akaun penyedia perkhidmatan pembayaran di Malaysia, dan sebahagian daripada wang itu berjaya ditemukan semula, dengan bantuan NSRC.

Kes-kes ini adalah sebahagian daripada projek pemulihan dana, Frontier+ (Funds Recovery Operations and Networks Team, Inspiring Effective Resolution Plus), yang memberi inspirasi dalam menyelesaikan kes secara berkesan.

Frontier+ ditubuhkan pada Oktober 2024 dengan penglibatan wakil dari pusat antipenipuan di Singapura, Hong Kong, Malaysia, Thailand, Maldives, Korea Selatan dan Australia.

Projek ini tertumpu pada usaha meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam menangani penipuan melalui perkongsian maklumat yang lebih lancar, tindak balas yang selaras, serta pertukaran ilmu.

Dengan menghubungkan agensi penguatkuasaan undang-undang, Frontier+ menetapkan matlamat membasmi operasi sindiket penipuan, menangkap penjenayah dan mengurangkan kerugian kewangan mangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg