JAKARTA: Bakal presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menegaskan ahli Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) boleh meninggalkan beliau jika dirinya tidak lagi berada di landasan yang benar dalam membela rakyat.
Beliau membuat kenyataan tersebut dalam satu pertemuan bersama ahli parti di Hambalang, Bogor, pada 23 September.
“Saya minta saudara-saudara jangan setia kepada saya sebagai individu. Selama saya memperjuangkan yang benar, saya minta saudara mendukung saya.
“Tetapi jika suatu hari nanti saya berada di jalan yang salah, silakan tinggalkan saya,” ujarnya.
Semasa memberikan ucapan kepada lebih 500 anggota parti yang hadir, Encik Prabowo menekankan bahawa kesetiaan ahli parti harus berdasarkan perjuangan kebenaran dan kepentingan rakyat, bukan kepada dirinya secara peribadi.
Encik Prabowo juga berkata ahli Gerindra tidak perlu takut untuk mengambil tindakan sekiranya beliau melanggar prinsip perjuangan yang telah dipegang selama ini.
“Saya berjanji akan terus berjuang demi rakyat, terutama mereka yang miskin dan tertindas,” tambah Encik Prabowo dalam ucapannya, yang disambut dengan tepukan gemuruh.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo turut mengingatkan ahli Gerindra yang dipilih sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) supaya sentiasa menjaga kesetiaan kepada rakyat.
Beliau menekankan bahawa amanah yang diberikan kepada mereka harus dijaga dengan baik dan tidak dipersiakan.
“Ingat, berbakti dan bekerja untuk rakyat kita. Kita berada di jalan yang benar, kita tegak lurus, kesetiaan kita kepada rakyat, kepada bangsa kita.
“Terima kasih kepada saudara-saudara yang telah berjuang di barisan hadapan,” ujar Encik Prabowo lagi.
Beliau mahu setiap anggota Gerindra mengutamakan prinsip keadilan dan kebenaran dalam memimpin dan turut mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab pemimpin ialah memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Encik Prabowo, yang juga Menteri Pertahanan semasa, dijadualkan dilantik secara rasmi sebagai presiden pada 20 Oktober.
Beliau akan memimpin bersama Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Presiden Joko Widodo, yang dipilih sebagai Naib Presiden.
Encik Prabowo juga berkata bahawa hingga saat ini beliau tetap berpegang pada sumpahnya untuk membela rakyat, terutama golongan miskin, selain menjaga kehormatan bangsa Indonesia.
“Sumpah saya, saya ingin mati di atas kebenaran. Saya ingin mati membela rakyat saya... saya ingin mati membela orang miskin. Saya ingin mati membela kehormatan bangsa Indonesia. Saya tidak ragu-ragu,” katanya, lapor portal, Kompas.com.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg