Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pope Leo: Negara Palestin ‘satu-satunya penyelesaian’ konflik dengan Israel

Dec 1, 2025 | 11:11 AM
Paus Leo XIV (tengah) melawat Masjid Sultan Ahmed, atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru, di Istanbul, Turkey, pada 29 November.
Paus Leo XIV (tengah) melawat Masjid Sultan Ahmed, atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru, di Istanbul, Turkey, pada 29 November. - Foto EPA

BEIRUT: Paus (Pope) Leo  XIV menegaskan penubuhan sebuah negara Palestin merupakan “satu-satunya penyelesaian” bagi menamatkan konflik puluhan tahun antara Israel dengan Palestin, sekali gus mengukuhkan pendirian Vatican dalam isu tersebut.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau dalam penerbangan dari Turkey ke Lebanon semasa sidang media dalam pesawat.

“Kita semua tahu ketika ini Israel masih belum menerima penyelesaian tersebut, tetapi bagi kami, itulah satu-satunya jalan,” katanya dalam bahasa Italy.

Paus yang berasal dari Amerika Syarikat itu menambah: “Kami juga bersahabat dengan Israel dan sedang berusaha menjadi suara pengantara antara kedua-dua pihak untuk membantu mereka menghampiri penyelesaian yang adil buat semua.”

Kenyataan tegas itu menggariskan mesej utama lawatan antarabangsa pertamanya iaitu menegakkan keadilan, mempromosi keamanan, dan memulihkan dialog dalam dua konflik besar dunia: Israel-Palestin serta Russia-Ukraine.

Pendirian Paus Leo mengenai penyelesaian dua negara tidak mengejutkan kerana Vatican sejak Oktober telah mengkritik keras operasi ketenteraan Israel di Gaza.

Ketika itu, Setiausaha Negara Vatican, Kardinal Pietro Parolin, menyifatkan tindakan Israel sebagai “pembantaian”, walaupun beliau turut mengutuk serangan “kejam dan tidak berperikemanusiaan” oleh Hamas.

Paus Leo mempertahankan kenyataan tersebut, menyatakan bahawa “kardinal telah menyuarakan pandangan Holy See dengan tepat.”

Paus Leo baru sahaja menamatkan lawatan tiga hari ke Turkey dan beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Menurutnya, Ankara memainkan peranan penting dalam mencari jalan damai.

“Turkey mempunyai peranan amat penting yang boleh membantu usaha ini,” katanya, merujuk kepada hubungan rapat Ankara dengan Washington, Kyiv dan Moscow.

Beliau turut memuji Turkey sebagai contoh negara yang berjaya mengekalkan keharmonian antara agama.

“Di Turkey, meskipun penganut Kristian minoriti, masyarakat pelbagai agama dapat hidup dalam damai. Itulah contoh yang kita dambakan di seluruh dunia,” katanya dalam bahasa Inggeris.

Lawatannya ke Masjid Biru di Istanbul dan pertemuan dengan pemimpin Gereja Katolik serta Ortodoks menunjukkan iltizam beliau terhadap dialog antara agama pada saat dunia sarat dengan konflik.

Dengan kenyataan terkini itu, Paus Leo bukan sekadar mengulangi dasar Vatican, malah meletakkan tekanan moral kepada negara besar agar memperbaharui komitmen terhadap penyelesaian politik.

Dalam sidang media di pesawat, Paus Leo menyatakan inti perjalanannya itu adalah menjadi penyampai perdamaian.

“Lawatan ini mempunyai tema khusus menjadi utusan damai yang mahu menggalakkan perdamaian di seluruh rantau,” katanya.

Sebaik tiba di Beirut, Paus Leo disambut penuh istiadat dengan 21 das tembakan hormat dan iringan pesawat tentera Lebanon.

Presiden Joseph Aoun, menyifatkan kehadiran Paus Leo sebagai suntikan semangat kepada rakyat yang sedang bergelut dengan kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan politik dan kesan perang.

“Tolong beritahu dunia bahawa kami tidak akan mati, tidak akan pergi, tidak akan berputus asa,” kata Presiden Aoun kepada Paus.

“Kami akan terus hidup di sini dan membina kehidupan yang bermakna setiap hari,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, Paus Leo, menggesa rakyat Lebanon agar kekal tabah meskipun dihimpit krisis.

“Ada masa di mana lebih mudah untuk melarikan diri. Tetapi keberanian sebenar adalah memilih untuk tinggal dan berbakti kepada tanah air,” katanya.

Beliau mengakui tekanan yang memaksa ramai golongan muda berhijrah, tetapi menegaskan nilai diaspora tidak boleh menggantikan usaha membina keamanan di tanah sendiri.

“Membangunkan tamadun kasih dan damai di tempat kita sendiri ialah sesuatu yang sangat bernilai,” katanya.

Walaupun beliau tidak menyebut konflik Hezbollah-Israel secara langsung, ucapan beliau di Lebanon menggunakan perkataan “damai” lebih 20 kali – jelas menunjukkan keutamaan yang ingin dibawanya.

Penganalisis melihat pendekatan Paus Leo sebagai gabungan diplomasi moral dan agama, memberi tekanan lembut kepada pihak yang bertikai, termasuk Israel, agar kembali ke meja rundingan.

Dalam kata-katanya sendiri: “Kita mesti terus mempromosikan damai. Itu kewajipan kita kepada seluruh umat manusia.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg