Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis siasat pintu keluar belakang berkunci, struktur haram punca kebakaran pub di Bangkok
Polis siasat pintu keluar belakang berkunci, struktur haram punca kebakaran pub di Bangkok
Polis siasat pintu keluar belakang berkunci, struktur haram punca kebakaran pub di Bangkok
BANGKOK: Polis Thailand menyiasat sama ada pintu keluar di bahagian belakang pub Rong Beer Na Lat Phrao di daerah Chatuchak berkunci ketika kebakaran dan letupan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang serta mencederakan lebih 60 yang lain pada lewat malam 11 Julai, dalam usaha mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran prosedur keselamatan yang menghalang pelanggan menyelamatkan diri.
Siasatan turut meneliti sama ada premis hiburan itu mempunyai bilangan laluan keluar kecemasan yang mencukupi serta mematuhi semua peraturan keselamatan kebakaran.
Tumpuan penyiasat kini terarah kepada kawasan berhampiran pentas persembahan yang dipercayai menjadi lokasi kebakaran bermula.
Pasukan forensik turut memeriksa satu struktur atau sambungan bangunan yang disyaki dibina secara tidak sah berhampiran pentas bagi menentukan sama ada ia menyumbang kepada penyebaran api atau menghalang laluan keluar mangsa.
Selain itu, siasatan awal Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Bangkok mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pada unit pendingin hawa di bahagian siling.
Api kemudian merebak dengan pantas, disusuli asap tebal yang memenuhi ruang premis sehingga menyebabkan ramai pelanggan gagal keluar sebelum bangunan itu dilanda letupan.
Setakat ini, polis belum mengesahkan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang atau kecuaian keselamatan, namun menegaskan semua kemungkinan sedang disiasat dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.
Malah kebakaran yang disusuli letupan di sebuah pub terkenal di Bangkok dipercayai berpunca daripada litar pintas pada unit pendingin hawa, manakala asap tebal yang memenuhi ruang premis menyebabkan puluhan pelanggan gagal menyelamatkan diri, menurut siasatan awal pihak berkuasa Thailand.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pelanggan menjerit sambil bertempiaran melarikan diri melalui pintu hadapan yang sedang dijilat api.
Beberapa mangsa dilihat keluar dengan pakaian terbakar, manakala asap hitam tebal menyelubungi keseluruhan bangunan.
Anggota bomba yang tiba beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh kira-kira 30 minit.
Bagaimanapun, kebanyakan mangsa ditemui tidak bernyawa di tandas di bahagian belakang bangunan, dipercayai selepas cuba berlindung apabila gagal menemui jalan keluar.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang meninjau lokasi kejadian awal pagi 12 Julai berkata, seorang pemuzik yang sedang membuat persembahan memaklumkan kepadanya bahawa kebakaran bermula dengan bunyi letupan berhampiran pentas.
“Beliau memberitahu saya berlaku letupan sebelum semua orang cuba melarikan diri daripada asap dan api,” katanya.
Menurut Encik Anutin, ramai pelanggan berlari ke bahagian belakang bangunan dan bersembunyi di dalam tandas selepas keadaan menjadi gelap akibat bekalan elektrik terputus.
“Ramai mangsa tidak berjaya keluar kerana mereka berlari ke bahagian belakang bangunan dan cuba berlindung di tandas,” katanya.
Beliau berkata premis itu mempunyai lesen sah untuk beroperasi sebagai restoran yang menawarkan persembahan muzik secara langsung, namun polis sedang menyiasat sama ada semua syarat keselamatan dipatuhi.
“Siasatan awal mendapati terdapat beberapa kawasan yang tidak mempunyai laluan keluar kecemasan yang jelas,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa mangsa dan keluarga mereka akan menerima bantuan sewajarnya.
“Mereka akan menerima bantuan dan penjagaan terbaik yang mampu diberikan.”
Encik Anutin turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang.
“Tidak akan ada sebarang kelonggaran jika didapati mana-mana undang-undang telah dilanggar,” katanya.
Ketua Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Bangkok, Suriyachai Rawiwan, berkata kebanyakan mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal, bukannya terkena api.
Beliau berkata pasukan penyelamat tiba kira-kira lima minit selepas menerima laporan kejadian, namun ketika itu api sudah merebak ke seluruh bangunan.
“Ketika kami memasuki bangunan untuk mencari mangsa, kami mendapati meja dan kerusi menghalang laluan di merata-rata tempat, selain suhu yang masih terlalu tinggi,” katanya.
Menurutnya, hampir semua mayat ditemui di kawasan tandas belakang.
Siasatan awal Jabatan Pencegahan Bencana Bangkok menunjukkan kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas pada unit pendingin hawa yang dipasang di siling berhampiran pentas.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan punca sebenar hanya akan disahkan selepas siasatan forensik selesai.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata bahan hiasan mudah terbakar yang dipasang pada siling dipercayai mempercepatkan penyebaran api selain menghasilkan asap dalam jumlah yang banyak.
“Kami juga menerima laporan terdapat mangsa ditemui tidak sedarkan diri berhampiran pintu keluar kecemasan, sekali gus menimbulkan kemungkinan laluan itu terhalang,” katanya.
Susulan tragedi itu, pentadbiran Bangkok akan mengkaji semula peraturan penggunaan bahan hiasan dalaman yang tahan api di premis hiburan dan restoran yang menawarkan persembahan muzik secara langsung.
Menurut Chadchart, premis berkenaan lulus pemeriksaan keselamatan pada April lalu dan mempunyai lesen operasi yang sah.
Pub itu mempunyai kapasiti lebih 300 pelanggan, lengkap dengan pentas persembahan, dua kaunter minuman, dapur serta empat pintu keluar kecemasan seperti dipaparkan di laman Facebook premis berkenaan.
Walaupun kapasiti maksimum sekitar 300 orang, pihak pengurusan memaklumkan kebiasaannya antara 600 hingga 700 pelanggan mengunjungi premis itu setiap malam, manakala kira-kira 300 orang berada di dalam bangunan ketika kebakaran berlaku.
Seorang anggota kumpulan muzik yang terselamat berkata asap mula memenuhi ruang selepas bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.
“Selepas letupan, saya tidak nampak sesiapa berlari. Kebanyakan mereka sudah rebah di lantai sambil meminta pertolongan,” katanya.
“Saya berlari kira-kira lima meter dari pentas ke arah pintu keluar. Keadaan sangat gelap, dipenuhi asap dan hampir tiada oksigen.”
Dua pemuzik turut disahkan antara mangsa yang terkorban.
Seorang penunggang motosikal, Encik Surin Jaiharn, berkata beliau membantu menyelamatkan kira-kira lima mangsa dengan memadamkan api pada pakaian mereka menggunakan helaian kain.
“Saya sangat sedih. Saya melihat begitu banyak kematian dan sehingga kini saya tidak tahu nasib mereka yang sempat saya bantu,” katanya.
Setakat pagi 13 Julai kawasan pub itu masih ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan pasukan forensik mengumpul bukti, manakala kerajaan Bangkok mengumumkan bantuan sagu hati sebanyak 29,700 baht (S$1,150) kepada keluarga setiap mangsa yang terkorban. - Agensi berita
