ISLAMABAD: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menegaskan program peluru berpandu balistik negaranya tidak boleh dirundingkan sama sekali, sambil memberi amaran Iran mungkin menerima nasib “seperti Gaza” sekiranya tidak memiliki keupayaan pertahanan tersebut.

Beliau berkata peluru berpandu yang dimiliki Teheran menjadi benteng utama bagi menghalang Iran daripada dimusnahkan oleh Israel dan Amerika Syarikat.

“Jika peluru berpandu yang kami miliki untuk mempertahankan negara tidak wujud, Israel dan Amerika akan memusnahkan Iran seperti yang berlaku di Gaza tanpa menunjukkan belas kasihan kepada golongan tua mahupun muda,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, di Islamabad pada 23 Jun.

Encik Pezeshkian menegaskan Iran tidak akan sesekali berunding mengenai kemampuan pertahanannya.

“Kami tidak akan sekali-kali berunding dengan sesiapa pun dalam apa jua keadaan mengenai keupayaan pertahanan kami,” katanya.

Kenyataan beliau dibuat ketika rundingan antara Teheran dengan Washington masih berlangsung bagi mencapai perjanjian damai kekal susulan perang Asia Barat yang tercetus selepas serangan bersama Amerika-Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Pakistan memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam rundingan tersebut.

Pada masa sama, Encik Shehbaz turut mempertahankan hak Iran untuk memiliki peluru berpandu balistik dan menolak dakwaan bahawa isu itu termasuk dalam memorandum persefahaman (MOU) antara Amerika dengan Iran yang dicapai pada 17 Jun lalu.

“Tidak boleh wujud layanan dwistandard apabila sesetengah negara dibenarkan memiliki peluru berpandu balistik manakala Iran tidak,” katanya.

Beliau menegaskan MOU damai antara Teheran dengan Washington tidak menyebut langsung mengenai program peluru berpandu Iran.

“MOU ini tidak menyebut apa-apa mengenai peluru berpandu balistik. Ia tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah ada dalam agenda,” katanya.

Menurut Encik Shehbaz, pihak Iran juga sejak awal tidak pernah bersedia menjadikan program peluru berpandu sebagai bahan rundingan.

Tegasnya, Pakistan menghormati hak Iran untuk mempertahankan keselamatan negaranya sendiri.

Kenyataan itu dilihat penting kerana sebelum perang tercetus, Amerika mahu memasukkan isu program peluru berpandu balistik Iran dan sokongan Teheran terhadap kumpulan bersenjata serantau dalam rundingan berkaitan aktiviti nuklear negara itu.

Bagaimanapun, pendirian Washington dilihat semakin berubah dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau tidak lagi menolak sepenuhnya pemilikan peluru berpandu oleh Iran.

“Saya katakan bahawa jika negara lain memiliki peluru berpandu balistik, adalah agak tidak adil jika Iran tidak dibenarkan memilikinya,” kata Encik Trump kepada wartawan semasa Sidang Puncak Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis.

Iran sebelum ini melancarkan ratusan peluru berpandu dan ribuan dron ke arah Israel dan beberapa negara Teluk sepanjang perang terbaru itu.

Program peluru berpandu Iran mula dibangunkan ketika perang Iran-Iraq pada era 1980-an bagi menampung kelemahan sistem pertahanan udaranya.

Sejak itu, Teheran terus meningkatkan jarak dan ketepatan peluru berpandu mereka sehingga dianggap ancaman besar oleh Israel.

Israel yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari Iran sejak sekian lama melihat program itu sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan negaranya.

Dalam pada itu, Encik Shehbaz berkata Pakistan akan terus memainkan peranan sebagai pengantara secara “jujur dan ikhlas” bagi memastikan rundingan damai antara Iran dan Amerika berjaya.

“Saya amat berterima kasih kepada anda dan kepimpinan Iran kerana meletakkan kepercayaan terhadap Pakistan sebagai pengantara,” katanya kepada Encik Pezeshkian.

Beliau berkata usaha pengantaraan Pakistan turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Encik Ishaq Dar, serta Panglima Tentera Darat Pakistan, Marsyal Tentera Darat Syed Asim Munir.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa sebagai saudara, kami tidak akan mengecewakan anda,” katanya.

Menurut Encik Shehbaz, terdapat pihak tertentu yang cuba menggagalkan usaha damai antara Teheran dengan Washington.

“Terdapat pengacau di seluruh dunia yang mahu menggagalkan perjanjian damai ini,” katanya tanpa menamakan mana-mana pihak.

Beliau turut menyifatkan Israel sebagai antara penghalang terbesar kepada keamanan di Asia Barat susulan operasi ketenteraan berterusannya di Palestin dan Lebanon.

Lawatan Encik Pezeshkian ke Pakistan dilihat sebagai usaha Teheran mengukuhkan hubungan dengan Islamabad selepas Pakistan memainkan peranan penting dalam membantu meredakan konflik Asia Barat sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum tercapainya MOU damai bulan ini, Pakistan turut membantu memudah cara gencatan senjata sementara antara Iran dan Amerika pada April lalu.

Walaupun rundingan damai masih diteruskan, kenyataan Encik Pezeshkian menunjukkan Teheran tetap bertegas bahawa peluru berpandu balistik adalah “garisan merah” yang tidak boleh disentuh dalam sebarang rundingan masa depan. – Agensi berita.