KATHMANDU: Ketika operasi menyelamat dan bantuan diteruskan di Nepal susulan banjir kilat pada 26 Ogos, pasukan seramai 35 anggota daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) berada di lapangan untuk menyokong pihak berkuasa tempatan dengan pengawasan udara dan terutamanya dalam mengenal pasti mangsa bencana.

Tiba di Nepal sejak 2 September, pasukan itu termasuk pegawai terlatih dalam pengambilan cap jari dan fotografi, serta pakar dalam pemeriksaan cap jari dari Perkhidmatan Forensik Bersepadu di bawah Agensi Sains dan Teknologi Home Team.

Pasukan itu masih menilai situasi di lapangan, kata Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Patrick Tan, komander kontinjen bagi pasukan itu di Nepal.

“Buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada pengenalpastian mangsa bencana serta melatih polis Nepal untuk mengendalikan dron bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat mereka,” katanya kepada The Straits Times (ST).

ACP Eugene Wang, komander pasukan Mengenal pasti Mangsa Bencana (DVI) SPF di Nepal, berkata misi pasukannya adalah untuk membantu mengenal pasti mangsa pelbagai warga negara, bukan hanya rakyat Singapura.

“Memandangkan mangsa terdiri daripada pelbagai warga negara, ia adalah satu usaha kolaboratif, yang melibatkan banyak negara.

“Kami berada di sini untuk membantu dalam usaha kolektif mengenal pasti mangsa supaya kami dapat membawa ketenangan dan kelegaan kepada keluarga mereka,” katanya.

Sembilan rakyat Singapura telah dilaporkan hilang sejak banjir tersebut, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang setakat ini.

ACP Wang berkata beliau paling terkesan dengan skala keadaan tersebut dan menambah: “Lebih daripada 1,000 mayat telah ditemui, tetapi lebih 4,000 masih hilang. Itu adalah lebih daripada 5,000 orang daripada pelbagai kewarganegaraan.”

Pasukan itu turut disertai seorang pakar patologi forensik dan seorang pegawai teknikal forensik dari Penguasa Sains Kesihatan (HSA) yang memainkan peranan kritikal dalam pemeriksaan bedah siasat, dokumentasi dan pengumpulan sampel untuk pengenalpastian forensik.

Keupayaan ini amat penting apabila mayat telah reput, berkecai atau ditemui jauh dari lokasi bencana asal yang membuatkan pengecaman visual agak mustahil.

Di hospital-hospital di ibu kota Nepal, Kathmandu, pasukan DVI SPF giat mengumpulkan cap jari mayat-mayat yang dibawa ke rumah mayat, dengan penyelarasan bersama polis, pegawai forensik dan pegawai kesihatan Nepal.

Di Singapura pula, SPF sedang mengumpul maklumat – seperti X-ray atau rekod perubatan yang diperoleh sebelum individu tersebut hilang – daripada anggota keluarga mereka yang hilang, serta sampel DNA.

ACP Wang menjelaskan bahawa Singapura akan memberikan maklumat tersebut kepada Nepal, yang akan menjalankan pemadanan.

Di bawah protokol DVI Polis Antarabangsa (Interpol), negara yang mengalami bencana tersebut akan menjalankan pemadanan DNA.

Selain Singapura, negara-negara seperti India, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia juga telah menghantar bantuan.