Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tercapai matlamat Amerika bom Iran?

Jul 7, 2025 | 5:30 AM
Rakyat Iran menghadiri upacara pengebumian komander tentera, saintis nuklear dan individu lain yang terkorban dalam serangan Israel, di Teheran, Iran, pada 28 Jun 2025.
Rakyat Iran menghadiri upacara pengebumian komander tentera, saintis nuklear dan individu lain yang terkorban dalam serangan Israel, di Teheran, Iran, pada 28 Jun 2025. - Foto REUTERS

TEHERAN: Selepas 12 hari serangan udara bertubi-tubi dari Israel dan Amerika Syarikat, persoalan yang kini membelenggu masyarakat antarabangsa ialah: Adakah matlamat Amerika telah tecapai?

Tujuan utama serangan tersebut adalah untuk melumpuhkan sepenuhnya keupayaan Iran menghasilkan senjata nuklear, sebagaimana didakwa oleh Israel dan Amerika.

Namun realitinya lebih rumit.

Seperti yang dijelaskan oleh seorang pegawai kanan pertahanan Eropah, “Iran bukan sekadar loji dan mesin. Ia juga tentang pengetahuan, strategi tersembunyi dan kemahuan politik”.

Kemampuan Iran untuk meneruskan projek nuklearnya kini menjadi persoalan utama selepas serangan besar-besaran yang berlangsung selama 12 hari.

Analisis terhadap setiap langkah penting dalam proses pembinaan senjata nuklear menunjukkan walaupun beberapa komponen utama telah dimusnahkan, masih wujud ruang teknikal dan politik yang memungkinkan Iran membina bom atom jika mereka memilih untuk melakukannya.

Pengetahuan Nuklear: Terjejas Tetapi Tidak Terhapus

Sebelum serangan: Iran membina kepakaran saintifik dan kejuruteraan dalam teknologi nuklear selama beberapa dekad.
Selepas serangan: Israel mendakwa telah membunuh sekurang-kurangnya 14 saintis nuklear kanan Iran.

Namun menurut seorang pakar bukan pemerintah dari Washington, “seperti sebelumnya, Iran masih mempunyai lapisan kedua saintis berpengalaman dan mampu meneruskan tugas dalam jangka sederhana”.

“Kita sedang berhadapan dengan jenis pengetahuan yang tidak boleh dimusnahkan melalui bom – ia sudah pun tertanam dalam pemikiran mereka,” kata penyelidik keselamatan yang berpangkalan di London, Dr Farhad Vaziri.

Lombong Uranium: Masih Beroperasi

Sebelum serangan: Iran mempunyai dua lombong uranium aktif di tengah negara itu. Kandungan uranium di tapak Narigan dikatakan cukup untuk lebih 50 senjata nuklear.
Selepas serangan: Tiada lombong uranium dilaporkan musnah atau diserang. Ini bermakna sumber bahan mentah Iran masih utuh.

Tukar Uranium ke Bentuk Gas: Kemudahan Utama Dimusnah

Sebelum serangan: Iran mempunyai satu kemudahan yang diketahui umum untuk menukar uranium asli menjadi uranium heksaflorida (gas) di Isfahan.
Selepas serangan: Tapak itu teruk dibom oleh peluru berpandu Amerika, menjadikannya tidak berfungsi. Proses ini penting untuk memulakan pengayaan, dan pembinaan semula dijangka mengambil masa bertahun.

Pengayaan Uranium: Teruk Terdedah, Tapi Tidak Dibatal

Sebelum serangan: Dua tapak utama, Natanz dan Fordo, mempunyai lebih 18,000 mesin sentrifug. Iran juga sedang membina sentrifug generasi baharu di tapak lain.

Selepas serangan:

Natanz: Hampir semua sentrifug dipercayai musnah.
Fordo: Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata tapak itu “tidak lagi berfungsi”.

Tapak pengeluaran sentrifug juga telah dimusnahkan.

Namun Iran mendakwa masih mempunyai kemudahan tersembunyi.

