Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KL

Politik rumah terbuka Hari Raya

May 06, 2023 | 05:30 AM



MAJLIS Rumah Terbuka Perdana Menteri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri secara tradisinya dianjurkan di Seri Perdana, rumah kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.



Ia adalah peluang bagi ribuan rakyat bertemu dan bersalam-salaman bukan sahaja dengan perdana menteri tetapi juga ramai menteri Kabinet di majlis itu.



Namun, tahun ini terdapat satu perubahan besar.



Buat kali pertama dalam sejarah rumah terbuka hari raya itu, pertemuan Perdana Menteri bersama rakyat berlangsung di enam negeri secara berasingan.



Pada zahirnya ia kelihatan satu langkah baik kerana ia membolehkan rakyat dari negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu beramah mesra dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Begitu juga dengan rakyat di utara semenanjung Kedah dan Pulau Pinang.



Tetapi, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) menyifatkan langkah itu sebagai usaha kerajaan pusat mengambil kesempatan bertemu rakyat bagi agenda politik mereka sendiri.



Ini kerana enam negeri yang dipilih - Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang - bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun nanti.



Pihak pembangkang menuduh kerajaan menggunakan wang rakyat untuk menganjurkan rumah terbuka dengan tujuan memancing undi menjelang PRN.



Malah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri adalah satu pembaziran wang kerajaan.



Dakwaan itu disangkal Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.



Menurutnya rumah terbuka yang diadakan khusus bagi meraikan rakyat di enam negeri boleh dihadiri sesiapa sahaja termasuk kepimpinan pembangkang negeri itu.



"Hendak membazir apa (kalau) juadah hidangan adalah ketupat, lemang, sate dan ada gerai makanan sediakan cendol dan ais kacang. Hendak jamu orang ramai, di mana membazirnya?



"Ketupat berapa duit sahaja, sewa khemah sikit, mainkan lagu raya," katanya.



Kedah menjadi tuan rumah pertama majlis itu pada 29 April lalu.



Datuk Sanusi yang dikenali sebagai suara lantang pembangkang, mengakui beliau tiada kuasa untuk menghalang rumah terbuka itu diadakan di Kedah.



"Semua tindakan politik ini pergi pada peti undi, rakyat akan nilai hang guna dana kerajaan dana kementerian buat program kempen pilihan raya untuk parti hang, itu tak betul," katanya.



"Saya tidak ada kuasa nak halang, lagipun bagus untuk rakyat Kedah pi makan. Saya tak tau ada jemputan atau tak tapi itu rumah terbuka, jemput atau tak saya akan hadir sebagai orang Kedah," katanya.



Sebaliknya Terengganu, yang juga dikuasai pihak pembangkang, mengalu-alukan penganjuran majlis itu.



"Walau apa pun objektif yang ingin dicapai pihak persekutuan kami sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Perdana Menteri dan semua anggota jemaah Menteri untuk berhari raya di Terengganu," kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar.



"Kita akan buktikan bahawa kita di Terengganu walaupun berbeza parti politik yang memerintah di negeri dan persekutuan tetapi kita sesekali tidak menganggap ia sebagai satu halangan bekerjasama.



"Jadi sila datang insya-Allah kita raikan sebagai tetamu yang istimewa," tambahnya.



Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini dianggap penting bagi kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Anwar kerana ia dianggap sebagai tanda aras sokongan rakyat pada kerajaan persekutuan.



Oleh kerana itu beliau sedang berusaha gigih merapatkan hubungannya dengan penduduk negeri-negeri yang terlibat.



Tiga negeri yang dikuasai pihak pembangkang iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan akan menjadi tumpuan utama kerana jumlah majoriti pengundi Melayu di situ.



Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik sependapat terdapat kemungkinan gelombang hijau undi Melayu yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU)15 akan turut menjejas Selangor yang dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih 20 tahun.



Jika ini berlaku kewibawaan dan kredibiliti kerajaan persekutuan mungkin semakin tercabar.



  • Penulis mantan wartawan BH dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >