BAITULMAKDIS: Presiden Israel, Isaac Herzog, berkata beliau mengimpikan hubungan damai antara Israel dan Arab Saudi, sambil menyifatkan pemulihan hubungan dengan Riyadh sebagai langkah penting untuk mewujudkan keamanan berkekalan di Asia Barat.

Dalam wawancara khas bersama saluran televisyen milik kerajaan Arab Saudi, Al Arabiya, yang disiarkan 16 Julai, Encik Herzog berkata beliau berharap suatu hari nanti dapat bertemu secara rasmi dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

“Impian saya adalah melihat keamanan antara Israel dan Arab Saudi. Saya amat menghormati Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

“Apa yang paling kami inginkan di Israel ialah melihat hubungan yang lebih erat antara negara-negara di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata dialog secara langsung antara Baitulmakdis dan Makkah perlu menjadi asas kepada usaha membina persefahaman antara masyarakat Yahudi dan Islam.

“Saya berharap suatu hari nanti dapat merealisasikan impian ini dan bertemu kepimpinan Arab Saudi secara rasmi. Saya percaya orang Yahudi dan Islam mampu hidup bersama secara aman di rantau ini,” katanya.

Pemulihan hubungan antara Israel dan Arab Saudi pernah menunjukkan perkembangan positif pada 2023 menerusi rundingan yang disokong Amerika Syarikat, namun proses itu terhenti selepas tercetusnya perang di Gaza pada Oktober tahun sama.

Sejak itu, Riyadh berulang kali menegaskan bahawa ia tidak akan mengiktiraf Israel selagi tiada laluan yang jelas ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, pendirian yang terus ditolak pemerintah Israel ketika ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 70,000 rakyat Palestin terbunuh sejak perang bermula. Angka itu turut dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam wawancara sama, Encik Herzog turut menyatakan hasrat melihat Israel menjalin hubungan damai dengan Lebanon dan Syria.

“Impian saya ialah memandu kereta ke Beirut. Impian saya juga ialah pergi ke Damsyik.

“Kita perlu bergerak ke arah keamanan, bukannya berlumba-lumba membina senjata atau terus hidup dengan ancaman peperangan,” katanya.

Beliau berkata keamanan dengan Syria dan Lebanon perlu menjadi sasaran seterusnya bagi menjamin kestabilan jangka panjang di rantau itu.

Mengenai konflik melibatkan Iran, Encik Herzog menyokong tindakan Amerika melancarkan semula serangan terhadap sasaran Iran awal minggu ini selepas kedua-dua negara saling menuduh melanggar memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Jun lalu bagi menamatkan konflik.

“Saya gembira melihat reaksi Amerika yang tegas supaya semua pihak, khususnya Iran, memahami bahawa mereka perlu kembali mematuhi perjanjian jika benar-benar mahu menamatkan perang,” katanya.

Iran sebelum ini melancarkan serangan terhadap beberapa negara di rantau itu, termasuk Bahrain, Kuwait dan Jordan, sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan Amerika.

Encik Herzog berkata beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu kerana mendakwa Iran mempunyai rekod panjang melanggar perjanjian antarabangsa.

“Corak tingkah laku Iran memang seperti itu. Sangat sukar membuat perjanjian dengan mereka kerana mereka sering melanggarnya dan mentafsirkan syarat mengikut kepentingan sendiri,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata penyelesaian diplomatik masih merupakan jalan terbaik bagi menamatkan konflik, namun menegaskan tekanan terhadap Teheran perlu diteruskan.

Encik Herzog turut memuji hubungan erat Israel dengan Amerika dan menyatakan beliau menghormati Presiden Donald Trump, Naib Presiden Encik JD Vance, Setiausaha Negara Encik Marco Rubio serta seluruh pentadbiran Amerika.

“Kami bekerjasama rapat dalam pelbagai isu. Perbezaan pandangan yang wujud hanyalah dari segi taktikal, tetapi matlamat strategik kami tetap sama,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama antara Amerika, Eropah dan negara-negara di Asia Barat penting bagi mengukuhkan kestabilan serantau dan memperluaskan hubungan antara Timur dan Barat.

Encik Herzog juga menyifatkan hubungan Israel dengan Amiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi menerusi Perjanjian Abraham sebagai bukti bahawa hubungan diplomatik mampu membawa manfaat kepada semua pihak.

Pada masa sama, beliau mengakui penderitaan yang dialami penduduk awam di Gaza sepanjang konflik yang berlarutan.

“Hati saya turut hancur setiap kali orang awam yang tidak bersalah terbunuh kerana itu bukan matlamat kami.

“Rakyat Gaza berhak menikmati kehidupan yang lebih baik dan kami juga mahukan masa depan yang lebih baik untuk mereka,” katanya.

Kenyataan Encik Herzog itu dilihat sebagai usaha terbaharu Israel menghidupkan semula agenda pemulihan hubungan dengan negara-negara Arab ketika usaha diplomatik di rantau Asia Barat terus berdepan cabaran susulan konflik Gaza dan ketegangan berterusan antara Israel, Iran serta sekutunya. - Agensi berita