Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden baru berhaluan kiri ikrar ‘tulis semula sejarah Sri Lanka’

Sep 23, 2024 | 12:10 PM
Presiden baru Sri Lanka, Encik Anura Kumara Dissanayake (tengah), meninggalkan Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka selepas pengumuman keputusan pilihan raya di Colombo, pada 22 September.
Presiden baru Sri Lanka, Encik Anura Kumara Dissanayake (tengah), meninggalkan Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka selepas pengumuman keputusan pilihan raya di Colombo, pada 22 September. - Foto EPA-EFE

COLOMBO: Presiden baru Sri Lanka yang berhaluan kiri mengundang rakan senegaranya supaya membantunya “menulis semula” sejarah negara pulau itu selepas memenangi pilihan raya yang diwarnai rasa tidak puas hati berhubung krisis kewangan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Encik Anura Kumara Dissanayake, pemimpin Barisan Pembebasan Rakyat yang berusia 55 tahun itu, diisytiharkan pada 22 September, sebagai pemenang pilihan raya dengan majoriti hampir 1.3 juta berbanding pesaing terdekatnya.

Pemimpin partinya yang memenangi kurang daripada 4 peratus undi dalam pilihan raya Parlimen empat tahun lalu, menyaksikan lonjakan sokongan apabila kegawatan ekonomi melanda Sri Lanka.

Dalam satu kenyataan sejurus selepas pengumuman itu, beliau berkata:

“Impian yang telah kami pupuk selama berabad-abad akhirnya menjadi kenyataan.”

“Kemenangan ini milik kita semua. Berjuta-juta mata yang dipenuhi dengan harapan mendorong kami bersama-sama melangkah ke hadapan dan bersedia untuk menulis semula sejarah Sri Lanka,” tambahnya.

Presiden yang berundur, Encik Ranil Wickremesinghe – yang memegang jawatan pada kemuncak kejatuhan ekonomi 2022 dan mengenakan dasar penjimatan yang ketat mengikut syarat penyelamat Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) – hanya meraih 17 peratus undi.

“Sejarah akan menilai usaha saya, tetapi saya berani menyatakan bahawa saya telah melakukan yang terbaik untuk menstabilkan negara dalam satu tempoh paling gelap,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Encik Dissanayake sambil melahirkan keyakinan ahli politik itu akan “mengemudi Sri Lanka ke arah pertumbuhan dan kestabilan yang berterusan”.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Sri Lanka, Cik Julie Chung, berkata bahawa Washington sedia bekerjasama dengan pentadbiran Encik Dissanayake.

Encik Dissanayake telah mengangkat sumpah pada 23 September.

Isu ekonomi mendominasi kempen lapan minggu itu, dengan kemarahan orang ramai yang meluas terhadap langkah ikat perut yang dikenakan oleh Encik Wickremesinghe sejak kemuncak krisis kewangan melanda negara kepulauan itu.

Encik Dissanayake “tidak akan merobek” perjanjian IMF tetapi akan berusaha untuk mengubahnya, kata seorang ahli biro politik parti, Encik Bimal Ratnayake. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg