Memandangkan keadaan sejagat yang rumit, mengelakkan “konflik fizikal di Asia” menjadi lebih penting kerana rantau ini mahupun dunia “tidak mampu menghadapi satu lagi kejutan geopolitik”.
Menekankan demikian pada 2 Jun, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, menarik perhatian terhadap peperangan yang sedang berlaku di Eropah dan di Timur Tengah, lantas menegaskan bahawa satu lagi konflik besar tidak boleh berlaku di Asia.
“Sekiranya terdapat sebarang pencerahan yang menonjol di sebalik yang sedang berlaku ini, ia adalah “bukan di sini, di Asia”,” katanya.
Dr Ng berkata demikian sewaktu berucap di sesi pleno ketujuh, pada hari terakhir Dialog Shangri-La (SLD) ke-21, berhubung topik Membayangkan Semula Penyelesaian untuk Keamanan Sejagat dan Kestabilan Serantau.
Turut hadir ketika sesi itu adalah Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, yang telah membuat penampilan tidak dijadualkan pada persidangan keselamatan terbesar di Asia itu.
Dalam ucapannya, Dr Ng berkata walaupun hubungan antara Amerika Syarikat dan China telah menunjukkan kestabilan, masih terdapat keperluan untuk mengadakan “lebih banyak dialog dan inisiatif positif” bagi mencegah perang perdagangan yang semakin sengit.
Beliau akur akan peranan Amerika dan China sebagai “protagonis dominan” rantau ini, yang akan “menentukan nasib Asia untuk dekad ini dan seterusnya”.
“Apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka amat penting. Mujurlah, kedua-duanya telah menolak konflik fizikal antara kedua-dua negara mereka.
“Pertemuan antara kedua-dua pemimpin di San Francisco membuktikan satu langkah positif untuk menenangkan sebarang masalah, jika tidak membina kembali hubungan,” tambahnya.
Sambil mengiktiraf keperluan untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara ini, Dr Ng juga mengakui bahawa kuasa besar dunia itu mempunyai sejarah perselisihan faham, terutamanya berkaitan Taiwan dan pertikaian perdagangan.
Beliau berkata terdapat segelintir yang melihat pergelutan yang sedang berlaku di Asia sebagai babak baru dalam Perang Dingin, yang kini berlaku antara Amerika dan China.
Di sebalik persaingan strategik ini, Dr Ng menegaskan bahawa Amerika dan China adalah “penting kepada fungsi ekonomi yang berkaitan secara global”, di mana kesejahteraan kolektif dunia bergantung.
Bersama-sama, mereka menyumbang sebanyak 43 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sejagat, dan China merupakan rakan dagangan utama dengan lebih daripada 120 negara, termasuk Asean secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Dr Ng menekankan peranan penting pertubuhan pertahanan dalam mengukuhkan reka bentuk keselamatan serantau.
“Di rantau ini, Asean memainkan peranan penting dengan memastikan ia dan rakan kongsi mematuhi Piagam Asean.
“Dalam pertahanan, Program Pemerhatian Kumpulan Kerja Pakar (EWG) Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM)-Plus wujud untuk menggalakkan kerjasama ketenteraan untuk 18 negara.
“Sehingga kini, lebih 20 latihan berskala besar telah dijalankan dan ia patut diberi perhatian bahawa ini adalah satu-satunya platform di mana kedua-dua tentera Amerika dan China mengambil bahagian,” ujar beliau lagi.
Awal sebelum itu, Dr Ng telah bertemu Menteri Pertahanan Ukraine, Encik Rustem Umerov, dan mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang mesra antara Ukraine dan Singapura.
Mereka juga membincangkan situasi keselamatan di Eropah dan perkembangan serantau Asia-Pasifik.
Hubungan antara Singapura dan Ukraine telah diperkukuhkan lagi dengan pemeteraian Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) pada 2 Jun.
Di bawah perjanjian itu, syarikat penerbangan dari kedua-dua negara dapat membawa penumpang serta kargo tanpa had, dan juga tanpa mengira laluan ataupun jenis pesawat.
Ia telah ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan Duta Besar Ukraine di Singapura, Kateryna Zelenko, dan disaksikan oleh Encik Zelensky.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg