Topic followed successfully
Go to BHkuPrabowo kunjungi Russia bagi dapatkan bekalan tenaga, baja
Prabowo kunjungi Russia bagi dapatkan bekalan tenaga, baja
Usaha pastikan stok bahan api negara selamat, stabil di tengah konflik Timur Tengah
Prabowo kunjungi Russia bagi dapatkan bekalan tenaga, baja
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berlepas dari Jakarta pada petang 12 April ke Moscow untuk bertemu rakan sejawatnya dari Russia di tengah-tengah konflik meruncing di Timur Tengah yang tidak menunjukkan tanda reda.
Encik Prabowo dan Presiden Vladimir Putin, dijangka mengadakan rundingan dua hala yang menumpukan pada potensi perolehan produk tenaga dan bahan mentah Russia untuk pengeluaran baja Indonesia.
Negara Asia Tenggara itu sedang mengambil langkah proaktif bagi memastikan daya tahan tenaga nasionalnya dan mendapatkan bahan pertanian yang diperlukannya.
“Presiden Prabowo akan membincangkan situasi geopolitik global dengan Presiden Putin, terutamanya mengenai situasi tenaga seperti turun naik bahan api di tengah-tengah konflik di Timur Tengah.
“Ini adalah sesuatu yang sangat strategik untuk Indonesia,” kata Encik Angga Raka Prabowo, ketua Agensi Komunikasi Pemerintah (Bakom), kepada The Straits Times pada malam 12 April.
“Perjalanan Encik Prabowo ke Russia mungkin membuka peluang untuk kerjasama lain,” tambah Encik Angga, yang juga Naib Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital.
Lawatan Encik Prabowo ke Russia kali ini merupakan yang ketiga, selepas lawatan keduanya pada 10 Disember 2025 dan lawatan pertamanya ke Saint Petersburg pada 18 hingga 20 Jun 2025.
Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya, berkata kedua-dua Encik Prabowo dan Presiden Putin dijangka memberi tumpuan kepada keselamatan tenaga, kerjasama berterusan dengan pemerintah Russia serta memastikan kestabilan bekalan tenaga negara, termasuk ketersediaan minyak.
Menurutnya, perbincangan itu turut meliputi perkembangan geopolitik sejagat, dengan Indonesia dijangka menyampaikan pendirian strategiknya dalam mengekalkan kestabilan dan keamanan dunia.
Beliau berkata Encik Prabowo diiringi Menteri Luar, Encik Sugiono, dan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia.
Secara berasingan, seorang lagi pegawai kanan pemerintah berkata, Indonesia juga mungkin berusaha mendapatkan bahan mentah dari Russia untuk menghasilkan baja.
Russia merupakan salah satu pengeksport kalium – bahan mentah asas untuk membuat baja – terbesar di dunia.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Indonesia telah menghadapi lonjakan permintaan domestik untuk bahan api, disebabkan oleh sambutan Hari Raya, dan tekanan luaran yang meningkat susuli konflik Timur Tengah yang berterusan, yang telah mendorong harga minyak sejagat melebihi AS$100 ($127) setong.
Negara ini juga sedang berusaha memastikan bekalan bahan api negaranya selamat dan stabil.
Syarikat minyak dan gas milik negara, Pertamina, mesti mendapatkan rizab melebihi minimum yang diwajibkan iaitu 21 hari, mengikut peraturan pemerintah.
Loji penapisan minyak Indonesia di Balikpapan, Balongan, Cilacap, Dumai dan Plaju telah beroperasi pada kapasiti maksimum sementara had penyimpanan dimaksimumkan.
Untuk mengurangkan permintaan dan tidak membebankan bekalan sedia ada, pemerintah telah menggubal dasar catuan yang ketat pada 1 April – mengehadkan pembelian bahan api oleh pemandu persendirian.
Dengan Selat Hormuz, yang dilalui kira-kira 20 peratus minyak dunia, menghadapi sekatan dalam perang Iran, Pertamina telah mengubah strategi pemerolehan minyak mentahnya dengan pantas.
Indonesia mengurangkan pergantungannya pada minyak mentah Timur Tengah dan mengimport minyak dari Afrika, Amerika dan wilayah bukan konflik lain.

