Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo pertahan program makanan percuma meski dikritik
Prabowo pertahan program makanan percuma meski dikritik
Prabowo pertahan program makanan percuma meski dikritik
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mempertahankan dasar utama pentadbirannya termasuk program makanan berkhasiat percuma, sambil menegaskan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan keselamatan makanan negara mesti diteruskan walaupun berdepan kritikan.
Berucap pada pembukaan Minggu Tani dan Nelayan Nasional ke-17 di Gorontalo, di bahagian utara pulau Sulawesi, pada 24 Jun, Encik Prabowo berkata isu kelaparan dan pemakanan rakyat tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan masa depan generasi Indonesia.
“Tiada perkara yang lebih mendesak daripada kelaparan.
“Jika seseorang lapar dan tidak segera dibantu, mereka boleh mati,” katanya di hadapan ribuan petani, nelayan dan pemimpin masyarakat.
Beliau turut menggesa pihak yang mempertikaikan program makanan percuma supaya turun padang dan melihat sendiri kesannya terhadap rakyat, terutama kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah.
Program makanan berkhasiat percuma itu merupakan antara agenda utama pentadbiran Prabowo sejak kempen pilihan raya presiden lalu.
Program berkenaan menyasarkan kira-kira 83 juta pelajar sekolah dan wanita hamil di seluruh Indonesia bagi mengurangkan masalah bantut serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat.
Tahun 2026 ini sahaja, pemerintah memperuntukkan sekitar 268 trilion rupiah ($22 bilion) bagi melaksanakan program tersebut.
Walaupun program itu menerima kritikan berhubung kos pelaksanaannya ketika rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup dan tekanan nilai rupiah, Encik Prabowo menegaskan bantuan makanan dan keselamatan makanan negara adalah pelaburan jangka panjang untuk masa depan Indonesia.
“Rakyat biasa, petani dan nelayan mahukan pemimpin yang bercakap terus terang dan bekerja untuk mereka,” katanya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa demonstrasi pelajar di Jakarta dan bandar lain menuntut pemerintah menghentikan apa yang mereka sifatkan sebagai perbelanjaan besar bagi program utama negara.
Penunjuk perasaan turut membangkitkan kebimbangan terhadap penglibatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam beberapa program awam pemerintah.
Bagaimanapun, Encik Prabowo berkata penglibatan tentera dan polis dalam program keselamatan makanan adalah sebahagian strategi nasional untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan pengagihan bantuan berjalan lancar.
Beliau turut memuji usaha pegawai kanan yang mengendalikan sektor makanan dan maritim negara.
Menurutnya, Indonesia telah menunjukkan kemajuan besar ke arah mencapai sara diri makanan sepanjang 20 bulan pertama pemerintahannya.
“Kita mahu Indonesia menjadi negara yang kuat, makmur dan mampu berdikari dari segi makanan,” katanya.
Encik Prabowo juga mengakui demonstrasi adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan bagi menimbulkan ketidakstabilan politik.
“Indonesia sedang menuju menjadi negara yang kuat dan makmur, tetapi sentiasa ada pihak yang tidak mahu kita maju,” katanya tanpa menyebut mana-mana pihak secara khusus.
Kenyataan itu dibuat selepas pengerusi kesatuan pelajar Universiti Bung Karno, Encik Muhammad Abdimaludin, mengaku menerima wang bagi membatalkan satu demonstrasi yang dirancang di Jakarta Pusat dan mengatur pertemuan tertutup dengan Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, pada 15 Jun lalu.
Bagaimanapun, Perikatan Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) menolak dakwaan bahawa demonstrasi pelajar digerakkan oleh dana pihak luar.
Pengerusi BEM SI, Encik Muzammil, berkata mahasiswa mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga demokrasi dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Mahasiswa adalah rakan kritikal negara yang bertanggungjawab mengawasi pemerintah dan mempertahankan kepentingan rakyat,” katanya seperti dipetik Kompas.com.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo turut berseloroh mengenai gaya percakapannya yang lantang dan terus terang.
Beliau berkata dirinya tidak bimbang terhadap kritikan mengenai cara beliau berucap kerana rakyat lebih menghargai kejujuran berbanding retorik politik.
“Saya lebih suka bercakap secara jujur,” katanya yang disambut sorakan hadirin.
Pada masa sama, pasaran kewangan Indonesia terus menjadi perhatian apabila indeks saham utama negara itu jatuh 3.56 peratus pada 24 Jun, menjadikan jumlah kerugian sejak Januari kepada hampir 32 peratus.
Keadaan itu berlaku selepas firma penyedia indeks kewangan global, MSCI memberi amaran Indonesia boleh diturunkan kepada status pasaran frontier sekiranya reformasi pasaran modal tidak menunjukkan kemajuan mencukupi menjelang November ini.
Pelabur turut memberi perhatian terhadap kesan fiskal program besar pemerintah dan tekanan terhadap nilai rupiah, yang mendorong Bank Indonesia mengetatkan dasar monetari bagi menyokong mata wang negara.
Walaupun berdepan cabaran ekonomi dan tekanan pasaran, Encik Prabowo memberi jaminan pemerintahannya akan terus memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat, pengukuhan sektor makanan dan pembangunan ekonomi jangka panjang.
Beliau berkata pemerintah mahu memastikan pembangunan negara dapat dirasai secara langsung oleh rakyat biasa termasuk petani, nelayan dan golongan berpendapatan rendah di seluruh Indonesia. – Agensi berita.
