Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo dipuji kerana sokong pelan damai Gaza

Jun 3, 2024 | 4:23 PM
Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Prabowo Subianto, ketika berucap di acara Dialog Shangri-La di Singapura pada 1 Jun, menyatakan satu-satunya huraian terhadap sengketa Israel-Palestin adalah dengan mewujudkan sistem dua negara.
Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Prabowo Subianto, ketika berucap di acara Dialog Shangri-La di Singapura pada 1 Jun, menyatakan satu-satunya huraian terhadap sengketa Israel-Palestin adalah dengan mewujudkan sistem dua negara. - Foto EPA-EFE

Tindakan presiden yang dipilih, Encik Prabowo Subianto, untuk menghantar pasukan pengaman Indonesia ke Gaza dan menggesa dilakukan siasatan antarabangsa, telah mendapat pujian di sidang kemuncak pertahanan utama Asia, yang juga termasuk rundingan peringkat tinggi dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky.

Encik Prabowo, yang kini menteri pertahanan, menyatakan kesediaan Indonesia untuk membantu dalam proses damai, dalam ucapan beliau di forum keselamatan dan pertahanan utama Asia, Dialog Shangri-La, pada 1 Jun di Singapura.

Forum itu adalah tempat untuk pemimpin sejagat dalam landskap keselamatan, membincangkan topik penting yang langsung memberi kesan kepada matlamat keamanan dunia.

Bercakap buat tahun ketiga berturut-turut di forum itu, Encik Prabowo membangkitkan “peristiwa tragis” yang telah berlaku di Rafah, sebuah bandar Palestin di selatan jalur Gaza yang telah menyaksikan serangan maut Israel sejak seminggu lalu.

Encik Prabowo berkata cadangan tiga fasa terbaru untuk gencatan senjata di Gaza, yang digariskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, adalah “langkah tepat yang penting”.

“Apabila diperlukan dan apabila diminta oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kami bersedia untuk menyumbang pasukan pengaman yang signifikan, untuk mengekalkan dan memantau bakal gencatan senjata ini, serta menyediakan perlindungan dan keselamatan kepada semua pihak,” kata mantan jeneral tentera itu.

Penganalisis mengalu-alukan kenyataan Encik Prabowo sebagai menunjukkan “positif” dan “pendirian kuat” Indonesia untuk terus menyokong perjuangan Palestin.

“Ia adalah tawaran konkrit memandangkan banyak negara masih belum menunjukkan pendirian mereka terhadap cadangan gencatan senjata terbaru, dan Prabowo menanganinya sejurus selepas Presiden Biden menyatakannya,” ujar Encik Hikmahanto Juwana, seorang profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Indonesia, kepada The Jakarta Post.

Encik Biden berkata pada 31 Mei, bahawa Israel telah mencadangkan gencatan senjata baru di Gaza, sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan, lapor agensi berita Reuters.

Kumpulan militan Palestin, Hamas berkata ia “menimbangkan secara positif” rancangan Israel.

Tetapi Israel terus berperang dan mengebom Hamas di Jaluran Gaza pada 2 Jun, selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata pada 1 Jun bahawa “syarat Israel untuk menamatkan perang tidak berubah: kemusnahan ketenteraan dan keupayaan pemerintahan Hamas, membebaskan semua tebusan dan memastikan Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg