BOGOR: Ulang tahun ke-17 Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pada hujung minggu, 15 Februari menjadi bukti bahawa Presiden Prabowo Subianto masih belum bersedia untuk menjauhkan diri daripada pendahulunya, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Malah, pujian bertubi-tubi yang diberikan kepada Encik Jokowi serta peningkatan belanjawan bagi projek warisan mantan presiden itu menunjukkan hubungan antara kedua-duanya masih erat.
Acara yang berlangsung di Bogor, Jawa Barat, pada 15 Febriari itu dihadiri pemimpin parti-parti sekutu, menteri Kabinet, mantan presiden serta ribuan ahli Gerindra yang mengenakan baju putih.
Turut hadir ialah dua wakil Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), parti Encik Jokowi yang kini menjadi pembangkang utama.
Dalam majlis itu, Encik Prabowo duduk di barisan hadapan dengan Encik Jokowi di sebelah kanan dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Jokowi, di sebelah kiri.
Suasana semakin gamat apabila Encik Prabowo dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Encik Jokowi atas kejayaan pemerintahannya setakat ini.
“Kita berjaya kerana kita mendapat sokongan daripada Presiden Ketujuh. Hidup Jokowi!” katanya disambut sorakan meriah hadirin.
Encik Prabowo menegaskan bahawa peralihan kuasa daripada pentadbiran Encik Jokowi ke pentadbirannya adalah yang “paling lancar dalam sejarah dunia” kerana asas yang telah dibina oleh Encik Jokowi.
Sebagai contoh, Encik Prabowo menyebut bahawa program makanan percuma dapat dilaksanakan dalam tempoh kurang tiga bulan kerana Encik Jokowi terlebih dahulu menubuhkan Badan Gizi Nasional (BGN) sebelum meninggalkan jawatan presiden.
“Beliau telah mewujudkan BGN supaya kita boleh mula bekerja sebelum (pentadbiran baru) dilantik pada Oktober dan melancarkan program ini pada Januari,” jelas Encik Prabowo.
Beliau turut menepis spekulasi bahawa Encik Jokowi cuba campur tangan dalam pemerintahannya dan menegaskan bahawa sepanjang lima tahun menjadi Menteri Pertahanan, beliau menyaksikan sendiri bagaimana Encik Jokowi hanya mengutamakan kesejahteraan rakyat Indonesia.
Sebagai balasan, Encik Jokowi pula memuji pencapaian Encik Prabowo, khususnya tahap popularitinya yang tinggi dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya.
“Saya boleh katakan bahawa Prabowo adalah Presiden dengan sokongan paling kuat, baik daripada rakyat mahupun Dewan Perwakilan Rakyat. Bandingkan dengan mana-mana pemimpin dunia lain, tiada siapa yang memiliki (sokongan) seteguh Prabowo,” kata Encik Jokowi.
Encik Jokowi turut menyentuh kritikan terhadap dirinya yang menurutnya lebih banyak ditujukan kepadanya berbanding kepada Encik Prabowo.
“Bahkan untuk hal kecil sekalipun, orang menyalahkan saya. Cubalah sesekali menyalahkan Prabowo, tapi saya yakin tak ada yang berani kerana kepimpinan dan ketegasannya sudah terbukti,” kata Encik Jokowi berseloroh.
Penganalisis politik, Encik Yoes Kenawas, berpandangan bahawa sanjungan Encik Prabowo terhadap Encik Jokowi bertujuan untuk menepis spekulasi mengenai hubungan dingin antara mereka, lapor The Jakarta Post.
Spekulasi itu semakin kuat setelah pemerintah mengumumkan pembekuan sementara dana bagi pembangunan Nusantara di Kalimantan Timur, yang menimbulkan persoalan mengenai komitmen Encik Prabowo dalam meneruskan projek Encik Jokowi.
Namun, Encik Prabowo akhirnya memberi kelulusan tambahan 8.1 trilion rupiah ($6.7 bilion) untuk belanjawan tahunan projek tersebut, yang turut mendapat persetujuan Anggota Parlimen.
“Saya rasa Prabowo mahu meredakan ketegangan, sekurang-kurangnya pada permukaan, kerana beliau masih memerlukan Jokowi buat masa ini.
“Sekurang-kurangnya untuk memastikan Jokowi tidak bergerak untuk melemahkan keabsahan pemerintahannya,” kata Encik Yoes kepada The Jakarta Post.
Sementara itu, penganalisis dari Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin), Encik Firman Noor, berpendapat bahawa Encik Prabowo berusaha menunjukkan bahawa hubungannya dengan Jokowi masih stabil.
“Prabowo sedar bahawa beberapa masalah dalam pemerintahannya, seperti kekurangan pelabur di Nusantara dan isu tembok laut haram di Tangerang, secara tidak langsung berpunca daripada warisan Jokowi.
“Namun, beliau memilih untuk tidak membangkitkan isu ini secara terbuka,” jelas Encik Firman.
Encik Kennedy Muslim dari Indikator Politik Indonesia pula berpandangan bahawa Encik Prabowo melihat kepentingan politik dalam mengekalkan hubungan baik dengan Encik Jokowi kerana mantan presiden itu boleh berfungsi sebagai “penampan” terhadap kritikan terhadap pemerintah.
Namun, penganalisis, Encik Agung Baskoro, mengingatkan bahawa politik bersifat dinamik, dan tiada jaminan bahawa hubungan baik antara Encik Prabowo dengan Encik Jokowi akan berkekalan.
“Dalam politik, kesetiaan boleh berubah. Apa yang kita lihat hari ini mungkin tidak bertahan lama,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg