JAKARTA: Bakal Pesiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah memanggil 49 calon menteri ke kediamannya di Jakarta Selatan sebagai sebahagian daripada proses pemilihan Kabinet baru yang akan dibentuk selepas pelantikannya secara rasmi pada 20 Oktober.
Sesi pertemuan peribadi itu melibatkan calon daripada pelbagai latar belakang, termasuk ahli politik, usahawan dan tokoh akademik.
Encik Prabowo menjelaskan bahawa proses pemilihan itu sebenarnya telah berjalan sejak sekian lama.
Menurut beliau, nama-nama yang akan menyertai Kabinetnya telah dikaji dan dipantau lebih awal sebelum mereka dipanggil ke kediamannya di Kertanegara.
“Kita adakan pemantauan diskusi dan sebelum saya undang ke sini, sebenarnya mereka sudah menyatakan kesediaan untuk membantu saya,” kata Encik Prabowo pada 14 Oktober.
Beliau turut menegaskan bahawa sesi pertemuan itu bertujuan mengesahkan komitmen calon-calon tersebut.
“Sebetulnya hari ini hanya untuk mengesahkan. Saya sahkan dan pastikan sama ada mereka bersedia atau tidak untuk membantu saya dalam bidang yang saya tawarkan kepada mereka,” tambahnya.
Salah seorang nama yang paling mendapat perhatian dalam proses itu ialah Cik Sri Mulyani Indrawati, Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Selepas pertemuan dengan Encik Prabowo, Cik Sri Mulyani mengesahkan bahawa beliau telah diminta untuk meneruskan peranannya sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet baru.
Jika dilantik, beliau akan mencatat sejarah sebagai Menteri Kewangan pertama yang berkhidmat di bawah tiga presiden berbeza iaitu Encik Susilo Bambang Yudhoyono, Encik Jokowi dan kini Encik Prabowo.
Selain Cik Sri Mulyani, beberapa menteri dari era Encik Jokowi turut dipanggil untuk sesi temu duga.
Antara mereka ialah Encik Bahlil Lahadalia, Encik Zulkifli Hasan, Encik Erick Thohir, Encik Agus Gumiwang Kartasasmita, Encik Airlangga Hartarto, dan Encik Pratikno.
Kehadiran mereka menimbulkan spekulasi bahawa Encik Prabowo mungkin mempertimbangkan untuk mengekalkan beberapa menteri daripada Kabinet Encik Jokowi, yang berpengalaman dalam menguruskan pentadbiran negara.
Antara calon lain yang menarik perhatian ialah Pesuruhjaya PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jhonlin Air, Encik Dudy Purwagandhi, yang dijangka memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan prasarana di bawah pentadbiran Encik Prabowo.
Satu lagi nama yang menarik perhatian ialah Cik Veronica Tan, mantan isteri mantan Gabenor Jakarta, Ahok atau nama asalnya Encik Basuki Tjahaja Purnama, yang turut hadir dalam sesi tersebut.
Cik Tan yang juga bekas isteri ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) memberikan petunjuk bahawa peranannya dalam Kabinet mungkin melibatkan usaha menyokong ibu dan anak-anak.
Selepas pertemuan dengan Encik Prabowo, beliau berkata: “Saya bersedia bekerja membantu rakyat, terutamanya ibu dan anak-anak. Namun, kita tunggu pengumuman rasmi daripada Presiden.”
Menurut Pengerusi Parti Gerindra, Encik Sufmi Dasco Ahmad, pemilihan itu berlangsung selama dua hari, dari 14 hingga 15 Oktober 2024.
Calon menteri yang telah dipanggil akan menjalani sesi orientasi di Hambalang, Bogor, pada hari kedua, yang akan dipimpin oleh Encik Prabowo sendiri.
Bakal Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Presiden Jokowi turut dijangka hadir.
Walaupun proses pemilihan berjalan lancar, ketiadaan wakil daripada PDI-P menarik perhatian.
Encik Prabowo turut menyatakan bahawa walaupun tiada wakil langsung daripada PDI-P, Kabinetnya mungkin akan merangkumi teknokrat yang dicadangkan oleh parti tersebut.
Kabinet baru Encik Prabowo dijangka terdiri daripada 46 kementerian, termasuk lima kementerian penyelaras. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg