Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo dijangka kemuka 2 calon naib presiden, 4 tokoh jadi tumpuan
Agus Harimurti, Maharani dan Sufmi Dasco antara nama disebut gantikan Gibran
Prabowo dijangka kemuka 2 calon naib presiden, 4 tokoh jadi tumpuan
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dijangka mengemukakan dua nama calon naib presiden kepada Parlimen pada 23 November.
Langkah itu bagi menggantikan Encik Gibran Rakabuming Raka, yang meletak jawatan awal November 2026 susulan tekanan politik dan pertikaian mengenai kelayakannya memegang jawatan itu.
Agensi berita, Antara, melaporkan bahawa Encik Prabowo dijadual menyerahkan pencalonan tersebut kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), yang bertanggungjawab memilih naib presiden baharu.
Timbalan Speaker Parlimen, Encik Sohibul Iman, mengesahkan rancangan itu, namun identiti kedua-dua calon masih belum diumumkan.
Jurucakap Encik Prabowo pula berkata pihaknya akan memaklumkan kepada media mengenai kehadiran Presiden ke Parlimen sebaik sahaja jadual berkenaan disahkan.
Peletakan jawatan Encik Gibran, anak bekas Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, dilihat sebagai petanda hubungan politik antara Encik Prabowo dengan pendahulunya itu semakin renggang.
Encik Gibran berundur selepas beberapa minggu berdepan tekanan politik susulan tindakan undang-undang yang mempertikaikan kesahihan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya presiden.
Walaupun jawatan naib presiden Indonesia sebahagian besarnya dianggap bersifat simbolik dan Encik Gibran tidak banyak terbabit dalam keputusan utama pemerintah, penggantinya dijangka membawa kesan besar terhadap hala tuju politik negara itu.
Penganalisis berpendapat pemilihan naib presiden baharu akan menjadi petunjuk penting strategi Encik Prabowo, terutama ketika popularitinya dilaporkan merosot akibat kebimbangan rakyat terhadap ekonomi dan dasar pemerintah.
Antara nama yang disebut sebagai calon berpotensi ialah Pengerusi Parti Demokrat, Encik Agus Harimurti Yudhoyono (AHY); tokoh kanan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Puan Maharani, dan Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Sufmi Dasco Ahmad.
Turut disebut ialah Pengerusi Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Encik Muhaimin Iskandar.
Pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN), Zulkifli Hasan, berkata sebelum ini empat parti utama yang menyokong pemerintah, iaitu Gerindra, PAN, Golkar dan Parti Demokrat, diberikan masa seminggu untuk membincangkan calon masing-masing.
Encik Zulkifli, yang lebih dikenali sebagai Zulhas, berkata parti gabungan bersetuju bahawa calon pilihan mereka sepatutnya datang daripada Gerindra, parti pimpinan Encik Prabowo.
Bagaimanapun, keputusan akhir diserahkan sepenuhnya kepada Presiden.
“Kami sudah bersetuju memilih seseorang daripada Gerindra. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden, sesiapa sahaja yang beliau rasa sesuai dan selesa untuk bekerjasama,” katanya.
Menurut Encik Zulkifli, dua nama akan dikemukakan kepada MPR, dengan seorang calon hasil perbincangan parti gabungan dan seorang lagi dipilih sendiri oleh Encik Prabowo.
Golkar pula tidak bercadang mencalonkan mana-mana pemimpinnya.
Anggota Parlimen Golkar, Encik Melchias Markus Mekeng, berkata Encik Prabowo bebas memilih sama ada ahli politik atau tokoh profesional kerana tiada syarat yang mewajibkan calon datang daripada parti pemerintah.
Penganalisis politik Universiti Gadjah Mada, Profesor Nyarwi Ahmad, berpendapat Encik Prabowo mungkin memilih tokoh lebih muda yang mempunyai pengalaman dalam politik, pentadbiran dan pemerintah.
Menurutnya, calon itu juga perlu mampu bekerjasama dengan Presiden tanpa menjadi ancaman politik menjelang pilihan raya 2029.
Beliau menyifatkan AHY sebagai antara calon berpotensi kerana usianya yang agak muda dan pengalamannya dalam pemerintah.
Puan Maharani pula boleh menjadi pilihan sekiranya Prabowo mahu mengukuhkan hubungan dengan PDI-P.
Namun, pencalonannya bergantung pada keputusan dalaman parti itu, termasuk pendirian pengerusinya, Cik Megawati Soekarnoputri.
Profesor Nyarwi turut menyebut Encik Muhaimin sebagai calon berpotensi berdasarkan pengalaman politiknya dan kedudukannya sebagai pemimpin PKB.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKB, Encik Moh. Rano Alfath, berkata partinya tidak bercadang mencalonkan pemimpin sendiri, sebaliknya menganggap Encik Dasco sebagai calon sesuai.
Menurutnya, Encik Dasco mempunyai pengalaman politik luas, setia kepada Encik Prabowo dan berupaya menjadi penghubung antara pemerintah, Parlimen serta pelbagai kumpulan masyarakat.
Encik Prabowo sebelum ini berkata beliau akan menentukan calon pengganti Encik Gibran selepas menyelesaikan lawatan rasmi ke Filipina dan China.
“Sekembalinya nanti, saya perlu mencari pengganti naib presiden,” katanya dalam satu acara Muhammadiyah di Sulawesi Tengah.
Pengerusi MPR, Encik Ahmad Muzani, sudah meminta Encik Prabowo mengemukakan dua calon bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan dalam laporan mengenai jadual pemilihan, dengan satu laporan menyebut sidang pleno pada 2 Disember, manakala laporan Antara menyatakan pemilihan dijadualkan pada 11 Disember.
Pemilihan naib presiden baharu bukan sahaja penting bagi mengisi kekosongan jawatan, malah dijangka menentukan keseimbangan kuasa dalam gabungan pemerintah dan hubungan Encik Prabowo dengan parti politik utama.
Keputusan itu juga akan diperhatikan bagi menilai sama ada Encik Prabowo mahu mengekalkan susunan politik sedia ada atau membina pakatan baharu menjelang pilihan raya presiden 2029. – Agensi berita.