Topic followed successfully
Go to BHkuPolis siasat kecuaian porter, pemandu pendakian susulan tragedi Gunung Dukono
Polis siasat kecuaian porter, pemandu pendakian susulan tragedi Gunung Dukono
Polis siasat kecuaian porter, pemandu pendakian susulan tragedi Gunung Dukono
HALMAHERA UTARA: Polis Indonesia sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kecuaian beberapa porter (pengangkut barangan) dan pemandu pendakian susulan letusan Gunung Dukono di Halmahera Utara, Maluku Utara, yang mengorbankan tiga pendaki termasuk dua warga Singapura.
Ketua Polis Halmahera Utara, Encik Erlichson Pasaribu, berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku unsur kecuaian dalam pengendalian ekspedisi pendakian ke gunung berapi aktif itu.
“Kami sedang menjalankan siasatan mendalam dan jika terbukti berlaku kecuaian sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, porter dan pemandu pendakian boleh dikenakan tindakan jenayah,” katanya seperti dilaporkan Antara.
Menurut beliau, setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada enam individu yang terbabit dalam operasi pendakian tersebut, termasuk seorang penganjur pendakian, seorang pembantu dan empat porter.
“Daripada siasatan awal, penganjur pelancongan dan porter disyaki cuai sehingga mengakibatkan kematian,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut memaklumkan dua individu yang dipercayai terlibat dalam operasi pendakian itu dilarang meninggalkan Halmahera Utara sementara siasatan diteruskan.
Polis berkata penganjur yang dikenali dengan inisial RS dipercayai mempromosikan pakej pendakian secara terbuka melalui media sosial, termasuk kepada pelancong asing.
Menurut siasatan, pakej itu menawarkan pendakian berpandu ke beberapa gunung berapi aktif di Maluku Utara termasuk Gunung Dukono, Gunung Ibu dan Gunung Gamkonora.
Pakej pendakian berkenaan dilaporkan mengenakan bayaran sekitar 13 juta rupiah (S$1,050) bagi setiap pelancong asing, manakala peserta tempatan dikenakan 3 juta rupiah bagi setiap pendakian.
Timbalan Ketua Polis Maluku Utara, Encik Stephen M. Napiun, berkata siasatan mendapati penganjur dipercayai mengabaikan amaran keselamatan yang sudah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan pegawai pemantauan gunung berapi.
Katanya, pihak berkuasa sebelum ini sudah menetapkan larangan aktiviti dalam radius empat kilometer dari kawah Gunung Dukono. “Semua laluan pendakian melalui Mamuya, Kota Jaya dan Ruko sebenarnya sudah dihadkan dalam radius empat kilometer dari kawah,” katanya.
Beliau berkata ramai pendaki dan kumpulan pelancongan dipercayai tetap memasuki kawasan berbahaya kerana mahu melihat sendiri fenomena semula jadi luar biasa itu. “Ramai kumpulan mengabaikan langkah keselamatan kerana mahu menyaksikan fenomena alam yang luar biasa ini,” katanya.
Pihak berkuasa menyifatkan tragedi itu sebagai peringatan serius mengenai bahaya mengabaikan amaran gunung berapi di Indonesia yang merupakan antara negara paling aktif dari segi aktiviti gunung berapi di dunia.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai warga Singapura Encik Heng Wen Qiang Timoty, 30 tahun, dan Allahyarham Shahin Muhrez Abdul Hamid, 27 tahun, serta seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Angel.
Encik Stephen berkata tragedi itu perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak termasuk pemerintah daerah, pasukan keselamatan, tentera, polis dan agensi mencari dan menyelamat supaya mematuhi semua amaran status gunung berapi. “Ini mesti menjadi peringatan bahawa amaran gunung berapi Tahap II perlu dipatuhi,” katanya.
Ketua Polis Halmahera Utara turut menegaskan bahawa aktiviti pendakian ke Gunung Dukono sebenarnya tidak dibenarkan ketika status gunung berapi berada pada Tahap II berjaga-jaga.
Katanya, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) sudah menetapkan kawasan larangan sejauh tiga kilometer dari kawah gunung berapi itu. “Ini bukan laluan pelancongan rasmi. Tiada permit pendakian dikeluarkan,” katanya.
Berdasarkan laporan Basarnas Ternate, seramai 20 pendaki terjejas akibat letusan Gunung Dukono itu. Daripada jumlah itu, sembilan ialah warga Singapura manakala 11 lagi rakyat Indonesia. Tujuh warga Singapura dilaporkan berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Ternate, Encik Iwan Ramdani, berkata pasukan penyelamat gabungan masih meneruskan operasi di kawasan gunung berapi berkenaan sebaik insiden berlaku.
Sementara itu, polis memberi amaran bahawa pihak yang didapati melanggar peraturan keselamatan boleh dikenakan tindakan undang-undang. “Jika terbukti berlaku pelanggaran, porter dan pemandu pendakian boleh dikenakan pertuduhan di bawah Artikel 359 Kanun Keseksaan berkaitan kecuaian yang menyebabkan kematian dengan hukuman penjara sehingga lima tahun,” kata Encik Erlichson. - Agensi berita