“Jika Iran memang ada kemudahan rahsia yang selamat, mereka mungkin boleh meneruskan pengayaan,” kata pengamat program nuklear di Geneva, Dr Abbas Akhavan.

Bekalan Uranium Telah Diperkaya: Masih Wujud

Sebelum serangan: Iran dilaporkan memiliki hampir 900 paun uranium yang telah diperkaya hingga 60 peratus, hampir kepada tahap senjata (90 peratus).
Selepas serangan: Amerika mendakwa bekalan itu telah dimusnahkan.

Namun laporan IAEA dan risikan Eropah menunjukkan Iran memindahkannya sebelum serangan.

Uranium itu disimpan dalam bekas kecil dan boleh dipindahkan dengan mudah.

“Dengan sedikit lagi pengayaan, bekalan sedia ada cukup untuk membuat sembilan atau 10 bom,” kata seorang pegawai IAEA secara tidak rasmi.

Tukar Uranium kepada Logam: Kemudahan Utama Dimusnah

Sebelum serangan: Iran hanya mempunyai satu kemudahan rasmi untuk menukar uranium diperkaya menjadi bentuk logam – langkah penting dalam pembuatan bom.
Selepas serangan: Kemudahan di Isfahan telah dimusnahkan oleh Israel. Walaupun tiada tapak lain yang diketahui umum, ada pakar yang bimbang Iran mungkin mempunyai tapak rahsia.

Buat Bom: Kemampuan Terbatas

Sebelum serangan: Tidak jelas sama ada Iran mampu mengecilkan saiz sistem peledak atau membangunkan kepala peledak bagi peluru berpandu. Namun, terdapat bukti Iran telah menjalankan ujian berkaitan teknologi pencetus bom.
Selepas serangan: Kemudahan di Sanjarian yang berkaitan dengan pembangunan peledak telah dimusnahkan. Namun, tidak mustahil kemudahan lain wujud dan masih berfungsi.

Pelancaran Senjata: Masih Boleh Dilakukan

Sebelum serangan: Iran memiliki ribuan peluru berpandu yang mampu membawa kepala peledak nuklear.
Selepas serangan: Israel mendakwa telah memusnahkan ratusan pelancar peluru berpandu, namun tidak mungkin keseluruhan sistem pelancaran dimusnahkan.

Strategi Iran Seterusnya

Laporan awal risikan Amerika menyatakan serangan itu hanya menangguhkan program nuklear Iran selama beberapa bulan.

Namun Presiden Amerika, Encik Trump, dan Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe,  menyanggah kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa program itu telah “mundur bertahun-tahun”.

“Apa pun yang berlaku, ini bukan pengakhiran kepada ancaman nuklear Iran. Sebaliknya, ini fasa baru lebih tersembunyi, lebih berbahaya,” kata Encik Jeffrey Feltman dari Institusi Brookings – yang mengendali penyelidikan.

Beberapa pegawai percaya Iran mungkin tidak lagi menumpukan kepada kemampuan serangan langsung, sebaliknya akan mengusahakan pencegahan minimum atau ‘deterrence minimum’ – iaitu hanya cukup untuk mencetuskan ketakutan, seperti melalui satu ujian nuklear di bawah tanah.

“Mereka tidak perlu lancarkan senjata. Cukup sekadar membuktikan mereka mampu,” kata bekas saintis nuklear, Dr Kamran Shirazi.

Mampukah Iran membina bom? Jawapan ringkasnya: Masih mungkin, tetapi tidak dalam masa terdekat.

Serangan Israel dan Amerika telah merosakkan sebahagian besar keupayaan teknikal Iran.

Namun, ia tidak menghapuskan pengetahuan, bahan bekalan, atau semangat politik untuk meneruskannya jika keadaan memerlukan.

Malah, risiko kini lebih besar jika Iran memilih laluan rahsia tanpa sebarang pemantauan antarabangsa.

“Iran tidak perlu membuat keputusan hari ini. Tapi jika mereka mahu, jalan ke arah itu masih belum tertutup sepenuhnya,” kata diplomat Eropah yang terlibat dalam rundingan nuklear sebelum ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg