JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memuji pengurusan ibadah haji negara itu bagi musim 2026, tetapi mahu pelbagai penambahbaikan terus dilakukan termasuk mempercepat tempoh menunggu jemaah dan meningkatkan mutu perkhidmatan di Tanah Suci.

Perkara itu disampaikan Encik Prabowo dalam mesyuarat tertutup bersama Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Mochamad Irfan Yusuf; timbalannya, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak; serta anggota Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang mengendalikan hal ehwal agama di kediamannya di Hambalang, Bogor, Jawa Barat, pada 17 Jun.

Selepas mesyuarat itu, Encik Irfan berkata Encik Prabowo berpuas hati dengan pelaksanaan haji 2026 walaupun masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diperbaiki.

Menurutnya, musim haji 2026 menjadi kali pertama pengurusan haji dikendalikan sepenuhnya oleh kementerian baru itu selepas dipisahkan daripada Kementerian Agama pada 2025.

“Presiden menghargai kerja keras semua pihak. Walaupun masih ada kekurangan, beliau melihat banyak kemajuan berjaya dicapai,” kata Encik Irfan, yang turut dikenali sebagai Gus Irfan.

Timbalan Speaker DPR, yang juga Ketua Pasukan Pengawas Haji DPR, Encik Cucun Ahmad Syamsurijal, berkata Presiden meminta pemerintah mencari mekanisme baru supaya tempoh menunggu dapat dipendekkan lagi.

“Beliau menyampaikan, kalau boleh dipercepatkan lagi. Cari kaedah supaya giliran jemaah tidak terlalu panjang,” katanya.

Encik Cucun berkata pemerintah sebelum ini berjaya mengurangkan tempoh menunggu maksimum daripada sekitar 35 hingga 40 tahun kepada 26 tahun.

“Perkara itu sangat dihargai Presiden. Semua pihak termasuk Menteri Haji dan timbalannya bekerja keras sehingga tempoh menunggu berjaya ditekan kepada 26 tahun,” katanya.

Namun menurut Encik Irfan, Encik Prabowo masih melihat tempoh itu terlalu lama dan mahu kementeriannya mencari penyelesaian lebih berkesan.

“Beliau berfikir bagaimana caranya supaya boleh lebih cepat lagi. Kami bersama DPR masih perlu bekerja keras untuk merealisasikannya,” katanya.

Menurutnya, jemaah yang berangkat pada 2026 secara purata menunggu antara 13 dengan 14 tahun sebelum dapat menunaikan ibadah haji.

Dalam mesyuarat itu, Encik Prabowo turut mengarahkan penambahbaikan segera bagi musim haji 2027 termasuk penyediaan makanan lebih awal dan penyusunan penginapan yang lebih teratur.

Selain itu, Presiden Indonesia tersebut sekali lagi membangkitkan cadangan pembangunan ‘Kampung Haji’ di Arab Saudi yang dilihat mampu meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah selain membantu mengurangkan kos ibadah tersebut.

“Beliau mahu ‘Kampung Haji’ menjadi sebahagian usaha meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah dan pada masa sama mengurangkan kos haji,” tambah Encik Irfan.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia masih belum memperincikan bentuk dan pelaksanaan projek tersebut.

Cadangan itu dibincangkan ketika pemerintah sedang mencari pelbagai strategi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan haji yang terus berdepan tekanan kos.

Encik Cucun berkata pasukan pengawasan DPR telah menjalankan pemantauan menyeluruh bermula daripada peringkat perancangan sehingga keberangkatan jemaah dan semua laporan telah dibentangkan kepada Presiden.

Beliau turut memuji usaha pemerintah yang berjaya menurunkan kos haji kira-kira 6 juta rupiah ($337) bagi setiap jemaah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Pengurangan kos itu memberi manfaat kepada lebih 200,000 anggota jemaah Indonesia yang menunaikan ibadah haji setiap tahun.

Menurut Encik Irfan, kenaikan nilai bahan api pesawat, ketidaktentuan global, tekanan kadar tukaran mata wang dan peningkatan caj perkhidmatan di Arab Saudi merupakan antara faktor yang menyebabkan kos haji terus meningkat.

Justeru, pemerintah dan DPR masih perlu membincangkan pelbagai skim bagi memastikan kos haji dapat dikawal tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan. – Agensi berita.