Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis Thailand tembak mati isteri di tadika, 44 kanak-kanak selamat
Polis Thailand tembak mati isteri di tadika, 44 kanak-kanak selamat
BANGKOK: Seorang anggota polis Thailand menembak mati isterinya di sebuah tadika tempat wanita itu mengajar di wilayah Chonburi pada 9 September, dengan kesemua 44 kanak-kanak di pusat berkenaan berjaya dipindahkan dengan selamat.
Suspek melarikan diri ke rumahnya selepas kejadian di daerah Nong Pla Lai, tenggara Bangkok.
Polis kemudian mengepung rumah tersebut dan sedang berunding dengan suspek supaya menyerah diri.
Pengerusi Majlis Daerah Kecil Nong Pla Lai, Encik Sayan Klomaon, berkata suspek, yang merupakan anggota polis di kawasan itu, tiba di tadika berkenaan sekitar 10.30 pagi.
Menurut beliau, lelaki itu bertemu dan bercakap dengan isterinya sebelum menembak wanita tersebut.
Kejadian berlaku di luar bilik darjah dan tidak disaksikan murid.
Suspek kemudian meninggalkan tadika dan pulang ke rumahnya, manakala semua kanak-kanak di pusat berkenaan telah dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.
Gabenor Chonburi, Encik Naris Niramaiwong, dalam kenyataan di Facebook mengesahkan kesemua 44 kanak-kanak berjaya dipindahkan dengan selamat.
Tiga guru dan tiga kakitangan lain turut dipindahkan dari premis tersebut.
Menurut Encik Naris, polis telah mengepung rumah tempat suspek berada dan sedang berusaha memujuknya supaya menyerah diri.
Punca kejadian masih belum diketahui.
Encik Naris mengarahkan tadika itu ditutup dan berkata bantuan psikologi akan disediakan kepada kanak-kanak serta kakitangan yang menyaksikan kejadian tersebut.
Insiden terbaru itu berlaku kira-kira sebulan selepas seorang remaja menembak datuk dan neneknya sebelum menyerang sekolahnya.
Dalam kejadian itu, remaja berkenaan menembak lima kakitangan sekolah dan seorang murid sebelum membunuh diri.
Thailand mempunyai antara kadar pemilikan senjata api tertinggi di rantau ini dan berdepan beberapa kejadian tembakan maut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kerajaan sebelum ini berjanji mengetatkan undang-undang berkaitan senjata api, tetapi beberapa kejadian tembakan besar terus berlaku.
Pada 2022, seorang bekas anggota polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerbu sebuah pusat jagaan kanak-kanak di utara Thailand.
Serangan itu mengorbankan 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa, menjadikannya antara kejadian pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah Thailand. – AFP
