Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo pimpin upacara Hari Kemerdekaan ke-81 Indonesia
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengetuai upacara sambutan ulang tahun ke-81 kemerdekaan negara itu di Istana Merdeka pada 17 Ogos, ketika ribuan penduduk di Pulau Flores masih berdepan kesan gempa bumi kuat yang meragut sekurang-kurangnya 53 nyawa.
Encik Prabowo tiba bersama Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, sebelum mengetuai upacara menaikkan bendera Merah Putih sebagai pemimpin utama upacara tersebut.
Presiden mengenakan pakaian tradisional berwarna biru gelap bersama kain songket dan songkok hitam, sementara Encik Gibran mengenakan pakaian tradisional hitam dari Nusa Tenggara Timur (NTT), wilayah yang dilanda gempa dua hari sebelum sambutan kemerdekaan.
Sebanyak 17 das tembakan meriam dari arah Monumen Nasional (Monas), diiringi bunyi siren, menandakan bermulanya upacara di pekarangan Istana Merdeka.
Dalam suasana penuh istiadat itu, Encik Prabowo turut mengetuai hadirin bertafakur bagi mengenang jasa dan pengorbanan wira negara.
Beliau turut mengajak rakyat mendoakan mereka yang terjejas akibat bencana di beberapa kawasan Indonesia, khususnya mangsa gempa di Flores.
Sambutan tahun ini membawa tema “Indonesia Berdaulat, Adil dan Makmur”.
Sebelum upacara bermula, Bendera Pusaka Merah Putih dan teks asal Proklamasi Kemerdekaan dibawa dalam perarakan dari Monas ke Istana Merdeka menggunakan kereta kuda diraja Garuda Prabayaksa.
Perarakan itu diiringi 114 anggota pasukan berkuda dan 45 anggota polis tentera bermotosikal daripada pasukan keselamatan Presiden.
Bendera Pusaka dan teks Proklamasi dibawa oleh anggota Purnapaskibraka Duta Pancasila 2025 sebelum diserahkan bagi upacara di Istana Merdeka.
Cik Sultana Najwa, pelajar SMAN 82 Jakarta, diberi penghormatan membawa Bendera Pusaka, sementara Cik Aliah Sakira dari SMAN 14 Makassar membawa teks Proklamasi.
Pasukan pengibar bendera pusaka atau Paskibraka yang bertugas pada sambutan tahun ini dinamakan “Indonesia Berdaulat”.
Cik Celina Olivia Apriani Theo, pelajar Sekolah Menengah Vokasional Negeri 5 di Kalimantan Barat, dipilih sebagai pembawa bendera Merah Putih dalam upacara tersebut.
Encik Prabowo turut membaca teks Proklamasi yang pertama kali diisytiharkan Presiden pertama Indonesia, Encik Sukarno, pada 17 Ogos 1945 bagi menandakan kemerdekaan negara itu.
Kemeriahan sambutan di Jakarta bagaimanapun berlangsung ketika penduduk di Nusa Tenggara Timur masih bergelut dengan kesan gempa 7.7 magnitud yang melanda Flores pada awal 15 Ogos.
Sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh dan lebih 130 cedera, termasuk ramai yang mengalami patah tulang.
Ratusan rumah dan bangunan awam turut mengalami kerosakan, menyebabkan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Gegaran susulan yang berterusan meningkatkan kebimbangan penduduk untuk kembali ke rumah.
Pada pagi 17 Ogos, ketika persiapan sambutan kemerdekaan sedang berlangsung di Jakarta, satu lagi gempa berukuran 5.8 magnitud dikesan di perairan berhampiran Flores.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gempa itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dengan pusat gegaran terletak di laut, kira-kira 39 kilometer di utara Nusa Tenggara Timur.
Keadaan di Flores menyebabkan beberapa menteri tidak menghadiri upacara kemerdekaan di Istana Merdeka kerana berada di kawasan bencana untuk menyelaraskan operasi bantuan.
Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata mereka termasuk Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Pratikno; Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian; Menteri Pekerjaan Umum, Encik Dody Hanggodo; dan Timbalan Menteri Kesihatan, Encik Dante Saksono Harbuwono.
“Ketika kita meraikan Hari Kemerdekaan, kita juga perlu memastikan saudara-saudara kita yang terjejas akibat bencana mendapat perhatian dan penjagaan,” kata Encik Prasetyo.
Beliau berkata pemerintah mahu memastikan tindak balas terhadap bencana dilaksanakan dengan baik meskipun sambutan nasional berlangsung di ibu kota.
Ditanya sama ada Encik Prabowo akan mengunjungi Nusa Tenggara Timur bagi meninjau keadaan dan bertemu mangsa gempa, Encik Prasetyo berkata keputusan mengenainya belum dibuat.
“Kami akan melihat keadaannya. Para menteri sudah berada di sana. Kami akan melihat bagaimana keadaan dan kemudian membuat keputusan,” katanya.
Gempa Flores menjadikan sambutan kemerdekaan tahun ini berbeza bagi sebahagian rakyat Indonesia.
Ketika upacara rasmi, persembahan kebudayaan dan perarakan berlangsung di Jakarta, ribuan penduduk di kawasan terjejas masih berlindung di khemah dan kawasan terbuka kerana bimbang gegaran susulan.
Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan daripada penjajahan pada 17 Ogos 1945 menerusi Proklamasi yang dibacakan Encik Sukarno di Jakarta.
Lapan puluh satu tahun kemudian, sambutan di Istana Merdeka bukan sahaja memperingati perjuangan mencapai kemerdekaan, malah turut menjadi detik solidariti dengan rakyat yang berdepan bencana.
Doa Encik Prabowo untuk mangsa gempa dan kehadiran beberapa menteri di Nusa Tenggara Timur mencerminkan dua suasana berbeza pada Hari Kemerdekaan kali ini – kemeriahan sambutan nasional di Jakarta dan usaha menyelamat serta membantu mangsa yang masih berlangsung di Flores. - Agensi berita

