TEHERAN: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, mengakui bahawa usaha untuk berhubung dengan Pemimpin Tertinggi negara itu, Encik Mojtaba Khamenei, kini menjadi “amat sukar”, sekali gus mencetuskan spekulasi baharu mengenai hubungan antara kepimpinan politik dan ketenteraan Iran ketika negara itu terus berdepan konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Kenyataan Encik Pezeshkian dibuat ketika pelbagai laporan mendakwa wujud keretakan dalam kalangan kepimpinan tertinggi Iran, selain timbul persoalan mengenai peranan sebenar Encik Mojtaba yang masih belum muncul di khalayak sejak mengambil alih jawatan Pemimpin Tertinggi selepas bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mencetuskan perang Asia Barat.

Encik Mojtaba, 56 tahun, yang turut dilaporkan cedera dalam serangan sama, tidak pernah muncul dalam sebarang rakaman video atau ucapan awam sejak dilantik oleh Majlis Pakar kira-kira lima bulan lalu.

Walaupun mengakui sukar untuk berhubung dengannya, Encik Pezeshkian menegaskan Encik Mojtaba masih memainkan peranan penting dalam mengemudi tindak balas Iran terhadap konflik semasa.

“Pada masa ini amat sukar untuk berhubung dengannya, namun kehadirannya tetap menjadi sumber kekuatan yang besar untuk kami meneruskan perjuangan,” kata Encik Pezeshkian seperti dipetik Agensi Berita AFP.

Menurut beliau, setiap pertemuan dengan Encik Mojtaba berlangsung dalam suasana baik dan penuh pertimbangan rasional.

“Malangnya keadaan semasa memberi ruang kepada pihak tertentu menggambarkan beliau secara tidak tepat serta mewujudkan persepsi yang berbeza mengenai dirinya,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu bertentangan dengan beberapa laporan media yang mendakwa hubungan antara kedua-dua pemimpin semakin renggang.

Saluran televisyen Israel, Channel 14, yang memetik sumber yang didakwa mengetahui perkembangan di Teheran, melaporkan Encik Mojtaba telah mengeluarkan “kata putus” terhadap Encik Pezeshkian dan memberikan sokongan penuh kepada Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Encik Ahmad Vahidi, dalam keputusan utama berkaitan rundingan serta konflik serantau.

Laporan itu turut mendakwa Encik Mojtaba tidak lagi cuba menghalang Encik Pezeshkian daripada meletakkan jawatan, sekali gus dilihat sebagai isyarat bahawa pengaruh politik presiden semakin berkurangan.

Menurut laporan berkenaan, Encik Pezeshkian sebelum ini beberapa kali mengugut untuk meletakkan jawatan ketika berlaku perbezaan pendapat mengenai dasar keselamatan negara.

Beliau juga didakwa menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi pada Mei lalu selepas mendakwa pentadbirannya diketepikan sepenuhnya daripada proses membuat keputusan berkaitan keselamatan negara dan dasar luar.

Jika dakwaan itu benar, langkah Encik Mojtaba dilihat mengukuhkan lagi pengaruh IRGC dalam pentadbiran Iran, sekali gus mengehadkan ruang Encik Pezeshkian untuk mempengaruhi dasar strategik negara.

Sementara itu, laporan Iran International pula menggambarkan hubungan antara kedua-dua pemimpin berada pada tahap yang lebih tegang.

Menurut portal itu yang memetik sumber dalaman, Encik Pezeshkian hanya pernah bertemu Encik Mojtaba sekali sejak beliau menjadi Pemimpin Tertinggi.

Pertemuan itu dikatakan berlangsung di sebuah lokasi rahsia di Teheran selepas beberapa kali permintaan Presiden untuk mengadakan pertemuan dikatakan ditolak.

Laporan itu mendakwa Encik Pezeshkian dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan sebelum dipindahkan ke sebuah kenderaan bercermin gelap.

Beliau kemudian duduk beberapa minit di dalam kenderaan itu bersama seorang lelaki yang diperkenalkan sebagai Mojtaba Khamenei.

Suasana dalam kenderaan itu dilaporkan terlalu gelap sehingga kedua-duanya tidak dapat melihat wajah masing-masing, manakala pengawal keselamatan turut tidak membenarkan mereka berjabat tangan.

Perbualan antara mereka hanya berlaku melalui suara.

Sumber berkenaan mendakwa layanan itu menyebabkan Encik Pezeshkian berasa terhina.

Selepas pertemuan tersebut, beliau dikatakan bertanya kepada pegawai di pejabatnya sama ada individu yang ditemuinya benar-benar Encik Mojtaba kerana beliau hanya mendengar suara tanpa dapat melihat wajahnya.

Tidak dapat dipastikan sama ada pertanyaan itu dibuat kerana marah atau benar-benar ragu-ragu mengenai identiti individu berkenaan.

Menurut laporan sama, Encik Pezeshkian kemudian memohon satu lagi pertemuan di kediaman rasmi Pemimpin Tertinggi, namun permintaan itu sehingga kini masih belum diluluskan.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran tidak mengulas mengenai dakwaan yang dibangkitkan Iran International dan Channel 14.

Ketiadaan Mojtaba daripada ruang awam terus menjadi perhatian kerana tiada sebarang rakaman audio atau video beliau didedahkan sejak dilantik.

Akhbar Hamshahri yang mempunyai kaitan dengan pemerintah Iran turut menyiarkan penjelasan bahawa langkah itu bertujuan mengelakkan agensi perisikan asing mengesan lokasi persembunyian Encik Mojtaba melalui analisis suara, bunyi latar atau isyarat elektrik daripada rakaman audio.

Penjelasan itu bagaimanapun menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai keadaan sebenar beliau.

Malah, penilaian antarabangsa mengenai status Encik Mojtaba juga bercanggah.

Tiga minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa kebarangkalian Encik Mojtaba terbunuh mencecah 90 peratus.

Sebaliknya, Perdana Menteri Israel menyatakan beliau masih hidup.

Percanggahan kenyataan turut berlaku dalam kalangan pemimpin Iran sendiri.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata pada Julai lalu bahawa beliau sendiri belum pernah bertemu Encik Mojtaba sejak pelantikan itu dan hanya segelintir individu dibenarkan berjumpa dengannya.

Sehari kemudian pula, Encik Pezeshkian menyatakan jumlah pertemuannya dengan Pemimpin Tertinggi semakin bertambah.

Dalam perkembangan lain, seorang ahli keluarga Mojtaba, Encik Mohammad Bagher Kharrazi, mendakwa Pemimpin Tertinggi itu telah memberi amaran bahawa sebarang cubaan Encik Pezeshkian untuk meletakkan jawatan selepas ini akan diterima tanpa sebarang rundingan.

Menurut Encik Kharrazi, Presiden Iran sebelum ini dikatakan telah mengugut atau cuba meletakkan jawatan sebanyak 28 kali.

Walaupun dakwaan itu belum disahkan secara rasmi, ia mengukuhkan lagi spekulasi bahawa hubungan antara pejabat Presiden dengan institusi Pemimpin Tertinggi semakin tegang ketika Iran berdepan tekanan ketenteraan, ekonomi dan diplomatik yang berterusan.

Ketiadaan Encik Mojtaba daripada perhatian umum, di samping dakwaan beliau semakin bergantung kepada kepimpinan IRGC dalam membuat keputusan strategik, terus mencetuskan persoalan mengenai arah tuju kepimpinan Iran ketika negara itu berdepan cabaran keselamatan paling besar dalam beberapa dekad. - Agensi berita