Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Colombia hubungi Trump bincang ‘perselisihan’ di telefon

Jan 8, 2026 | 1:50 PM
Donald Trump, Colombia, Encik Gustavo Petro, america, usa
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), berkata pada 7 Januari beliau sedang mengatur pertemuan dengan Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, ‘dalam masa terdekat’, beberapa hari selepas mengeluarkan ancaman tindakan ketenteraan terhadap negara Amerika Selatan itu. - Foto AFP

BOGOTA (Columbia): Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, mengadakan perbualan telefon pada 7 Januari bagi meredakan ketegangan hubungan dua hala.

Perbualan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Encik Trump mengeluarkan ancaman keras termasuk kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Bogotá berhubung dakwaan perdagangan dadah.

Ia juga perbualan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

Interaksi itu berlangsung di tengah-tengah suasana tegang susulan operasi ketenteraan Amerika di Venezuela, yang menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro, serta kenyataan Encik Trump sebelum ini yang menyatakan operasi ketenteraan terhadap kerajaan Colombia ‘kedengaran baik’.

Dalam hantaran di wadah Truth Social, Encik Trump berkata Encik Petro menghubunginya untuk menjelaskan “isu dadah dan beberapa perselisihan yang wujud antara kedua-dua negara”.

“Saya menghargai panggilan dan nadanya, dan saya menantikan pertemuan dalam masa terdekat,” kata Encik Trump, sambil menambah, persiapan sedang dibuat untuk pertemuan di Rumah Putih.

Menurut Encik Trump, pertemuan itu akan diadakan ‘dalam masa terdekat’, walaupun tarikh belum diumumkan.

Jemputan tersebut dibuat hanya beberapa hari selepas beliau memberi amaran keras kepada Encik Petro pada 3 Januari, menyusuli operasi Amerika di Caracas, Venezuela.

Ketegangan meningkat apabila Encik Trump menuduh Encik Petro, tanpa mengemukakan bukti, terlibat dalam perdagangan dadah dan seterusnya mengenakan sekatan kewangan terhadap pemimpin Colombia itu serta anggota keluarganya.

Encik Petro bertindak balas dengan nada tegas.

Pada 5 Januari, beliau berkata Colombia bersedia ‘mengangkat senjata’ sekiranya ancaman tersebut direalisasikan.

Beliau turut menggesa rakyat Colombia turun ke jalanan pada 7 Januari bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam ucapan kepada penyokongnya di Bogoa, Encik Petro mengesahkan beliau akan menghadiri pertemuan di Washington.

“Kami telah bercakap melalui telefon buat kali pertama sejak beliau menjadi presiden,” kata Encik Petro.

“Saya meminta agar komunikasi langsung antara kementerian luar dengan antara presiden kedua-dua negara dipulihkan.”

Encik Petro mengakui beliau pada asalnya merancang untuk menyampaikan ucapan yang ‘agak keras’, namun, memilih untuk melembutkan nada selepas perbualan telefon yang berlangsung hampir sejam itu.

Sumber di pejabat Encik Petro memberitahu agensi berita, Reuters, perbualan tersebut berlangsung dalam suasana ‘mesra’ dan ‘saling menghormati’.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Colombia, Encik Mauricio Jaramillo, memberi amaran tindakan ketenteraan Amerika di Venezuela berisiko mencetuskan kesan domino yang membawa kepada ‘bencana’ di seluruh Amerika Latin.

“Sebarang peluasan konflik akan membawa implikasi besar bukan sahaja kepada Colombia, malah kepada kestabilan serantau,” katanya dalam wawancara dengan agensi berita, AFP.

Hubungan antara Encik Trump dengan Encik Petro sememangnya dingin sejak Encik Trump kembali berkuasa.

Encik Trump berulang kali menuduh pentadbiran Encik Petro membiarkan aliran kokain ke Amerika, malah pernah merujuk Encik Petro sebagai ‘seorang yang sakit’.

Colombia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, dengan menegaskan negara tersebut telah lama bekerjasama dengan Washington dalam usaha memerangi dadah.

Pada Oktober lalu, Amerika mengenakan sekatan terhadap Encik Petro dengan alasan membenarkan pengembangan perdagangan dadah haram di negara Andes itu.

Encik Petro dan pemerintah Colombia menolak tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan bermotif politik.

Encik Petro juga lantang mengecam kempen ketenteraan Amerika di perairan Pasifik dan Caribbean yang didakwa menyasarkan bot penyeludup dadah.

Menurut Washington, lebih 30 serangan telah dilancarkan sejak September, mengorbankan sekurang-kurangnya 110 orang.

Walaupun perbualan telefon dan jemputan ke Rumah Putih memberi isyarat ke arah menghuraikan ketegangan, penganalisis melihat hubungan Washington-Bogota masih rapuh.

Pertemuan yang dirancang itu dijangka menjadi ujian penting sama ada diplomasi mampu menggantikan retorik keras dan ancaman ketenteraan yang telah menggoncang hubungan antara dua sekutu tradisional di benua Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg