Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Indonesia bincang bangun bersama kemudahan latihan pertahanan di Kalimantan, Sumatera

Tawar lebih banyak peluang bagi angkatan tentera kededua negara latih bersama
Aug 5, 2025 | 9:49 PM
S’pura, Indonesia, kemudahan latihan pertahanan
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kanan), bertemu dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, di Kementerian Pertahanan Indonesia pada 5 Ogos. Kededua negara telah mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang telah lama terjalin. - Foto MINDEF

Singapura dan Indonesia sedang membincangkan usaha untuk membangunkan secara bersama kemudahan latihan pertahanan di Kalimantan, Baturaja di selatan Sumatera, dan lapangan senjata udara Siabu di wilayah Sumatera Utara.

Usaha bersama itu dijangka menawarkan lebih banyak peluang bagi angkatan tentera dari kededua negara itu untuk berlatih sama, kata kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 5 Ogos.

Perbincangan mengenai usaha bersama itu timbul hasil pertemuan Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, pada 5 Ogos.

Encik Chan berada di Indonesia pada 5 dan 6 Ogos bagi mengadakan satu siri mesyuarat dua hala.

Semasa di Indonesia pada 5 Ogos, Encik Chan telah memeriksa kontinjen Pengawal Kehormatan di Kementerian Pertahanan Indonesia sebelum menghadiri mesyuarat dua hala.

Beliau juga menyertai satu dialog dengan sekitar 250 pemimpin masa depan Indonesia di Institut Daya Tahan Nasional (Lemhannas).

Menurut kenyataan Mindef, semasa lawatannya itu Encik Chan telah mengadakan mesyuarat dengan Encik Sjafrie pada 5 Ogos, dengan kededua pihak mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang telah lama terjalin.

“Bagi pihak Mindef, kami telah berbincang (dengan pihak Indonesia) berkaitan latihan bersama pihak tentera dan tentera udara.

“Ini termasuk projek bersama di Siabu bagi tentera udara, di Baturaja bagi pihak tentera dan Kalimantan Barat di mana pasukan khas kami akan mengadakan latihan pembukaan dalam bulan-bulan mendatang untuk mencuba kemudahan dalam kawasan itu,” kata Encik Chan.

Selain berbincang mengenai kemudahan latihan bersama itu, kededua menteri itu membincangkan tentang perkembangan geopolitik yang berterusan dan menekankan akan perlunya Singapura dan Indonesia untuk bekerjasama dengan lebih rapat, selain pentingnya dialog yang terbuka.

Semasa dialognya di Lemhannas, Encik Chan menekankan tentang persekitaran serupa dan nilai-nilai yang patut dikongsi sama Singapura dan Indonesia serta kerjasama sedia ada yang kukuh antara kededua negara.

Mereka juga membincangkan akan pentingnya kerjasama yang berterusan pada masa hadapan dalam dunia yang tidak menentu ini.

Encik Chan berkata Singapura dan Indonesia sentiasa mempunyai hubungan yang rapat, dan ini jelas dilihat dalam sektor pertahanan, dengan latihan dua hala pertama Singapura dengan negara lain adalah dengan Indonesia – Latihan Helang Indopura – pada 1974.

Kededua negara juga mempunyai banyak kepentingan bersama, seperti menegakkan peraturan undang-undang antarabangsa.

“Secara meluas, saya fikir hubungan antara Indonesia dengan Singapura di peringkat tertinggi berjalan baik antara Presiden Prabowo (Subianto) dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Saya fikir kededua mereka telah bersetuju untuk lakukan beberapa perkara bagi mempertingkat kerjasama antara Singapura dengan Indonesia, bukan sahaja di peringkat pertahanan, tetapi ekonomi dan budaya sosial juga,” kata Encik Chan lagi.

Encik Chan juga menekankan bahawa Singapura dan Indonesia perlu bekerjasama bagi mengatasi ketidaktentuan dalam bidang keselamatan dan ekonomi... kededua Singapura dan Indonesia akan mampu membangunkan peluang bagi rakyat dan negara.

Dalam lawatan itu Encik Chan juga bertemu dengan Gabenor Lemhannas, Dr Ace Hasan Syadzily, yang mana kededua pihak membincangkan tentang memperkukuh hubungan dua hala menerusi pertukaran yang bertambah bagi membangunkan sikap saling percaya dan pemahaman.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan pada 6 Ogos, Mindef berkata Encik Chan telah bertemu Naib Menteri Penyelaras bagi Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Encik Lodewijk Freidrich Paulus.

Semasa pertemuan itu, kededua pihak bertukar pandangan tentang bagaimana kedua-dua negara boleh melanjutkan kerjasama dalam bidang seperti sektor keselamatan, serta saling mendalami persefahaman dan persediaan menerusi pertukaran profesional serta antara rakyat.

Encik Chan juga mengadakan lawatan ke sebuah dapur yang dikendalikan Pasukan Pertahanan Nasional Indonesia (TNI) di bawah program Sajian Sihat Percuma (juga dikenali sebagai Makanan Bergizi Gratis) pada 6 Ogos.

Encik Chan turut mengunjungi Sekolah Rendah Awam Rawa Badak Utara 01 yang berdekatan, di mana para pelajar sedang menjamu sajian yang disediakan di dapur tersebut pagi itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg